Tuesday, 10 May 2016

[Video] Mengapakah AMANAH 'sewajarnya' mewakili PH bertanding di Sg Besar, Kuala Kangsar? "PH perlu tampil dengan lebih berintegriti dan berkeyakinan".

Rabu, 11 Mei 2016
Pemuda Amanah Negeri Perak
Pilihan Raya Kecil: Antara Cabaran dan Kepentingan Amanah
Oleh MUHAMAD FAEEZ AZAHAR
Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak baru sahaja melabuhkan tirai dengan menyaksikan BN kekal mencengkam kekuasaannya, dalam masa yang sama pembangkang gagal menyinar apabila hanya memperoleh hanya 10 kerusi sahaja.
Parti Amanah Negara (Amanah) gagal menyinar dalam pilihan raya tersebut, dengan beberapa alasan dan faktornya tersendiri. Parti yang berusaha 7 bulan ini gagal mendapat tempat di hati pengundi Sarawak, berkemungkinan rakyat bumi kenyalang masih belum mengenali dengan lebih baik disamping beberapa kekurangan yang berlaku dalam kalangan pakatan pembangkang.
Kini tertumpu kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar selepas kedua-dua wakil rakyat kawasan tersebut terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak. Sudah pasti PRK ini lebih panas dan menjadi perhatian seluruh dunia.
Ramai yang berpandangan, keputusan PRN Sarawak tidak 'menjiwai' mood sebenar rakyat Malaysia yang sedang mendendam rasa kecewa terhadap kepimpinan negara yang diketuai oleh Dato' Seri Najib Tun Razak. Maka PRK di dua parlimen ini adalah platform untuk menilai survival politik Malaysia.
Rakyat mahu melihat adakah Deklarasi Rakyat dan Gerakan Selamatkan Malaysia yang diketuai oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mempunyai momentumnya tersendiri. Kebobrokan kerajaan ketika ini sangat dirasai oleh seluruh rakyat namun sokongan rakyat khususnya orang Melayu belum lagi teruji.
Di pihak pembangkang kini lebih 'meriah' setelah munculnya Amanah seterusnya wujudnya Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat. Pas pula bertindak ego untuk tidak menyertai blok pakatan pembangkang sebaliknya mewujudkan blok ketiga.
Semua ini belum teruji dengan sebenar-benarnya, maka PRK kali ini sangat mencabar dan penting bagi pembangkang mahupun kerajaan untuk menilai prestasi dan penemerimaan rakyat terhadap mereka.
Belum sempat bunga di pusara layu, Pas sudah mengumumkan akan bertanding di kedua-dua kerusi tersebut. Katanya ia adalah kerusi tradisi yang ditandingi Pas dan ia perlu dipertahankan. Umno juga telah melaungkan semboyan untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh mereka itu.
Pakatan Harapan masih berteka-teki adakah akan turut serta mahupun tidak. Jika mengikut perkiraan, Amanah berperanan menggantikan tempat Pas di dalam pakatan maka secara automatik kedua-dua kerusi tersebut sepatutnya ditandingi oleh Amanah. Namun Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyatakan keputusan bertanding atau tidak akan diumumkan 15 Mei ini.
Ramai yang mempersoalkan adakah Amanah wajar untuk bertanding di kerusi ini kerana Pas sudah bertegas untuk meletakkan calon. Kononnya, Amanah akan jadi pengacau kepada Pas untuk menjatuhkan BN. Naib Pengerusi Amanah Perak, Dr Muhaimin Sulam berpandangan, Amanah perlu berkorban di Kuala Kangsar dengan tidak meletakkan calon.
Adakah cadangan ini wajar? Saya menyambut baik cadangan tersebut, namun saya turut berpandangan PRK Kuala Kangsar adalah sangat penting bagi Amanah dalam mempersiapkan kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Amanah dan Pakatan Harapan perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan tiga penjuru pada PRU14 ini jika Pas masih kekalkan pendiriannya untuk tidak bersama dalam pakatan pembangkang.
Pilihan raya ini adalah medan paling sesuai untuk mewajahkan kemungkinan yang akan berlaku pada PRU14 nanti, Amanah dan Pakatan Harapan boleh membuat persediaan awal dengan menjadikan keputusan PRK ini sebagai rujukan. BN pula mahu membuktikan sokongan rakyat terhadap mereka masih kuat walaupun kerajaan dipalit dengan pelbagai skandal. Manakala Pas mahu membuktikan bahawasanya mereka kuat dan tidak terjejas sokongannya biarpun tidak berada dalam pakatan pembangkang.
Tidak salah untuk menjadikan PRK ini sebagai uji kaji memandangkan tempoh PRU14 hanya kira-kira dua tahun sahaja daripada sekarang. Maka, bagi saya penyertaan Amanah dalam PRK ini sangat penting untuk memperkanalkan parti Islam baharu ini dan Pakatan Harapan kepada masyarakat.
Namun Pakatan Harapan perlu tampil dengan lebih berintegriti dan berkeyakinan dalam PRK kali ini. Pimpinan ketiga-tiga parti iaitu KeAdilan, Amanah dan DAP perlu bergerak seiringan untuk menzahirkan kesungguhan serta kesepaduan jitu dalam mendapatkan keyakinan masyarakat.
Ayuh! Suburkan Demokrasi Malaysia! Selamatkan Malaysia!
*Penulis adalah Penolong Setiausaha Pemuda AMANAH Negeri Perak

AMANAH Mahu Bertanding Di Sg Besar, Kuala Kangsar?


Parti Amanah Selangor (AMANAH) sewajarnya mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Demikian kata Pengerusinya Izham Hashim yang berpendapat secara prinsipnya parti itu telah menggantikan tempat PAS dalam PH.

“Oleh kerana AMANAH menggantikan PAS dalam PH maka sewajarnya kami yang bertanding di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Kita ada ramai calon yang berkelayakan dan perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat AMANAH Nasional pada 15 Mei nanti,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong selepas wakil rakyat terbabit, merangkap Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, Khamis lalu.

Tragedi itu turut meragut nyawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Konstabel Ahmad Sobri Harun.

Sementara itu, Izham turut diminta mengulas kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini yang menyarankan PAS kembali bersama DAP dan PKR sebagai sebuah pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti

“Mana-mana pimmpinan daripada komponen parti dalam PH bebas menjemput sesiapa atau mana-mana parti menyertai PH. Namun, kaedah penerimaan mestilah mengikut tatacara yang terkandung dalam perjanjian PH yang ditandatangani baru-baru ini.

“PH percaya pembangkang perlu bersatu di bawah satu platform bagi menghadapi BN.

“Walau bagaimanapun parti-parti berkenaan perlulah jujur dan bersedia mematuhi segala peraturan berhubung dengan perjalanan PH. Juga mereka perlu dipersetujui keahlian oleh ketiga-tiga parti komponen PH sedia ada,” tegasnya lapor FMT

Posted by Anak Sungai Derhaka 

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena