Pemuda UMNO WP merusuh, ancam bakar bangunan ibu pejabat DAP
KUALA LUMPUR, 22 MEI: Lebih 50 orang samseng Pemuda Umno diketuai Mohd Razlan Muhamad Rafi mengadakan demonstrasi di hadapan ibu pejabat DAP di Jalan Pudu di sini kira-kira jam tiga petang tadi.
Mereka juga bertindak biadap dengan mencetuskan provokasi perkauman apabila membawa banner bertulis ‘RSN Rayer anak haram!’ dan ‘Melayu Umno bukan barang dagangan! Mampus DAP!’ dan melaungkan ‘hidup Melayu’ dan ‘hancur DAP’.
Bukan itu sahaja, mereka turut mengancam untuk membakar bangunan DAP.
Mohd Razlan yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan turut bertindak melampau apabila menggumpalkan kertas memorandum bantahan dan membalingnya ke arah muka Ahli Parlimen DAP Serdang Ong Kian Ming.
Tindakan biadap itu berlaku ketika Mohd Razlan ingin menyerahkan memorandum bantahan kepada DAP, berikutan kenyataan ‘Umno celaka’ oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selasa lalu.
Beliau juga memaki hamun Kian Ming dan wakil parti yang lain, antaranya Pegawai Komunikasi dan Media DAP Medaline Chang.
“Ingat, sekali lagi saya dengar anda hina parti, saya akan bakar bangunan ini,” jeritnya selepas itu.
“Kalau mereka boleh kata kita celaka, apa salahnya kalau kita bakar bangunan ini,” jerit Mohd Razlan dan disambut sorakan peserta lain.
Pergaduhan juga hampir tercetus selepas beberapa peserta cuba meluru masuk ke dalam kawasan bangunan, sebelum dihalang Unit Tindakan Ringan dan anggota polis lain.
Namun, salah seorang sempat melepaskan diri dan mematahkan papan tanda parti di hadapan pintu masuk bangunan.
Semalam, samseng Umno Pulau Pinang menceroboh ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), akibat tidak berpuas hati dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN RAYER yang mengatakan “Umno celaka’ ketika sidang DUN Selasa lalu.
Isu itu dianggap selesai selepas Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid memohon maaf di atas pencerobohan itu. – Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment