Permatang Pauh riuh kembali - PAS, DAP & PKR bersatu hadapi BN
Oleh Abd Shukur Harun
PAS telah mempastikan akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ikrar paling tegas telah diberikan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali dan Ketua Pemuda PAS Suhaizat Kaiat.
Inilah komitmen PAS yang menghantar isyarat jelas bahawa Pakatan Rakyat akan terus kukuh, sebagai jawapan tegas kepada pihak yang cuba menimbulkan keraguan akan kerjasama PAS di Permatang Pauh, konon disebabkan krisis dalam Pakatan Rakyat.
Perpaduan Pakatan menghadapi PRK Permatang Pauh ini tentu sekali akan mengecewakan parti lawan – Umno/BN, kerana perpecahan yang diharapkannya itu tidak berlaku.
Dengan itu PRK Permatang Pauh ini dijangka akan menyaksikan sekali lagi pertarungan sengit antara calon Pakatan Rakyat dengan Umno/BN. Adapun kehadiran calon bebas nanti, jika ada, hanya akan memeriahkan suasana pilihan raya kecil itu.
Menurut Dato’ Mustafa, seperti lazimnya mana-mana PRK yang ditandingi parti komponen Pakatan, PAS akan memberi bantuan dan kali ini PAS akan membantu calon Pakatan dari PKR.
Katanya, mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat barubaru ini telah melantik, Timbalan Presiden, Haji Mohamad Sabu, yang juga Persuruhjaya PAS Pulau Pinang mengetuai kempen PAS di Permatang Pauh itu.
Sementara itu Ketua Pemuda PAS Suhaizan menyatakan bahawa partinya akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon PKR dalam menghadapi PRK Permatang Pauh yang penting itu.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong berikutan penyandangnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunannya berkenaan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Pada masa yang sama, Suhaizan menyarankan supaya pimpinan tertinggi Pakatan segera menamatkan pertelingkahan yang berlaku dalam Pakatan, supaya semua gerak kerja dalam Pakatan dapat digerakkan dengan lancar.
Dengan keadaan situasi politik yang panas sekarang dengan pelbagai isu, sekali lagi dijangkakan PRK Permatang Pauh ini akan sengit kerana kedua-dua pihak akan menumpukan seluruh kekuatan mereka.
PKR akan mempertahankan kerusi bekas ketua pembangkang itu, sementara Umno/BN diduga akan berusaha sungguh-sungguh untuk merampas kerusi Parlimen yang panas itu.
Pemuda PAS pimpinan Suhaizan dijangka akan menggunakan tenaga Pemudanya untuk menolong kempen mempastikan kerusi Permatang Pauh kekal menjadi milik PKR/Pakatan Rakyat.
Parlimen Permatang Pauh adalah sebuah kawasan Parlimen yang terletak dalam negeri Pulau Pinang. Ia menjadi kubu kuat PKR selama ini. Dalam pilihan raya umum yang lalu, Anwar sekali lagi bertanding di kawasan itu bagi mempertahankan kedudukan PKR di situ. Beliau mendapat 37,090 undi, calon BN mendapat 25,369 undi dan calon bebas 201.
Ramai yakin bahawa walaupun Anwar merengkuk di dalam penjara, namun legasi dan semangatnya tetap menyerlah dan mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi di Permatang Pauh, Belum lagi diambil kira simpati pengundi di sana terhadapnya yang diyakini semakin kuat.
Malah pemerhati menjangkakan simpati pengundi terhadap Anwar akan bertambah dan memberi kesan besar kepada trend pengundian kali ini.
Bagi PKR, tentu saja ia akan berkempen habisan-habisan bersama komponan Pakatan untuk mencapai kemenangan yang boleh menjadi berita baik yang akan disampaikan kepada Anwar di dalam penjara nanti.
Siapakah calon yang akan diketengahkan oleh PKR nanti untuk PRK Pertamatang Pauh ini, saya kira, sedang dalam perkiraaan rapi parti itu untuk mempastikan calonnya itu adalah yang terbaik.
Pertamatang Pauh adalah kubu kuat PKR sejak beberapa penggal. terutamanya kerana ketokohan Anwar di situ, kedua kawasan itu selama ini dijaga dengan baik oleh PKR, ketiga pengundi di situ majoritinya adalah pendukung PKR/Pakatan dan keempatnya limpahan pembangunan Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP/Pakatan Rakyat menyebabkan Permatang Pauh itu antara kawasan yang maju di Pulau Pinang.
Sementara itu, dalam sebuah kenyataanya, PKR berharap bahawa calonnya akan menang dengan majoriti lebih besar. Ini dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Pemuda Keadilan (AMK) berjanji akan berada di barisan hadapan bagi mempertahankan kerusi parlimen tersebut. Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat AMK telah bersetuju melantik Timbalan Ketua AMK Dr Afif Bahardin, yang juga merupakan exco kerajaan negeri Pulau Pinang dan Adun Seberang Jaya sebagai pengarah pilihan raya Pemuda Keadilan untuk pilihan raya kecil ini.
Oleh itu, dengan paduan kekuatan jentera Pakatan, calon dari PKR ini mempunyai peluang baik untuk mencapai kemenangan lebih besar. Lebihlebih lagi pilihan raya kecil itu diadakan ketika rakyat sedang merasa sangat tertekan dengan kehadiran GST yang mereka lihat begitu membebankan rakyat dengan begitu banyak sekali barangan perlu telah dikenakan cukai.
Demikian juga isu ketirisan, jurang miskin kaya yang semakin luas, isu rasuah dan pelbagai lagi yang dilihat selama ini diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.
Oleh itu dengan paduan kekuatan tenaga kempen yang ada pada Pakatan Rakyat, Permatang Pauh diyakini akan kekal di tangan PKR/Pakatan Rakyat, malah ramai meramalkan kemenangan dengan majoriti lebih besar.
Riuh rendah kempen di Permatang Pauh ini akan berulang lagi, seperti kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan 13 walaupun Anwar berada di dalam penjara, justeru semangatnya akan menjadi pendorong utama kempen Pakatan Rakyat.
Siapakah calon PKR-Pakatan yang akan bertarung dengan calon Umno-BN dan calon Bebas, jika ada nanti, bersabarlah menunggunya.
Posted by Kedah Lanie
0 comments:
Post a Comment