Wednesday, 27 May 2015

Hentikan Serangan Kepada Abdul Hadi, kata Ahmad Awang

Rabu, 27 Mei 2015

Ahmad Awang - Hentikan Serangan Kepada Abdul Hadi


Dalam dialog-dialog dan perbincangan yang diadakan sebelum ini, antara soalan yang sering diajukan kepada saya ialah kaedah atau mekanisme untuk menjernihkan hubungan PAS dan Pakatan Rakyat. Dalam hal ini ramai pihak berhipotesis seolah-olah PAS menjadi satu-satunya punca keretakan hubungan Pakatan Rakyat ketika ini.

Sebelum saya menyentuh langsung hipotesis di atas, saya ingin menegaskan bahawa Pakatan Rakyat terbina dengan konsensus yang telah dipersetujui bersama. Kesepakatan ini tidak terbina dengan pengisian yang kosong. Di dalamnya - selain konsensus Buku Jingga yang dikenali umum - terbina suatu kefahaman atau jalur politik yang sama iaitu percaya bahawa Malaysia perlu dan mampu diubah.

Atas jalur tersebut, maka sedikit demi sedikit PAS, PKR dan DAP membina kepercayaan antara satu sama lain. Bermula dengan mencari titik perjuangan yang sama, kepercayaan ini merimbun menjadi pasukan politik yang utuh dan disebut-sebut sebagai koalisi atau tahaluf paling berpotensi untuk mengambil alih teraju pemerintahan daripada Barisan Nasional.

Kini pasukan politik paling berpotensi ini sedang diuji dengan konflik pengurusan perbezaan yang paling serius. Kegagalan untuk berkomunikasi dengan baik menjadi faktor utama konflik ini semakin melebar dan meruncing. Keadaan ini menampakkan seolah-olah setiap parti politik merasakan bahawa mereka berhak untuk memperjuangkan kehendak masing-masing tanpa memikirkan samada pasukan Pakatan ini telah selesai membela dan memperjuangkan hak dan kesusahan rakyat yang menjadi tunjang koalisi ini terbentuk.

Atas faktor itu saya berpandangan bahawa seluruh pimpinan politik harus lebih matang dan teliti dalam mengurus krisis yang sedang berlaku. Perbincangan (musyawarah) dengan tujuan mencari jalan keluar harus diutamakan berbanding menembak sesama sendiri di alam maya. Politik adalah sesuatu yang dinamik. Jika perbincangan pertama tidak selesai, usah berfikir bahawa perbincangan kali kedua juga tidak akan selesai. Pengalaman memimpin Pakatan Rakyat Perak sebelum ini membuktikan pelbagai masalah besar dapat di selesaikan dengan musyawarah.

Serangan demi serangan yang dihala kepada Ustaz Abdul Hadi Awang tidak akan memberikan kelebihan politik kepada mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat. Hentikan serangan-serangan tersebut. Kalau pun niatnya mahu menegur, bukan itu caranya. Beliau masih lagi seorang insan yang perlu dipelihara maruahnya. Usah berpolitik dengan amarah dan emosi. Kedepankan hikmah (kebijaksanaan) dalam berkomunikasi. Mudah-mudahan kesemua kebaikan-kebaikan dalam politik ini akan timbul dan memudahkan urusan perjuangan kita.

~Ahmad Awang

KedahLanie

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena