Thursday, 9 April 2015

'Jangan ambil risiko terus tinggal di Yaman'

Khamis, 9 April 2015
Noor Hafidah Ismail, 21 disambut ibu bapanya, Siti Nurisah Maahad, 52, dan Ismail Sharif, 50 sejurus tiba bersama sebahagian daripada 47 rakyat Malaysia yang dipindahkan dari Sana’a dan Hodeidah, Yaman berikutan berlaku pergolakan dinegara itu semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 11.58 pagi, Selasa. MStar

'Jangan ambil risiko terus tinggal di Yaman'

KUALA LUMPUR -  Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menasihatkan rakyat Malaysia di Yaman supaya tidak mengambil risiko dengan terus tinggal di negara itu yang sedang bergolak.
 
"(Tindakan rakyat Malaysia tidak mahu pulang ke Malaysia) adalah satu keputusan berisiko tinggi kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku di kawasan itu.
 
"Kita tahu situasi di Hadhramaut masih aman berbanding kawasan lain seperti di Aden. Tetapi apa yang berlaku di Aden mungkin menular ke kawasan lain. 

"Maka kita menyeru rakyat Malaysia memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Kehormat Askar Wataniah di sini, hari ini. 

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan sebahagian daripada 600 pelajar yang berada di Yaman membuat keputusan untuk tidak pulang ke tanah air atas pelbagai  alasan termasuk peperiksaan. 

Hishammuddin berkata keengganan rakyat Malaysia untuk pulang ke negara ini akan menyebabkan kesukaran bagi pihak keselamatan negara membantu  membawa mereka pulang jika berlaku keadaan yang tidak diingini di negara itu. 

Beliau berkata: "Bukan satu perkara mudah untuk pihak berkuasa memasuki kawasan peperangan, menggerakkan aset, nak memastikan laluan itu selamat (untuk  membawa keluar rakyat Malaysia). Ini merupakan satu tindakan yang bukan mudah.
 
"Jadi saya menyeru sekali lagi kepada mereka yang membuat keputusan untuk tidak mahu kembali ke tanah air supaya berfikir semula," katanya. 

Hishammuddin turut memberi jaminan para pelajar Malaysia yang sedang belajar di Yaman akan diberi kebenaran untuk kembali ke negara itu bagi melanjutkan pelajaran mereka apabila keadaan kembali stabil. 

Beliau juga berkata pihaknya juga sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi menempatkan pelajar itu di universiti awam di Malaysia bagi meneruskan pengajian mereka. 

Menyentuh mengenai perkembangan terkini proses perpindahan rakyat Malaysia yang kembali ke negara ini, beliau berkata pagi ini, 101 rakyat Malaysia keluar dari Hadhramaut dan berada di Salalah, Oman untuk dibawa pulang. 

Tujuh lagi berada di Al-Mazyunah, iaitu sempadan Oman kerana masalah dokumen perjalanan termasuk pasport, katanya.

Hishammuddin berkata Kedutaan Malaysia di Oman kini sedang berurusan dengan pihak berkuasa Oman untuk menyelesaikan masalah tersebut.   

Beliau juga berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang berbincang dengan Jawatankuasa Evakuasi Malaysia yang dianggotai Wisma Putra, Majlis  Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Perdana Menteri dalam pengurusan logistik, dokumen perjalanan serta urusan penerbangan balik rakyat Malaysia.
 
Pada masa ini dua pesawat Hercules C-130 TUDM bersama 43 anggota berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai persediaan untuk membawa pulang lebih banyak rakyat Malaysia dari Yaman.

Sementara itu, 154 rakyat Malaysia telah diterbangkan dari Yaman ke Malaysia. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena