KUALA LUMPUR, 22 Julai:

PKR akan bekerjasama dengan dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam usaha untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang yang kini sedang berhadapan dengan krisis di antara PAS dan DAP.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang disampaikan melalui peguamnya berkata, rakyat Malaysia perlu bersatu ketika negara sedang berada dalam krisis.
Selain itu, PKR juga akan terus menjalinkan kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti BERSIH 2.0, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).
“Di saat genting ini, rakyat Malaysia perlu bersatu dan bertekad untuk menyelamatkan negara kita.
“Kita sedang berusaha mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, dan akan bekerjasama dengan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti BERSIH, ABIM, IKRAM dan Gerakan Harapan Baru yang baru sahaja diwujudkan.
“Permuafakatan ini merupakan kesepakatan kumpulan-kumpulan yang komited kepada reformasi dan perubahan, yang akan memberikan pilihan yang benar-benar demokratik dan adil kepada Rakyat,” katanya seperti yang dikongsi oleh Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar, kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional terus menafikan keadaan negara yang terus berada dalam krisis yang semakin teruk.
“Nilai mata wang ringgit merudum, tatkala rasuah dan skandal kewangan mencapai tahap yang belum pernah disaksikan sejak merdeka lagi.
“Marilah kita ketepikan segala pertimbangan dan perbezaan yang lain dan berikan fokus kepada perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya.