Sila Saman bukannya Halang Akses Sarawak Report wahai kerajaan Malaysia
KENYATAAN MEDIA
SAMAN, BUKAN HALANG AKSES SARAWAK REPORT
Halangan akses kepada laman web Sarawak Report oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini amat dikesali dan cukup membimbangkan bagi pengamal media, aktivis hak asasi manusia, dan rakyat Malaysia. Walaupun laman tersebut kini memaparkan mesej "Laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana kandungannya melanggar undang-undang negara", kemungkinan besar salah satu sebab utama Sarawak Report dihalang bagi pengguna internet di Malaysia kerana rencana-rencana menggempar mengenai isu 1MDB.
Kerajaan Malaysia sepatutnya tidak menggunakan langkah-langkah kukubesi seperti ini - ada pelbagai cara untuk mengatasi halangan akses, malah sesiapa sahaja yang tahu mengguna Google boleh mencari jalan penyelesaian - dan hadapi isu dengan berlaku jujur terhadap rakyat Malaysia mengenai isu 1MDB yang dibawa bukan sahaja Sarawak Report malah media antarabangsa lain seperti Wall Street Journal, atau dengan memfail saman terhadap pengendali laman web Sarawak Report dan bawa mereka ke mahkamah.
Tindakan terkini ini, yang berlaku selepas "exposé" janggal Datuk Abd Rahman Dahlan, mengukuhkan persepsi umum bahawa pentadbiran Dato' Sri Najib Razak sudah kehilangan terlalu banyak kredibiliti dan terpaksa "mengecam pemberi maklumat". Kalau boleh dipinjam kata-kata Rahman Dahlan sendiri, "Malangnya, Putrajaya memilih untuk tidak memperdulikan mesej itu dan sebaliknya memburuk-burukkan dan mengecam pembawa mesej itu." Putrajaya patut mendengar nasihat menterinya sendiri.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
19 Julai 2015
0 comments:
Post a Comment