Muhyiddin: ‘MO1’ ialah Najib, masih mahu dia memimpin?
Muhyiddin berkata sudah tiba masanya identiti MO1 diumumkan supaya pihak lain tidak difitnah sebagaimana Agong difitnah.
KUALA LUMPUR: Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini secara terbuka mengisytiharkan Datuk Seri Najib Razak adalah orang di sebalik “Malaysian Official 1” yang disebut 36 kali dalam kertas siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) bulan lalu.
“Memandangkan sudah pasti saya betul, saya menggesa ahli Umno berfikir apakah mereka mahu orang ini menjadi pemimpin parti mereka?
“Saya menggesa rakyat Malaysia berfikir, apakah orang ini yang mereka mahu sebagai perdana menteri?” kata Muhyiddin, yang kini menunggu kelulusan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas pemimpin Umno lain.
Pada 20 Julai, DoJ memfailkan saman untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa dicuri daripada 1MDB.
Dokumen 130 muka surat membutirkan hasil siasatannya turut menamakan beberapa individu, termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz, yang didakwa menggunakan berjuta dolar daripada 1MDB bagi pengeluaran filem Hollywood “The Wolf of Wall Street”.
Dokumen tersebut bagaimanapun tidak menamakan Najib, tetapi menyebut MO1 sebanyak 36 kali, yang sering dikaitkan dengan Najib, walaupun disangkal pemimpin Barisan Nasional (BN).
Yang terbaru, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, dalam beberapa catatan Facebooknya berkata jika menurut Perlembagaan Malaysia, MO1 atau “pegawai Malaysia pertama” yang disebut pihak berkuasa AS itu merujuk kepada Yang Di-Pertuan Agong.
Ia mengundang kutukan pelbagai pihak yang menuduh Nawawi biadap terhadap Agong.
Muhyiddin berkata amat penting bagi pihak berkuasa Malaysia mendedahkan identiti MO1 dengan segera supaya tidak ada pihak lain menjadi mangsa fitnah sebagaimana yang menimpa Agong.
Muhyiddin berkata sekiranya Umno gagal mempertahankan Agong, parti itu wajar dikuburkan.
“Umno mesti dikuburkan sekiranya ia tidak mampu mempertahankan institusi Yang Di-Pertuan Agong tetapi lebih gemar membela presidennya dan kini seorang ahli politik kecil-kecilan yang boleh menghina Agong tanpa apa-apa tindakan,” kata Muhyiddin.
0 comments:
Post a Comment