Friday, 29 May 2015

UMNO & Hudud, komen UAA...RUU Hudud gagal dibentang, PR yang akhirnya BERANTAKAN!

Jumaat, 29 Mei 2015

UMNO & Hudud, Komen Ahmad Awang (Pemikiran Calon Presiden PAS -5)




Calon presiden PAS, Ahmad Awang bercakap mengenai hudud, Umno dan parti Islam itu dalam satu temubual di rumahnya di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 29 Mei, 2015.

Calon presiden PAS, Ahmad Awang mempertikaikan keikhlasan Umno dalam menyokong hasrat Kelantan melaksanakan hudud di negeri pantai timur itu, mengatakan ia merupakan permainan politik parti Melayu itu.
Ahli politik veteran itu percaya, ketiadaan rang undang-undang persendirian PAS dalam aturan urusan mesyuarat sepanjang 2 minggu Dewan Rakyat bersidang sejak 18 Mei lalu, membuktikan Umno mempermainkan mereka.
"Dalam sidang Parlimen yang lepas, usul ini dikatakan akan dibincang dalam sidang kali ini. Tetapi sehingga sekarang, ia tidak ada pun. Saya yakin, kita berjaya dipermainkan Umno," kata Ahmad kepada The Malaysian Insider
Sebelum ini, pada mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 yang berakhir pada 9 April, alasan yang diberikan ialah banyak rang undang-undang perlu diutamakan.
Ia menyebabkan rang undang-undang persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu terpaksa diletakkan di hujung sekali, dan akhirnya tidak sempat dibincangkan.

Calon presiden PAS, Ahmad Awang menjawab soalan ketika ditemubual di rumahnya di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 29 Mei, 2015.
"Kali ini pula, kerana ada Rancangan Malaysia ke-11. Kesudahannya, langsung tiada dalam jadual," kata Ahmad yang menduga rancangan 5 tahun itu mungkin dijadikan alasan untuk sekali lagi rang undang-undang itu tidak berjaya dibentangkan.
"Ada yang kata, speaker memaklumkan, atas arahan perdana menteri, rang undang-undang persendirian ini tidak boleh dibawa,” katanya.
Katanya, keadaan itu mungkin juga berkaitan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah dan Sarawak yang tidak senang dengan tindakan Kelantan dan lantang bersuara menentang pelaksanaan hudud.
"Kesimpulannya, (sokongan kepada) hudud ini hanya permainan politik Umno dan tujuan politik, bukan untuk dilaksanakan," kata Ahmad.
Bekas naib presiden PAS itu berkata, jika benar-benar ikhlas dalam isu hudud ini, wakil rakyat Umno sendiri perlu membawa cadangan pindaan tersebut ke Dewan Rakyat.
"Kalau Umno yang membentangkannya, kerja akan jadi lebih mudah, kerana ia mewakili kerajaan. Ia juga mengesahkan Umno memang menyokongnya.
"Tetapi keadaan sekarang ini terkontang-kanting," kata Ahmad yang juga bekas pesuruhjaya PAS Perak. 
Pada sesi Dewan Rakyat yang lepas, harapan Hadi agar rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dibacakan, musnah apabila ia ditangguhkan ke mesyuarat kali ini.
Rang undang-undang itu bertujuan meminda akta yang juga dikenali sebagai Akta 355 itu, bagi membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.
Bagi membolehkan pelaksanaannya, Kelantan memerlukan sokongan daripada ahli Parlimen BN, yang hingga kini masih belum membuat pendirian rasmi mengenai perkara itu.
Pada Mac, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang disokong semua penggubal undang-undang di negeri itu, termasuk daripada Umno.
Ini membawa kepada perpecahan yang makin mendalam antara PAS dan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) - DAP dan PKR.
Ahmad berkata, PAS terperangkap dalam isu ini kerana terlalu percaya dengan janji Umno.
"Saya ada pengalaman sendiri dengan Umno. Saya tidak percaya kepada mereka," kata bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia itu.
Ahmad pernah menjadi pengarah dakwah di Jabatan Perdana Menteri ketika Tun Hussein Onn menjadi perdana menteri.
Beliau pernah beberapa kali menyiapkan teks ucapan untuk Hussein pada majlis yang berkaitan dengan agama Islam.
Bagaimanapun, katanya, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan itu, beliau diketepikan dan dipindahkan ke Kementerian Pelajaran, tanpa diberikan sebarang tugas yang berkaitan dengan bidangnya, iaitu hal ehwal agama.
"Saya kenal sangat dengan Umno ini, tidak boleh dipercayai," katanya mengimbau kembali apa yang dialaminya ketika berkhidmat dengan kerajaan sebelum bersara.
"Hatta surat penghargaan untuk saya selepas bersara juga ditarik balik menjelang hari persaraan saya," kata Ahmad yang mendakwa beliau sepatutnya dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang pertama berdasarkan kekananan perjawatannya.
Ahmad berkata hudud ialah perkara yang perlu diterima umat Islam sebagai sebahagian daripada tuntutan agama, sebagaimana umat Islam perlu menerima ibadat solat sebagai satu kewajipan.
"Solat ini wajib bagi umat Islam, tetapi ada syarat untuk solat. Begitu juga kewajipan hudud. Tetapi bagaimana ia hendak dilaksanakan, perlu ada syaratnya," katanya.
Katanya, hudud juga, bukan keutamaan dalam Islam kerana berdasarkan ilmu fikah, ia terletak terkemudian berbanding yang lain.
"Fikah Islam disusun dengan memulakan ibadat. Ibadat yang utama ialah solat. Selepas itu, barulah muamalah, dan kemudian, undang-undang jenayah, yang termasuk di dalamnya hudud," katanya.
Semalam dilaporkan pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai rang undang-undang ahli persendirian bagi meminda Akta 355 itu.
Ahli Parlimen Kota Baru Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pandikar sedang mengkaji rang undang-undang Hadi itu dan menunggu kelulusan Putrajaya untuk membenarkannya dimasukkan ke dalam aturan urusan mesyuarat Dewan. – 29 Mei, 2015



