Tema PRU-14: Hanya antara Pakatan Harapan dan BN
ULASAN l Pilihan Raya Sarawak telah berlalu. Banyak pengajaran yang boleh diperolehi.
Namun bagi saya pengajaran yang terpenting adalah ‘ketiadaan’ Pakatan Harapan secara sebenar-benarnya dalam pilihan raya tersebut.
Yang bertanding adalah hanya sekadar tiga parti yang bertindak secara bersendirian, masing-masing dengan agenda dan perkiraan masing-masing.
Maka dengan itu berlakulah pertembungan antara anggota Pakatan Harapan, khususnya DAP dan PKR di beberapa kerusi. Ramai kecewa dengan keadaan ini.
Di mana, tanya mereka, kesatuan pakatan parti pembangkang yang akan menandingi BN?
Pada masa yang sama, berlaku juga pertindihan antara PAS dengan setiap anggota Pakatan Harapan, iaitu PKR, DAP dan juga AMANAH; tetapi ianya tidak begitu menimbulkan kemarahan atau kehairanan di kalanagan masyarakat dan pemerhati politik negara.
PAS sudah di luar orbit politik rasional. Sibuk dengan dirinya sendiri dan blok ketiganya sambil semua parti pembangkang lain mengusahakan kesatuan dan kerjasama.
Ramai tidak hairan apabila PAS bertanding secara tiga penjuru dengan parti komponen Pakatan Harapan. Itu sesuatu yang sudah dijangka.
Sudah pasti yang mewujudkan blok ketiga sudah merancang untuk mengadakan pertandingan tiga penjuru. Namun, pertandingan antara parti komponen Pakatan Harapan, itu sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Sugai Besar dan Kuala Kangsar
Setelah selesai pilihan raya negeri Sarawak, kita dibentangkan pula dengan dua pilihan raya kecil di Semenanjung. Di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Di kesempatan ini, saya ucapkan takziah kepada dua keluarga yang telah kehilangan anggota keluarga yang dikasihi. Semoga roh mereka dirahmati dan diberkati Allah.
Pemergian mereka secara mengejut dan bukan sesuatu yang diingini. Namun, pilihan raya kecil tetap perlu dilakukan.
Semestinya dalam menghadapi pilihan raya kecil ini, masyarakat ingin melihat samada Pakatan Harapan benar-benar merupakan satu ikatan yang kukuh yang mampu menandingi BN.
Ia bagaikan peluang kedua untuk membuktikan kesungguhan untuk mewujudkan satu kerjasama dan gabungan politik yang kukuh untuk menandingi BN.
Dan ia merupakan peluang yang disediakan diambang pilihan raya umum ke 14 yang mana sekiranya gagal sekali lagi, maka Pakatan Harapan akan menghadapi PRU ke 14 dalam keadaan keutuhan yang terus dipertikai rakyat.
Dengan bersandarkan peluang terakhir ini, maka perlulah memanfaatkannya untuk menentukan bahawa Pakatan Harapan dilihat sebagai gabungan yang kuat, yang berkerjasama dan bertindak sebagai satu pasukan yang mantap.
Bagi yang melihat pada matlamat jangka masa panjang, iaitu PRU ke 14, kedua-dua pilihan raya kecil ini adalah peluang keemasan untuk mengukir dalam minda Negara bahawa Pakatan Harapan mantap dan kukuh serta merupakan satu-satunya entiti yang mampu menandingi BN dan mengalahkannya.
Sasaran sebenar
PRU 14 hanya setahun lebih sahaja lagi. Sepatutnya persoalan bagaimana boleh dimanfaatkan dua 2 PRK ini untuk mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan menuju PRU-14 menjadi tumpuan semua.
Bukan sekadar “menang pilihan raya kecil dengan apa cara sekalipun” tanpa mengambil kira kesan dan akibat tindakan tersebut terhadap PRU-14.
Adalah diinginkan supaya tema PRU ke-14 adalah pilihan hanya antara Pakatan Harapan dan BN. Maka, ke arah itu keutuhan Pakatan Harapan perlu dizahirkan melalui dua pilihan raya kecil ini.
Terdapat dua masalah utama yang dihadapi dan perlu diselesaikan sebelum PRU ke-14. Yang pertama ialah masalah kesatuan dan keutuhan Pakatan Harapan yang masih tidak kelihatan. Ini telah saya dijelaskan di atas.
Masalah kedua adalah persoalan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai blok ke tiga.
Adalah perlu diberikan kesedaran kepada yang tidak bersama Pakatan Harapan, samada untuk bersendirian atau untuk mengadakan blok ketiga, bahawa rakyat akan menolak mereka.
