UiTM patut bangga pelajarnya berfikiran kritikal
KUALA LUMPUR 8 MEI: Universiti Teknologi Mara (UiTM) sewajarnya berbangga apabila pelajarnya berani mempersoalkan dasar-dasar negara yang memberi kesan terhadap kehidupan rakyat.
“Sebagai institusi yang diasaskan untuk menggalakkan pendidikan bagi masyarakat Bumiputera sepatutnya berbangga dengan mahasiswa bumiputera yang menunjukkan kebebasan intelektual,” kata Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau merujuk tindakan UiTM menghantar surat kepada mahasiswa UiTM Sabah, Mohd Fathihie Gadius yang berdepan tindakan disiplin kerana tulisan di Facebooknya mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST).
Tambah Nik Nazmi, tindakan itu menyekat kebebasan berfikir dan bersuara mahasiswa yang menyumbang kepada kedudukan dan reputasi menyedihkan institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Mohd Fathihie pada 28 April lalu menerima surat menyatakan yang beliau melanggar Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 kerana membuat kenyataan awam dengan menggunakan laman sosial Facebook.
Ia dikatakan menggalakkan perbuatan melanggar tatertib, kekacauan, keengkaran atau pelanggaran terhadap Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 di kalangan pelajar UiTM cawangan Sabah menerusi beberapa tulisan daripada Oktober 2013 – Januari 2014.
Dalam pada itu, Nik Nazmi turut mempersoalkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meminda Akta Universiti dan Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.
“Malangnya insiden terbaru ini di mana mahasiswa berfikiran bebas ditekan menunjukkan betapa kosongnya janji ini, seperti usaha-usaha ‘transformasi’ gagal Najib yang lainnya.
“Ini suatu pencabulan pemikiran yang waras dan hak asasi manusia.
“Mahasiswa-mahasiswa ini adalah rakyat Malaysia dan berhak menyuarakan pandangan mereka tentang isu-isu penting awam-termasuk GST,” ujar Nik Nazmi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=61400
0 comments:
Post a Comment