Tidak kelihatan keazaman Umno pastikan KJS dilaksana

Biarpun sudah diwujudkan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Jenayah Syariah peringkat Persekutuan, namun Umno dan Kerajaan Pusat dilihat masih berdolak-dalik.

Malah kemungkinan tidak dapat ditolak Umno akan kembali serius membincangkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (KJS) di Kelantan apabila tiba kempen Pilihan raya Umum ke-14.

Sedangkan pada 28 Mac tahun lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Bahrom memberitahu di Dewan Rakyat, sekiranya kerajaan Kelantan bersedia melaksanakan hukum hudud, kerajaan Pusat turut bersama-sama.

“Terpulang kepada ahli-ahli Yang Berhormat untuk membawa usul persendirian bagi membentang Rang Undang-Undang daripada ahli yang bukan ahli kerajaan di Dewan Rakyat,” kata Jamil Khir ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Dr Azhar Abdullah berkata sehingga sekarang tidak kelihatan keazaman yang kuat daripada Umno untuk memastikan KJS dapat dilaksanakan di Kelantan.

“Kita tahu Umno tidak ikhlas untuk memastikan perundangan tersebut benar-benar dapat dilaksanakan di negeri ini,” katanya pada penerangan KJS dan GST di Kampung Kasar malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik dan Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Datuk Hanifa Ahmad.

Dr Azhar berkata ketidaksungguhan Umno juga dapat dilihat apabila sehingga sekarang gagal membentangkan pindaan Akta 355 di Parlimen.

Sedang difahamkan pada 15 Disember 2014 Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju supaya pindaan di buat ke atas Akta 355.

Selain itu usul persendirian bagi membolehkan KJS dilaksanakan di Kelantan, yang dibawa anggota parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sesi lepas tidak mendapat kebenaran parlimen.

“Saya percaya Umno akan perap usul persendirian tersebut sehingga PRU ke-14. Kalau lulus pun mungkin pada peringkat bacaan pertama, selepas itu kerajaan pusat akan menangguh sekali lagi untuk membolehkan kajian dilakukan kabinet,” katanya. -HD



ULASAN GB

GB sudah ulas banyak kali sebelum ini bahawa isu Hudud hanyalah permainan UMNO untuk pecahbelahkan Pakatan Rakyat. Tetapi golongan ulama percaya kononnya UMNO mengenai hal hudud berkenaan.

GB sudah katakan sebelum ini, Hudud: PAS Tak Tertipu Jika Dengar Nasihat Yusof Qardhawi. Petikan:

Demikianlah berjalannya hukum kebenaran dan keadilan.

Bergegak-gempita golongan pro-ulamak (baca: pro-UMNO) dalam PAS mengenai hudud beberapa minggu lalu. Dituduhnya mereka yang tidak bersetuju RUU itu dibentangkan sebagai anti-ulama malah anti-Islam. Akhirnya sekarang tiba-tiba senyap dan sunyi sepi bab hudud.

GB sudah ulas di dalam entri sebelum ini. Petikan:
GB beri contoh iaitu di dalam isu Bil Persendirian yang dihantar oleh Presiden PAS. Haji Hadi menyatakan apabila UMNO mengajak kita berunding, maka wajib kita terima, samada mereka ikhlas atau tidak, itu urusan Allah. Kita telah menyatakan kepada beliau bahawa UMNO sudah dikenali sebagai kumpulan penipu dan Rasulullah telah berpesan melalui hadithnya jangan dipatuk ulas dua kali.

