Wednesday 15 July 2015

PKR Sokong GHB! Akan menyertai jelajah 'Harapan Baru' selepas Aidilfitri ini...Mustafa Ali terkedu?

Rabu, 15 Julai 2015

PKR Sokong GHB, Sekaligus Nafi Kenyataan Mustafa Ali

PKR sokong Gerakan Harapan Baru, bakal tubuh muafakat baharu pembangkang

PKR mengalu-alukan penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB), yang terdiri daripada bekas pemimpin PAS dan memberikan komitmen untuk menyertai jelajah mereka selepas Aidilfitri ini.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, beliau mengenali secara rapat pemimpin dalam gerakan tersebut dan bersama-sama berjuang untuk kepentingan rakyat.

"Saya menyambut baik pengumuman dan pelancaran Gerakan Harapan Baru yang mengumpulkan ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan aktivis yang mempunyai rekod teruji menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Gerakan yang diketuai Mohamad Sabu dan dipimpin tokoh yang lama berjuang menentang Umno dan BN ini perkembangan baik pada kala rakyat mencari-cari jawapan kepada pelbagai kemelut politik, ekonomi dan sosial yang melanda negara sekarang," kata ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tokoh dalam GHB juga mempunyai rekod yang cemerlanglebih baik daripada tokoh muda lain.

"Saya kenal rapat dengan tokoh-tokoh ini dan bersama-sama mereka memperjuangkan isu rakyat selama ini.

"Malah, rekod mereka berjuang untuk membawa perubahan di dalam negara adalah berkali ganda lebih lama daripada saya dan pimpinan muda yang lain," katanya.

Kenyataan Rafizi itu dikeluarkan ketika perpecahan jelas berlaku dalam PKR dalam isu GHB kerana kumpulan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali lebih memihak kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan PAS.

Rafizi turut mengalu-alukan perjuangan GHB dan memberi sokongan untuk bersama-sama meraka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Saya akan memberi sepenuh sokongan dan kerjasama kepada mereka untuk menjana gelombang rakyat menumpaskan Umno dan BM menjelang PRU14.

"Saya akan menyertai jelajah yang dianjurkan Gerakan Harapan Baru selepas Aidilfitri," katanya.

Beliau turut memberi bayangan, GHB ini akan merintis muafakat baharu yang menurutnya akan "menyatukan semua pihak" untuk menentang Umno.

GHB dicetuskan idea penubuhannya susulan tewasnya pemimpin progresif PAS dalam pemilihan parti Islam itu ketika muktamar tahunan mereka pada Jun.

Hubungan keruh di antara PAS dan DAP yang mana akhirnya menyaksikan musnahnya Pakatan Rakyat (PR).

Keadaan ini mengakibatkan pemimpin progresif PAS ini mengambil pendirian menubuhkan GHB untuk membolehkan kerjasama parti pembangkang dapat diteruskan.

Parti baharu proksi DAP, tidak akan kekal lama, kata Mustafa Ali

Persepsi umum terhadap Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) yang diumumkan pembentukan secara rasmi Isnin lepas disifatkan hanya proksi kepada DAP semata-mata dan tidak akan kekal lama, kata Datuk Mustafa Ali.

Bekas setiausaha agung PAS yang dilantik sebagai pengarah pilihan raya parti Islam itu berkata, beliau tidak kisah sangat dengan gerakan kepada pra sebuah parti baharu ini.

"Apa matlamat Harapan Baru? Ia hanya kesinambungan daripada PasMa yang diharapkan DAP untuk ganti PAS," katanya dalam satu wawancara khas dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.

Mustafa berkata demikian beberapa jam selepas Harapan Baru diumumkan secara rasmi pada satu sidang media di Kuala Lumpur Isnin lepas oleh pengerusinya yang juga bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.

Hampir semua pemimpin PAS yang disingkirkan dalam pemilihan muktamar ke-61 Jun lalu menyertai sidang media ini kecuali beberapa orang termasuk bekas naib presiden Datuk Husam Musa yang tidak sihat dan bekas ketua penerangan, Datuk Mahfuz Omar.

