Rabu, 21 Disember 2016
Amanah harap dua negara tangani kes tembak Duta Rusia ke Turki
MALAYSIA DATELINE
Penembak memakai sut gelap dan tali leher menembak duta Rusia ke Turki di belakang
Parti Amanah Negara (Amanah) merakam ucapan takziah kepada keluarga Duta Rusia ke Turki yang ditembak mati di Ankara semalam.
Ketua Biro Antarabangsa Amanah Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pihaknya mengutuk pembunuhan itu dan berpandangan wakil rasmi sesebuah negara berhak mendapat perlindungan keselamatan ketika berada di negara lain.
"Tiada hujah boleh mewajarkan pembunuhan ini kerana beliau adalah wakil rasmi negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Turki," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Luar Rusia mengesahkan kejadian itu selepas tersebarnya rakaman video menunjukkan penyerang yang merupakan pegawai polis melaungkan slogan Islam dan mengecam keadaan di Aleppo.
Raja Bahrin berkata, dengan kegawatan dan pertumpahan darah yang sedang berlaku di Syria dan ketidakstabilan di Turki, pembunuhan ini mungkin mempunyai kesan yang serius jika tidak ditangani dengan betul.
"Kami menggesa Rusia dan Turki untuk berwaspada dan berhati-hati dalam menangani kejadian tragis ini.
"Kami sedar terdapat pelbagai pihak yang berusaha untuk memusnahkan kestabilan Turki dan merosakkan hubungannya dengan Rusia dan ini mungkin satu usaha untuk mengasingkan Turki dari kuasa dunia berpengaruh besar," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Penembak yang memakai sut gelap dan tali leher menembak duta berkenaan di belakang dan terus menghayunkan pistolnya di galeri seni yang menjadi lokasi insiden tersebut.
Penyerang juga dilaporkan melaungkan "Allahu Akbar" beberapa kali dengan disertakan hadis para sahabat Nabi Muhammad SAW yang digunakan secara meluas antaranya oleh pemberontak Syria.
Amanah juga mengalu-alukan kenyataan daripada pemimpin kedua-dua negara, Recep Tayyip Erdogan dan Vladimir Putin untuk bersama-sama menyiasat kejadian itu dan berhati-hati dengan percubaan untuk memproak-perandakan hubungan antara kedua-dua negara.
"Turki adalah sebuah negara Islam yang penting dihormati oleh umat Islam dan negara-negara bukan Islam. Semoga kestabilan dan keamanan kekal di Turli," katanya.
0 comments:
Post a Comment