Apa jadi... semua orang tahu. Haji Hadi yang "yakin dapat memebntang Rang Undang0undang itu pada sessi parlimen yang lepas diaibkan... "Masa tak cukup nak bentang.."... mudah saja ditipu. Sekarang kena hantar semula Bil Persendirian berkenaan untuk sesi parlimen akan datang. Agak-agaknya dapat tak dibentangkan? Ia Bil Persendirian, maknanya terletak di agenda terakhir lagi.Jawapan yang serupa akan diperolehi... tiada masa yang cukup untuk dibentangkan. Berapa kali sudah mahu dipatuk ular?


Jikalah didengar pendapat dan nasihat Ketua Ulama Sedunia, Sheikh Yusuf Al-Qardhawi seperti di atas, maka tidak timbul pergolakan mengenai isu hudud. GB juga sudah ulas di dalam entri tersebut. Petikan:

Itu sebab mengapa kita perlu prioritaskan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan disamping menghapuskan kezaliman melalui Pakatan Rakyat terlebih dahulu sebelum kita dapat melaksanakan hudud. 

Dan sebab itu juga penting kita menguasa Putrajaya terlebih dahulu. Semua ajensi kerajaan sudah dapat dita kawal...sistem pendidikan pun kita kawal dan subjek hudud boleh diperkenalkan dan ditekankan di peringkat sekolah. Media main peranan untuk menerangkan hudud dan kebaikan-kebaikannya. Sedikit demi sedikit nanti rakyat akan faham mengapa hudud itu wajib dilaksanakan. Bila kita dah ada kuasa..tekanan dan halangan dari mana-mana pihak hatta DAP sekaipun dapat kita kurangkan bila kita berjaya meyakinkan mereka Islam itu adil kepada semua.

Apa yang berlaku kini adalah disebaliknya. Timbul suara-suara pimpinan tertinggi PAS kata, hudud lebih penting dari Putrajaya, hudud lebih penting dari pakatan Rakyat dan seumpamanya macamlah UMNO 100% akan sokong hudud yang nak dibentangkan di Parlimen nanti...

Mereka yang hendak melaksanakan hudud sebelum rakyat dibangunkan dengan ciri kehidupan Islam adalah umpama orang yang turun berlari dari Bukit Uhud untuk merebut ghanimah, sedankan Islam belum betul-betul menang lagi. Akhirnya, musuh mengambil peluang merebut Bukit Uhud dan kemudian menghancurkan umat Islam yang berebut ghanimah itu. Bezanya ialah kalau di dalam Perang Uhud Rasulullah saw sendiri memerintah jangan turun dulu untuk merebut ghanimah, tetapi di dalam isu sekarang, pemimpin tertinggi PAS sendiri yang menyuruh turun rebut ghanimah!

Bangunkan dahulu kehidupan Islam. Itu penegasan Al-Qardhawi. Apakah Kelantan sudah beres membantu dan mebangunkan penduduk yang telah terlibat dengan banjir baru-baru ini contohnya? Kajian Merdeka Center sebelum ini adalah betul.

... Dalam tinjauan yang dilakukan terhadap 1008 pengundi, 84% daripadanya bersetuju usaha pemulihan pasca banjir diutamakan Kelantan pimpinan PAS ( daripada mengutamakan hal hududu) dan pandangan sama turut disuarakan sejumlah majoriti besar (81%) pengundi Melayu-Islam seluruh Semenanjung Malaysia.

"Cadangan kerajaan negeri Kelantan untuk menarik perhatian terhadap enakmen kanun jenayah hudud ini tidak akan meningkatkan kedudukan parti memerintah negeri (PAS) di kalangan pengundi Kelantan ataupun pengundi beragama Islam di peringkat nasional.

"Perkara ini mengimbas semula prestasi teruk parti tersebut semasa Pilihan Raya Umum 2004 di bawah manifesto 'Negara Islam' yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan PAS Terengganu dan hampir kalah di Kelantan," kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian dalam satu kenyataan...


Sekarang seperti GB katakan sebelum ini..."ayam terlepas tangan bau tahi". Hudud gagal dkemukakan, hubungan PAS dengan rakan komponen Pakatan Rakyat pula jadi berantakan.

Bukankah Allah telah berfirman di dalam Surah Ar-Rahman, ayat 33:

“Wahai jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan (ilmu pengetahuan).”

Huraiannya: kamu tidak dapat perjuangkan apa pun hatta hukum Allah sekalipun TANPA ada kukuatan, kuasaaan dan ilmu pengetahuan. Sebarang perjuangan sekalipun namanya Islam, namanya untuk menegakkan syariat Allah tanpa memiliki kekuatan, kekuasaan dan ilmu pengatahuan hanyalah perjuangan yang mengikut hawa nafsu dan akan hanya menemui kegagalan, kekalahan dan kehinaan.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena