Thursday, 12 May 2016

[Video] Hutang 1MDB RM27.8b: Negara korbankan wang rakyat boleh menampung kos bina 2 IPTA, 3 hospital.

Jumaat, 13 Mei 2016

Hutang 1MDB RM27.8b: Negara korbankan 2 IPTA, 3 hospital

ULASAN Saya agak terkejut dengan kenyataan Gabenor Bank Negara yang baru, Datuk Muhammad Ibrahim yang dipetik berkata bahawa beliau yakin kerajaan akan memastikan semua hutang 1MDB akan dibayar.
Walaupun saya faham amaran tersirat beliau kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kedudukan ekonomi dan kewangan negara hanya boleh pulih sekiranya beban kewangan akibat 1MDB diselesaikan segera, ia seolah-olah melupakan bahawa sebarang hutang 1MDB yang diselesaikan kepada kerajaan sebenarnya mendera rakyat lebih teruk dari sekarang.
Hutang-hutang 1MDB
Hakikat bahawa hutang-hutang 1MDB akhirnya akan ditanggung oleh rakyat bukanlah satu perkara yang baru diketahui.
Rakyat sudah tahu bahawa jika pun hutang-hutang ini tidak dibayar terus oleh Kerajaan Persekutuan melalui pengambilalihan anak syarikat 1MDB seperti yang berlaku dengan SRC International Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, hutang-hutang itu akan ditampung oleh suntikan aset negara, kontrak-kontrak besar, pemberian geran dan lain-lain oleh Kerajaan Persekutuan.
Jumlah hutang 1MDB yang kini telah dan berkemungkinan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan adalah terlalu besar, seperti berikut:
HUTANG YANG TELAH DIAMBIL ALIH
i. Hutang SRC sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) melalui pemindahmilikan SRC dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
ii. Hutang Bandar Malaysia sebanyak RM2.4 bilion dari Tabung Haji melalui pemindahmilikan Bandar Malaysia dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
HUTANG YANG BERKEMUNGKINAN TERPAKSA DIAMBIL ALIH
i. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang dijamin IPIC tetapi telah melanggar syarat pinjaman apabila 1MDB gagal membayar faedah bulan lalu.
ii. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang juga dijamin IPIC dan faedah perlu dibayar hari ini. Jika tidak dibayar oleh 1MDB, sekali lagi ia melanggar syarat pinjaman.
iii. Hutang dalam bentuk terbitan sukuk/bon patuh shariah berjumlah US$1.83 bilion (bersamaan RM7.4 bilion) yang boleh dituntut serta merta akibat pelanggaran syarat pinjaman hutang-hutang (i) dan (ii) akibat dari “cross defaults”.
Ini bermakna, jumlah hutang-hutang 1MDB yang telah dan berkemungkinan besar akan diambilalih oleh Kerajaan Persekutuan adalah RM27.8 bilion.
Hutang-hutang ini juga menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar faedah tahunan (dipanggil bayaran kupon) sepanjang tempoh hutang itu belum dilangsaikan.
Untuk membuat anggaran tanggungan hutang 1MDB yang rakyat sedang berdepan, saya menganggarkan kadar faedah 5% bagi kesemua hutang-hutang itu dan tempoh matang purata 15 tahun. Maka jumlah tanggungan sebenar hutang-hutang 1MDB yang berkemungkinan dibayar oleh rakyat Malaysia adalah:
Hutang pokok yang telah diambilalih dan berkemungkinan diambilalih (seperti di atas) RM27.8 bilion
Bayaran faedah pada 5% setiap tahun bagi 15 tahun RM20.85 bilion
JUMLAH KESELURUHAN RM48.65 bilion
Untuk mengenalpasti kesan tanggungan hutang sebanyak ini kepada kehidupan harian rakyat Malaysia, kita perlu pecahkan tanggungan ini kepada peruntukan tahunan yang terpaksa dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menanggung hutang ini seperti berikut:
Bayaran faedah tahun pada kadar 5% RM1.4 bilion
Simpanan tahunan untuk bayaran pokok dalam 15 tahun RM1.9 bilion
PERUNTUKAN TAHUNAN DIPERLUKAN RM3.3 BILION
Maknanya, rakyat Malaysia mesti menyedari bahawa setakat ini, jumlah peruntukan tahunan yang terpaksa dipotong atau tidak dibelanjakan bagi tujuan rakyat akibat hutang 1MDB (yang kita ketahui setakat ini) adalah dianggarkan RM3.3 bilion.
Kesan kepada rakyat Malaysia
Saya cuba membayangkan kesan ini kepada rakyat dengan menterjemahkannya kepada 2 perkara yang kosnya cukup membebankan setiap keluarga di Malaysia: kos menanggung pendidikan tinggi dan kos kesihatan/perubatan.
Sebuah universiti awam yang baik dan mampu menawarkan pendidikan pada kos yang berkali ganda lebih murah dari IPTS kepada sekitar 5,000 pelajar pada satu-satu masa dianggarkan memerlukan pelaburan awam sebanyak RM750 juta (mengambil kira pembinaan IPTS seperti Kampus Lakeside Taylor’s University yang jauh lebih murah dari itu).
Pada masa yang sama, sebuah hospital besar di peringkat daerah yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan/perubatan yang baik kepada sekitar 100,000 orang penduduk dianggarkan berjumlah RM500 juta (mengambil kira kos hospital sedia ada).
Ini bermakna, apabila peruntukan sebanyak RM3.3 bilion terpaksa dilencongkan setiap tahun untuk membayar hutang 1MDB, jumlah itu bersamaan dengan pembinaan dan operasi 2 universiti awam (IPTA) dan 3 hospital awam SETIAP TAHUN. Bagi tempoh matang purata selama 15 tahun, ini bermakna rakyat Malaysia akan kerugian 30 universiti awam (IPTA) dan 45 hospital awam akibat menanggung hutang 1MDB setakat ini.
Sebab itu, skandal 1MDB ini tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan rakyat berputus asa hanya kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri. Pimpinan politik dan masyarakat turut sama perlu memikirkan langkah mengelakkan tanggungan hutang ini dan mengambil tindakan secepat mungkin (bukan hanya tertumpu kepada persoalan menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti mana fokus Deklarasi Rakyat akhir-akhir ini).
Saya akan berbincang dengan rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan dan ahli-ahli Parlimen untuk mencari jalan mengelakkan hutang-hutang ini diambilalih oleh rakyat.

RAFIZI RAMLI anggota Parlimen Pandan.

Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena