In a rural part of Tuaran, Sabah, the students of Kampung Pukak have been travelling for three hours daily to school.
Kerajaan lama dikuasai Umno yang wajar ditukar
KENYATAAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak bahawa ubah kerajaan persekutuan bukan jalan penyelesaian masalah negara jelas menunjukkan Umno kini goyang lutut untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang kerana bimbang berdepan dengan kekalahan nanti.
Memang amat wajar untuk menukar kerajaan persekutuan. Tidak dinafikan lagi, jika tayar sesebuah kereta itu haus, maka satu-satunya pilihan yang ada adalah untuk menukarkannya dengan tayar yang lebih baik.
Demikianlah, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kini sudah haus, dan jika diteruskan lagi ia hanya akan bahayakan pemandu. Sudah terlalu lama Umno mentadbir negara ini dan kami mahu perubahan drastik terhadap pentadbiran yang sedia ada.
Perubahan drastik terhadap pentadbiran diperlukan jika kita mahu Malaysia diselamatkan. Pada 2008, kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang mengalami perubahan dan sejak itu kita nampak perkembangan positif yang memanfaatkan rakyat.
Rakyat Selangor dan Pulau Pinang mendapat manfaat daripada pentadbiran yang cekap oleh kedua-dua kerajaan negeri dan statistik menunjukkan perkembangan ekonomi secara positif dan dasar-dasar yang berteraskan kebajikan rakyat.
Walaupun komposisi politik berubah sejak 2014, namun komitmen terhadap kebajikan rakyat tetap diambil perhatian.
Beza Pakatan Harapan (PH) dan BN ialah kita bukannya ada motif untuk mencetuskan isu perkauman seperti Umno yang sentiasa menggunakan isu ini untuk menakutkan rakyat supaya mereka kekal berkuasa.
Konsep dan idea yang dikongsi bersama adalah untuk menjaga keharmonian dan kebajikan rakyat. Cara pentadbiran bersih, telus dan cekap yang sentiasa diperjuangkan oleh PH hanya akan memberikan kesani positif kepada ekonomi negara sekali gus memastikan rakyat mendapat manfaat, tidak mengira daripada segi kekayaan atau kemudahan.
Seperti contoh, BR1M diperkenalkan selepas kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang mula memberikan elaun untuk golongan emas, OKU dan pelajar pada 2009 lagi.
Kerajaan persekutuan sendiri mengambil iktibar daripada inisiatif kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang. Jika perubahan pada 2008 tidak berlaku, inisiatif reaktif seperti BR1M tidak akan diperkenalkan.
Peruntukan bagi masyarakat berbilang agama juga dinaikkan oleh kedua-dua kerajaan negeri dan semakin meningkat sejak diberi mandat oleh rakyat.
Sebaliknya BN hanya pandai menjaga kroni masing-masing. Menggunakan alasan kos sara hidup tinggi kerana pasaran dunia adalah alasan yang tidak munasabah dan tidak bertanggungjawab kerana tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat tidak dibebankan oleh isu ekonomi dunia.
Justeru, tidak salah jika ada pelbagai pihak meminta perubahan di peringkat kerajaan persekutuan. Pembaharuan patut ada. Idea berdasarkan kebajikan rakyat harus diberikan keutamaan dan rakyat berhak diberikan pilihan. – 24 November, 2017.
* Muhammad Shakir Ameer ialah penolong setiausaha publisiti DAPSY.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
0 comments:
Post a Comment