LIVE: Sidang media Menteri Pengangkutan bertemu JPJ
Polis cari Musa Aman untuk bantu siasatan
Polis sedang cuba mengesan bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk membantu siasatan berhubung dakwaan mengenai gangguan terhadap Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.
Memetik kenyataan Ketua Polis Sabah Datuk Ramli Din, The Star Online melaporkan pihak berkuasa mengetahui Musa kini tidak berada di sekitar Kota Kinabalu ketika ini.
"Kami masih cuba untuk mendapatkan beliau," katanya.
Setakat ini kata Ramli polis sudah merakamkan kenyataan daripada sembilan orang, termasuk Juhar sendiri.
Siasatan itu dibuat ekoran laporan dibuat Juhar sendiri kepada polis pada 14 Mei lalu.
Kata Ramli kenyataan Musa perlu diambil sebelum siasatan dilengkapkan dan kertas siasatan diserah kepada timbalan pendakwa raya.
Ramli dipetik berkata demikian selepas menghadiri majlis serahan kuih untuk anggota keselamatan di Menara Tun Mustapha di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan timbalannya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Kata Ramli siasatan terhadap Musa dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan perbuatan menakut-nakutkan secara jenayah.
Jika disabitkan kesalahan seseorang itu boleh dihukum penjara dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Musa ialah ketua menteri Sabah sehinggalah pilihan raya umum ke-14 berlangsung pada 9 Mei lalu.
Mewakili Umno, Musa dan parti itu gagal mempertahankan kuasa di Negeri Di Bawah Bayu itu apabila gagal memperoleh kerusi majoriti di dewan undangan negeri (DUN).
Asalnya Musa mengangkat sumpah menjadi ketua menteri pada 10 Mei lalu namun 'tumbang' apabila sejumlah wakil rakyat memilih untuk menyokong Mohd Shafie yang mengetuai Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Mohd Shafie kemudian mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua menteri pada 12 Mei. Musa kemudian memfailkan saman terhadap Juhar bagi membatalkan pelantikan Mohd Shafie.
Kata Ramli siasatan yang dijalankan dapat memberi gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku di Istana Negeri pada malam 10 Mei lalu.
WARISAN kini menguasai 35 dari 60 kerusi DUN Sabah.
Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment