“Kita anggap UMNO ikhlas berunding isu hudud” – Presiden PAS
Pada 19 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan pindaan Enakmen Jenayah Syariah II (1993).
KUALA LUMPUR, 11 April:
PAS berpandangan bahawa proses rundingan yang cuba diketengahkan UMNO berkaitan hudud adalah ikhlas.
Malah adalah wajib bagi parti itu untuk meneruskan rundingan tersebut bersama UMNO dalam memastikan pelaksanaan hudud di Kelantan tercapai.
“UMNO ajak berunding, jadi kita berunding. Kalau dia tipu itu urusan dengan Allah.
“Kita anggap UMNO ikhlas untuk berunding, sekarang ini kita anggap semua orang ikhlas dengan kita,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup majlis Nadwah Fiqh Ikhtilaf hari ini.
Manakala mengenai DAP pula, beliau sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak mempunyai hak untuk menolak pelaksanaan hukuman Islam tersebut.
“DAP tidak setuju kita laksanakan hudud, minta kita tangguh sedangkan kita nak laksanakan hanya untuk orang Islam, tiada kaitan dengan mereka.
“DAP tiada hak nak halang kita laksanakan undang-undang ini. Mereka tiada hak dalam hal ini,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen PAS Marang.
Pada 19 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan pindaan Enakmen Jenayah Syariah II (1993).
Susulan daripada itu, Hadi membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen bagi membolehkan pindaan dijalankan ke atas Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) ataupun Akta 355.
RUU Persendirian itu menerima tentangan hebat daripada DAP yang dari awal menentang pelaksanaan hukuman tersebut.
Menurutnya, perjuangan untuk melaksanakan hudud bukanlah sesuatu yang baru memandangkan ia sudah bermula lebih 20 tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment