Seramai 17 aktivis pelajar yang berkhemah di luar Parlimen ditahan polis pada Selasa malam. -Foto Twitter Sim Tze Tzin
#OccupyParliament: 17 aktivis pelajar ditahan polis
Astro Awani | Ogos 26, 2015 09:37 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 17 aktivis pelajar yang berkhemah di luar Parlimen ditahan polis pada Selasa malam.Mereka merupakan antara 30 individu yang mengambil bahagian dalam protes duduk #OccupyParliament untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak meletak jawatan, lapor portal berita theSun hari ini.
Ketua Polis Sentul ACP R. Munusamy mengesahkan 17 individu itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam tadi.
"Kumpulan itu terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita," kata Munusamy.
Menurutnya, pihak polis telah memberikan masa lebih 24 jam kepada pemprotes sebelum meminta mereka bersurai namun arahan itu tidak diendahkan.
Tambahnya, 17 individu itu ditahan di bawah Seksyen 142(B) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam aktiviti yang menggugat demokrasi berparlimen.
Munusamy berkata mereka yang ditahan dibawa ke lokap Balai Polis Jinjang.
Sementara itu, aktivis pelajar Nazrul Nazir dipetik Malay Mail Online sebagai berkata mereka dikepung dan ditahan setelah enggan beredar dari lokasi mereka berhimpun.
"Kami berada di luar Parlimen. OCPD Sentul mengarahkan kami meninggalkan kawasan di mana jarak antara kami dan bangunan Parlimen kira-kira 50 meter.
"Kami menjarakkan diri dan mereka (polis) beredar sebentar. Tiba-tiba mereka datang semula; kira-kira 40 ke 50 anggota polis dan mereka mengelilingi kami semua. Mereka mula menahan kami; ada antara kami yang berjaya melepaskan diri," katanya kepada Malay Mail Online.
Tambah Nazrul, pihak polis memaklumkan mereka melakukan jenayah di bawah Seksyen 124 (B), Kanun Keseksaan kerana berkhemah melebihi 24 jam di luar Parlimen.
Mereka yang ditahan hari ini termasuk Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (PMUM) Ammar Atan, selain aktivis pelajar Khairol Najib, Lee Chung Lun dan Lau Yi Leong.
Pada Ahad, kira-kira 30 mahasiswa meneruskan protes dengan berikrar akan duduk di hadapan bangunan Parlimen sehingga Datuk Seri Najib Razak bersetuju meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Mereka kemudiannya berkhemah di luar Parlimen sehinggalah polis menahan mereka pada Selasa malam.
0 comments:
Post a Comment