Turut menyertainya adalah 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang digantung keahliannya oleh PAS, Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib).

Parti baharu tiada apa-apa kekuatan

Mustafa berkata, parti baharu yang akan dibentuk ini tidak ada apa-apa melainkan mendapat sokongan pihak lain khasnya DAP.

"Persepsi Harapan Baru hanya proksi kepada DAP saja, ia adalah sebuah parti yang disokong DAP dalam apa bentuk sokongan sekalipun. Parti ini tidak ada apa-apa melainkan mendapat sokongan DAP," katanya.

Beliau mendakwa, kepimpinan PKR masih belum lagi memberikan sokongan sepenuhnya kerana hanya sebahagian kecil yang menyokongnya.

"Majoriti PKR bersama PAS," 
kata Mustafa yang tidak dilantik semula sebagai setiausaha agung PAS.

Katanya, parti ini lahir selepas usul muktamar PAS dilaksanakan DAP walaupun ketika itu Majlis Syura masih belum membuat keputusan lagi.

"Dalam PAS, perkara yang melibatkan hukum bukan diputuskan muktamar tetapi Majlis Syura," katanya ketika menjelaskan pihak manakah yang memberikan kata putus dalam PAS.

Walaupun sebuah parti baharu bakal dibentuk hasil perpecahan dalam PAS, Mustafa menganggap krisis ini tidak besar dalam parti Islam itu dan hanya perkara biasa.

"Ia hanya kes beberapa pimpinan tidak puas hati masa pemilihan. Bukan suatu yang spontan walaupun buat pertama kali jawatan presiden dipertandingkan," katanya. 
-petikan TMI


ULASAN GB

Kenyataan terbuka Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang menyokong Gerakan Harapan Baru sekaligus menafikan dakwaan bekas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali yang mendakwa "majoriti PKR bersama PAS."

Malah Rafizi menyatakan beliau akan turut menyertai jelajah yang dianjurkan Gerakan Harapan Baru selepas Aidilfitri.

Satu tamparan tepat ke muka Mustafa Ali.

Malah sebelum pelancaran GHB lagi, telah berlaku bertemuan diantara pemimpin progresif dengan beberapa pemimpin PKR iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tian Chua, Johari Abdul, Saifuddin Nasution dan Shamsul Iskandar manakala daripada DAP pula ialah Lim Kit Siang, Teresa Kok, Liew Chin Tong dan beberapa yang lain.

Anwar Ibrahim pula melalui satu kenyataannya dari penjara oleh peguamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membayangkan sebuah pakatan parti pembangkang yang baharu akan muncul tidak lama lagi.

“Saya sedar walaupun beberapa perkara telah berlaku akhir-akhir ini, niat dan semangat pembangkang terus utuh.

“Kita sekarang sedang berusaha untuk menjalin kesepakatan yang lebih kukuh dan yang kekal supaya rakyat dapat diberi khidmat yang lebih baik."

Nampaknya Mustafa Ali sebenarnya sedang cuba untuk "menteteramkan hatinya yang gelabah" itu melalui sindrom penafian.

Mustafa juga masih terus dengan perjuangan rasisnya apabila mendakwa pemimpin-pemimpin yang menubuhkan GHB sebagai proksi DAP. Tiada bukti terhadap tuduhan itu dan ternyata ia hanyalah tuduhan palsu semata-mata untuk memburukkan kompulan progresif. Malah ia menjelaskan lagi bahawaMustafa Ali ingin menjadikan PAS sebagai sebuah parti perkauman sama seperti UMNO yang membenci parti orang Cina khususnya DAP.

Sedangkan sejarah pilihanraya membuktikan bahawa PAS telah meraihkan kemenangan di dalam pilihanraya yang lalu hasil dari bantuan dan sokongan kaum bukan Melayu khususnya DAP dan inilah yang akan diteruskan oleh GHB.

Kita jalan terus, biarkan anjing menyalak di kiri kanan jalan.... (dari syair Arab yang dipopularkan oleh presiden PAS sendiri).

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena