ANTARA BERKECUALI DAN SEDAR DIRI, ADAKAH DUA AHLI PARLIMEN PAS TAK PEDULI DERITA PENGUNDI SENDIRI?
Jika tidak kerana sikap berkecuali dua Ahli Parlimen Pas dalam pengundian peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Dewan Rakyat malam tadi, Bajet 2018 pasti akan menyaksikan ia ditolak buat pertama kalinya.
Dalam pengundian belah bahagi yang dijalankan, itu pun setelah dilengah-lengahkan oleh Timbalan Speaker untuk membolehkan beberapa Ahli Parlimen BN memasuki Dewan, kerajaan mendapat 52 undi manakala pembangkang beroleh 51 undi.
Dua Ahli Parlimen Pas yang berkecuali sehingga menyebabkan BN mendapat kelebihan satu undi itu ialah Idris Ahmad (Bukit Gantang) dan Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang).
Meskipun demikian, oleh kerana pengundian berkaitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu melibatkan beban kos sara hidup rakyat, enam Ahli Parlimen Pas telah menunjukkan keprihatinan mereka dengan turut mengundi menolak bajet tersebut.
Enam Ahli Parlimen Pas yang berbuat demikian ialah Mahfuz Omar (Pokok Sena), Ahmad Marzuki Shaary (Bachok), Wan Hassan Wan Ramli (Dungun), Nik Mazlan Nik Mohamad (Pasir Puteh), Izani Hussin (Pengkalan Chepa) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian).
Memetik kenyataan Mahfuz, pendirian mereka menolak pengundian bajet peringkat jawatankuasa kali ini, sebagaimana yang diberitahu kepadanya, adalah kerana ia melibatkan soal kos kehidupan rakyat.
Sekurang-kurangnya, meskipun berkecuali dalam pengundian Bajet 2018 untuk bacaan kali kedua sebelum ini, enam Ahli Parlimen Pas tersebut ada keprihatinan tersendiri dan sedar diri terhadap tanggungjawab serta amanah sebenar di bahu mereka.
Apakah sikap Idris Ahmad dan Sifi Zailah yang berkecuali itu menunjukkan mereka tidak peduli langsung berhubung kenaikan kos sara hidup yang turut dideritai oleh pengundi pengundi Bukit Gantang dan Rantau Panjang?
Apa pun, pendirian dua Ahli Parlimen Pas itu tersebut secara nyata memperlihatkan kecondongan yang memihak kepada UMNO, BN dan kerajaan berbanding kepedulian terhadap rakyat yang memilih mereka sebagai wakil rakyat.
Itukah sebahagian politik matang dan sejahtera? (ShahbudinHusin 21/11/2017)
0 comments:
Post a Comment