Pekerja Nepal di Malaysia dieksploitasi, lapor akhbar Nepal
OLEH EILEEN NG October 06, 2013
Kathmandu traffic jam
Pekerja Nepal dijanjikan pendapatan lumayan tetapi sebaliknya apabila tiba di Malaysia.Dianggarkan sekitar 600,000 pekerja asing dari Nepal yang kini berada di Malaysia dieksploitasi dan menerima bayaran terlalu rendah, lapor akhbar Nepal, Republica.
Akhbar berkenaan memuat naik artikel bertajuk "Malaysia lebih teruk" yang ditulis oleh Ishwar Rauniyar, wartawan bagi agensi berita BBC menganggarkan terdapat 253 kes kematian melibatkan pekerja asing Nepal di Malaysia sejak tahun lalu dan menjadikan negara ini "destinasi kematian" untuk mereka datang bekerja.
Pendapat itu dikeluarkan selepas pekerja Nepal berusia 30 tahun membunuh diri di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur bulan lalu akibat dipinggirkan.
Menurut laporan, disebabkan bebanan hutang dan tindakan kerajaan terhadap pekerja asing, pekerja Nepal itu bertekad menamatkan nyawanya.
Kematian itu menerima perhatian Tenaganita, badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak dan nasib warga asing, dan menyeru kerajaan mengambil berat permasalahan itu.
Bercerita pengalamannya bergaul dengan pekerja Nepal di Malaysia beberapa tahun lalu, Ishwar yang menulis laporan ini berkata situasi mereka "amat menyedihkan".
"Mereka menghabiskan masa di atas lantai bangunan imigresen di Kuala Lumpur. Ada yang sehingga berbulan. Mereka tidur di atas lantai tanpa makanan dan air.
"Seorang yang saya paling tidak dapat lupa menghidap cirit-birit kerana hanya meminum air paip. Dia menangis dan berkata jika tidak diselamatkan dalam beberapa hari keluarganya hanya akan menerima mayatnya."
Kedutaan Nepal di Malaysia jelas Ishwar tidak mengetahui berkenaan perkara itu semasa beliau memaklumkannya kepada pihak kedutaan.
"Dalam tempoh dua minggu di Malaysia, saya bertemu beberapa warga asing Nepal yang menunggu untuk diselamatkan. Ada yang bersembunyi di dalam hutan dan yang masih bekerja di lapangan untuk membolehkan mereka mendapatkan sumber pendapatan supaya mampu membayar hutang."
Beliau berkata situasi warga asing Nepal di Malaysia dan beberapa negara Teluk amat menyedihkan yang mana negara pembekal dan penerima gagal menguruskan pekerja asing sedangkan mereka beroleh "manafaat besar" daripada pekerja berkenaan.
Berdasarkan kajian, beliau berkata pekerja asing cenderung ditipu 16 kali sepanjang perjalanannya ke destinasi pilihan.
Ia bermula dengan “ah long” di kampung mereka kemudiannya syarikat sumber manusia sehingga ke destinasi terakhir.
Berdasarkan pengiraannya, seorang pekerja asing Nepal perlu membayar Rs125,000 untuk ke Malaysia sedangkan jumlah sepatutnya hanyalah Rs80,000.
Rakan Nepalnya cuba untuk menghubungi pejabat Ketua Pengarah Sumber Manusia Nepal, Jabatan Tenaga Kerja Asing, termasuk Perdana Menteri Nepal, namun tiada sebarang tindakan dilakukan.
"Bagaimana keadilan dapat ditegakkan untuk orang kebanyakan dalam negara ini? Warga asing miskin menjadi mangsa kerajaan. Bukan sahaja perlu membayar lebih, mereka juga tidak menerima kerja yang dijanjikan dan gaji yang rendah," katanya.
Kerajaan Nepal jelasnya perlu memperuntukkan undang-undang buruh yang lebih baik termasuk mengkaji polisi sedia ada.
"Bukan negara penerima yang membayar penyelewengan, namun negara sumber seperti Nepal membayar menggunakan darah rakyatnya," katanya.
Lebih 40,000 pekerja asing Nepal memenuhi ruangan pekerjaan setiap tahun, dengan 90% daripadanya bekerja di luar negara.
Secara purata, 1,6000 warga Nepal meninggalkan negara mereka setiap hari untuk bekerja di Teluk, Korea Selatan dan Malaysia.
Hasil pendapatan mereka di luar negara dengan jumlah 2.5 juta pekerja menghasilkan tukaran wang terbesar untuk negara.
Tahun lalu, pulangan mereka menerima sekitar RM14.3 bilion, hampir suku Keluaran Dalam Negara Kasar Nepal. – 6 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider
0 comments:
Post a Comment