Kenyataan Media
KEGANASAN MENJELANG SYAWAL
1. Para pengganas layak digelar sebagai kejam dan tidak berhati perut. Kejadian di Masjid Nabawi dan Bandar Qatif serta Jeddah semalam dan sebelumnya di Turki dan Bangladesh serta di Puchong, Malaysia mendesak warga dunia mempertingkatkan peperangan ke atas pengganas dengan segala kemampuan yang ada.
2. Keganasan atas apa alasan adalah anti-kemanusiaan yang lazimnya memangsakan nyawa yang tidak berdosa. Seluruh warga dunia khususnya umat Islam mengutuk serangan di tempat suci kedua bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah.
3. Ketenangan menyambut Syawal dirosakkan dengan kebencian, keganasan dan kebinatangan malah seluruh manusia terasa 'dibunuh' dengan kekejaman ini. Islam mengharamkan pertumpahan darah dan mewajibkan memelihara nyawa. Al-Quran menyifatkan membunuh satu nyawa adalah seolah membunuh manusia keseluruhannya dan begitulah sebaliknya memelihara satu nyawa manusia seolah telah menghidupkan keseluruhan kemanusiaan (Al-Maidah 32).
4. Keganasan tidak ada kena mengena dengan mana- mana agama kerana mereka tidak beragama, jauh sekali mewakili umat Islam. Membenteras keganasan bermula dengan membenteras kefahaman menganggap kelompoknya 'suci', fahaman rasis dan fahaman dogmatik agama yang sempit sehingga timbul kebencian antara agama dan kaum.
5. Kita harus bersatu menentang ideologi keganasan dengan meyakini bahawa membudayakan kebebasan bertanggungjawab dan menghormati kemanusiaan adalah jalan ke hadapan untuk membenteras bibit-bibit keganasan selain punya pertahanan nasional tangkas yang memelihara keselamatan awam dan negara.
Saya mengutuk sekerasnya serangan keganasan terkini dan sebelumnya.
Benteras dan Cantas Keganasan!
Bebaskan Rakyat dan Selamatkan Negara!
Sekian
Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden Parti Amanah Negara
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden Parti Amanah Negara
5 Julai 2016
0 comments:
Post a Comment