Ini adalah supaya usaha penyatuan pembangkang akan dipertimbangkan secara serius setelah tersungkur dalam pilihan raya kecil ini. Jika tidak, sehingga bila-bila mereka akan angkuh dan taasub dengan diri mereka sendiri.
Jika diberikan laluan kepada PAS dalam pilihan raya kecil seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak, demi mengelak pertembungan tiga penjuru dengan PAS, apakah yang akan berlaku semasa PRU 14?
Sekiranya PAS menang mereka akan dakwa mereka menang atas kekuatannya sendiri dan mereka bertambah angkuh dan sombong. Mereka terus tidak akan berunding dan masalah tiga penjuru akan terpaksa dihadapi dalam PRU 14.
Dan sekiranya PAS kalah akan mula proses tuduh menuduh antara satu sama lain dengan dakwaan terdapat sabotaj dan sebagainya. Maka pada PRU-14 akan tetap terpaksa menghadapi tiga penjuru dengan PAS.
Oleh itu tidak wajar untuk mana-mana pihak cuba mengelak dari menyelesaikan masalah blok ketiga ini. Ini merupakan peluang terbaik menyelesaikan masalah keangkuhan dan kekarutan konsep blok ketiga melalui pilihan raya kecil ini sehingga ia tidak akan disebut lagi menjelang PRU ke-14.
Maka melalui pencapaian kedua-dua matlamat ini, iaitu membuktikan keutuhan Pakatan Harapan dan kesongsangan konsep blok ketiga, ia menyediakan suasana yang lebih baik untuk menghadapi PRU-14.
Dan inilah sepatutnya apa yang ditumpukan iaitu memanfaatkan pilihan raya kecil ini demi menyediakan suasana yang lebih baik untuk Pakatan Harapan menghadapi PRU-14.
Pakatan politik dan Almarhum Nik Aziz
Masih saya ingat dengan jelas kata-kata Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat pada muktamar PAS 2008.
Ia muktamar selepas kemenangan besar PAS, DAP dan PKR dan pembentukan Pakatan Rakyat. Sebelum sahaja Pakatan Rakyat dibentukkan, diadakan usaha kerjasama dengan Umno oleh beberapa pimpinan PAS sehingga menyebabkan Almarhum Nik Aziz marah dan berang.
Almarhum menyebut di dalam ucapannya, “letakkan kedua-dua kaki dalam sampan yang sama! Mana mungkin satu di sampan ini dan satu lagi di sampan yang lain?
“Kalau di dua sampan yang berlainan, maka apabila ia bergerak, maka kita akan jatuh dalam air”.
Dulu kata-kata Almarhum ditujukan pada PAS. Namun hari ini kata-kata Almarhum tersebut perlu saya tujukan kepada mereka yang masih ingin berpaut kepada PAS sedangkan PAS tidak bersama Pakatan Harapan.
Berikan tumpuan dan komitmen kepada Pakatan Harapan dalam tempoh setahun dua ini supaya Pakatan Harapan dapat mengalahkan BN dalam PRU 14. Jangan diterus perasaan berbelah bahagi kerana dengan itu hanya akan memberikan mesej yang bercelaru kepada rakyat.
Kesimpulan
Berdasarkan penghujahan seperti di atas, maka adalah disyorkan supaya dibiarkan sahaja berlakunya tiga penjuru antara BN, Pakatan Harapan dan PAS sekiranya PAS meletak juga calon mereka.
Selain menegaskan Pakatan Harapan sebagai pakatan yang utuh, pada masa yang sama juga menunjukkan bahawa sebagai Blok ketiga atau sebagai parti yang bersendirian, PAS menjadi semakin tidak releven.
Supaya dengan itu mereka akan perbetulkan sikap mereka menjelang PRU ke-14.
Sekiranya apa yang dihujahkan di atas diterima, iaitu Pakatan Harapan perlu bertanding dan tiga penjuru turut mempunyai manfaatnya, maka parti yang mewakili Pakatan Harapan di dua kerusi ini, bagi pandangan saya, semestinya AMANAH.
Ini adalah kerana dua kerusi tersebut merupakan kerusi majoriti Melayu Islam melebihi 60 peratus.
Dengan bertanding di dua kerusi ini AMANAH akan mengetahui sejauh mana penerimaan masyarakat Melayu Islam terhadapnya. Sekiranya bermasalah maka masih sempat untuk ditangani dan diperbetulkan sebelum PRU ke-14.
Kedudukan AMANAH di dalam Pakatan Harapan sepatutnya adalah sepertimana PAS dalam Pakatan Rakyat sebelum ini. Dan sememangnya AMANAH adalah pecahan dari PAS yang terbentuk di atas ketidak sanggupan PAS untuk memenuhi peranannya dalam Pakatan Rakyat.
KHALID SAMAD adalah ahli parlimen Shah Alam
0 comments:
Post a Comment