Aidil Fitri Untuk Gaza!
Di saat banyak pihak menyuarakan hasrat untuk tidak mengadakan Rumah Terbuka Aidil Fitri dengan mengambil sempena insiden penerbangan MH17, berapa ramaikah dari kita, umat Islam mengambil sikap dan pendirian yang serupa untuk membatalkan majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri demi mengenang penderitaan yang dihadapi dan dialami oleh umat Islam di Gaza khususnya dan di Palestin umumnya.
Apa yang menimpa umat Islam di Gaza adalah satu tragedi kemanusiaan yang lebih besar dari malapetaka lain.
Gaza menghadapi penghapusan etnik terancang secara besar-besaran, disokong (secara tersurat mahupun tersirat) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB), didiamkan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan diabaikan oleh Persidangan Negara-negara Islam (OIC).
Penduduk Gaza (bayi, wanita dan penduduk awam) dibunuh, dicederakan, diusir dan dihujani bom dan roket oleh penjajah dan pengganas Israel setiap hari secara berkala dan sistematik, namun jiran-jiran Arab/Muslimnya sangat tega dengan memandang ke arah lain.
Khemah-khemah pelarian Palestin yang tersebar di merata tempat dan penderitaan para pengungsinya tidak menjadi agenda nasional kebanyakan negara Arab/Islam.
Pintu Rafah yang ditutup, bekalan ubat dan makanan yang semakin pupus dan kehabisan, hospital yang penuh sesak, para doktor, kakitangan dan petugas hospital yang bertungkus lumus tanpa menoleh ke jam dinding - adalah satu fenomena luarbiasa yang hanya berlaku di Gaza.
Seolah-olah dunia telah sepakat untuk menghukum dan menamatkan riwayat seluruh penduduk Gaza dan melenyapkan nama Palestin dari peta dan memori.
Bangunan, rumah kediaman, pejabat, masjid, pusat perlindungan - pendekata sesuatu yang terangkum dalam infrastruktur sebuah masyarakat yang berfungsi - tiada yang selamat atau terlepas dari sasaran bom Israel, baik dari darat, laut mahupun udara.
Kepiluan, esak tangis dan kehilangan anggota keluarga setiap famili Gaza - tiada kata atau prosa yang mampu mencoretkannya.
Airmata sudah kering untuk menangisi mereka yang telah pergi - seorang demi seorang.
Setiap waktu dan ketika, warga Gaza tertanya-tanya bilakah rumah mereka akan dibom, siapakah anggota keluarga yang akan menemui Syahadah dan siapa yang akan diusung ke hospital.
Puluhan tahun, generasi demi generasi, musim demi musim, para pemimpin dunia, Arab dan dunia Islam yang bersilih ganti, resolusi demi resolusi, janji-janji manis yang sering ditaburi, keseriusan yang berpura-pura - semuanya sudah disaksikan oleh penduduk Gaza dan rakyat Palestin.
Mereka adalah generasi yang dipilih Allah untuk menghadapi kesombongan Israel dan dunia seluruhnya.
Mereka menghantar ribuan para Mujahid ke medan perang, dan ramai juga yang kembali sebagai Syuhada’ ke pangkuan keluarga masing-masing.
Mereka memiliki ketabahan jiwa, kesabaran dan keyakinan yang amat tinggi di sebalik semua penderitaan dan tragedi ke atas mereka.
Seolah-olah Allah telah mentakdirkan kewujudan mereka untuk menjadi mahaguru kepada sekalian alam!
Maka, bukankah selayaknya dan sewajarnya seluruh umat Islam, di mana sahaja kita berada, membatalkan apa-apa majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri sebagai satu langkah menghormati tragedi kemanusiaan yang terbesar di abad ini?
Siapakah di antara kita yang sanggup mencetus perubahan dan mengorak langkah pertama untuk menjadikan sambutan Hari Raya Aidil Fitri di rumah masing-masing sebagai “Aidil Fitri Bersama Gaza”?
Siapa di antara kita yang tergerak di jiwanya untuk mendidik, bersembang dan saling berpesan tentang Gaza, Palestin dan Baitul Maqdis sempena sambutan Hari Raya nanti bersama sanak saudara, famili dan jiran tetangga?
Sempurnakah Hari Lebaran tanpa Gaza di sisi kita?
0 comments:
Post a Comment