Lim: Saya bukan Malaysian Official 1, kamu bagaimana, Najib?
Sejak Jabatan Keadilan, (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil berkaitan dengan dana 1MDB, terdapat spekulasi mengenai identiti ‘Malaysian Official 1' yang dirujuk dalam dokumen berkenaan.
Antara hipotesis, menurut pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, adalah sama ada dirinya adalah individu tersebut.
Bagaimanapun, memandangkan ini adalah perkara serius dan membabitkan maruah dan reputasi antarabangsa Malaysia, Lim membuat keputusan untuk berterus-terang.
"Biar saya secara rasmi mengakui bahawa saya bukan ‘Malaysian Official 1'," katanya.
Dalam perkembangan sama, ahli politik veteran itu mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membuat deklarasi yang sama.
"Bolehkah perdana menteri menyatakan pendiriannya - secara rasmi menafi atau mengesahkan sama ada dirinya itu dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1'.
"Dan jika beliau adalah individu berkenaan, apa yang beliau cadang untuk lakukan berhubung tindakan DOJ itu," katanya dalam satu kenyataan media petang ini.
Walaupun saman sivil DOJ tidak menyebut nama Najib, Lim berkata, sesiapa sahaja yang membaca 136-halaman tuntutan mahkamah itu tidak akan mempunyai keraguan tentang identiti sebenar ‘Malaysian Official 1' - kerana huraiannya hanya merujuk kepada seseorang.
Secara khusus, Lim merujuk kepada perenggan 39 dalam tuntutan mahkamah itu yang menyatakan: "Sebaik penubuhannya (1MDB), ‘Malaysian Official 1' mengambil kedudukan berkuasa dalam 1MDB. ‘Malaysian Official 1' berkuasa untuk meluluskan semua pelantikan dan penyingkiran lembaga pengarah 1MDB pengarah dan pasukan pengurusan kanan 1MDB."
"Selain itu, sebarang komitmen membabitkan kewangan 1MDB, termasuk pelaburan, yang berkemungkinan menjejaskan jaminan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia untuk manfaat 1MDB atau mana-mana dasar kerajaan Malaysia, perlu mendapat kelulusan ‘Malaysian Official 1',” petik dokumen itu.
Lim berkata DOJ merujuk kepada Fasal 117 Memorandum dan Artikel Persatuan (M & A) 1MDB di mana perdana menteri perlu memberi kelulusan bertulis untuk sebarang urusan 1MDB - termasuk pelaburan firma itu atau sebarang usaha penyusunan semula.
Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment