Melayu juga tak lagi sokong Najib
Kita bertemu di Dataran untuk BERSIH 4.0
Adakah benar tuduhan, datang hadir menunjuk perasaan ke perhimpunan Bersih 4 menjadikan kita orang yang mementingkan diri sendiri (selfish)?
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, sudahpun membalas dakwaan tersebut dengan penegasan perhimpunan itu bertujuan untuk mendesak penambahbaikan ke arah sebuah kerajaan dan sistem pilihanraya yang lebih adil, menghapuskan amalan rasuah serta tuntutan menyelamatkan ekonomi negara.
Mementingkan diri sendiri dapat membawa maksud, menyintai orang lain itu suatu kebaikan, manakala menyayangi diri sendiri itu pula suatu kejahatan.
Ianya suatu pengertian yang dicipta penguasa dalam doktrin kekuasaan negara yang terpusat (autoritarianisme) sebagai perkakas kawalan untuk menekan kespontanan, kesemulajadian dan pertumbuhan diri seseorang individu.
Slogan selfish autoritarianisme menuntut pengorbanan, penyerahan diri individu semutlaknya (ke tahap tertentu secara membuta-tuli kepada kekuasaan negara).
Dengan episod pemecatan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, perkembangan politik di Malaysia masa kini tambah menarik, tetapi cukup berbahaya dan boleh mendarurat.
Awalnya, saya melihat ia hanyalah pengulangan peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim, hampir dua dekad yang lalu. Tetapi sebagaimana yang disebut ramai penganalisa politik, ketika itu, saudara Anwar bukan sahaja dipecat daripada jawatan dalam kerajaan sebagai timbalan perdana menteri malah jawatannya sebagai timbalan presiden parti Umno juga.
Namun demikian, Muhyiddin mendapat sokongan jitu ‘bangsa Johor’. Selepas Muhyiddin dipecat, Sultan Johor Sultan Ibrahim Mahmud Iskandar memanggil Muhyiddin menghadap ke istana. Muhyiddin masih lagi Timbalan Presiden Umno.
Kita dapat memerhatikan arus kemarahan rakyat terhadap dasar-dasar pemerintahan, skandal-skandal rasuah, pecah amanah serta penyelewengan kuasa semakin membesar menjadi gelora ombak dan gelombang.
Ungkapan-ungkapan ketidakpuasan hati rakyat dapat dikesan berlambakan beredar dalam kitaran maklumat media sosial dan Internet.
Tinjauan terbaru menunjukkan pengguna Internet tidak percaya kepada perdana menteri dan kerajaan. Tidak ada lagi yang dapat disembunyikan daripada skandal kewangan 1MDB.
Daripada laporan media berwibawa seperti Wall Street Journal, Sarawak Report, The Edge, desakan mantan Perdana Menteri, ulasan putera raja, keluhan golongan bangsawan dan korporat, kicauan artis-artis selebriti arus perdana seperti Siti Nurhaliza dan Amy Search, sehinggalah kepada pendedahan yang dibuat tokoh-tokoh utama pembangkang serta tuntutan masyarakat madani sejak dahulu lagi.
Dalam konteks kepentingan diri (self interest) suatu jalinan kesepaduan rakyat Malaysia telahpun tumbuh atas bantuan isu skandal kewangan syarikat 1MDB. Misalnya campur tangan pentadbiran Najib terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun dalam pasukan polis dan pihak-pihak berkuasa yang terlibat menyiasat 1MDB telah menghasilkan solidariti rakyat terhadap institusi-institusi penting kerajaan ini.
Najib tidak akan semudahnya melepaskan jawatannya. Tidak dalam masa yang terdekat ini. Terlalu banyak kepentingan diri yang terpaksa dilucutkan. Pemecatan Muhyiddin daripada pentadbiran kerajaan menunjukkan kedegilan atau barangkali menurut kehendak hati Rosmah Mansor, inilah keteguhan semangat juang anak Bugis.
Tetapi bagaimana kita mengukur sokongan pihak yang mahukan Najib Razak melepaskan jawatan dan skandal 1MDB disiasat seadil-adilnya? Adakah cukup dengan melihat sebanyak mana komen-komen dan kritikan yang dibuat?
Di sinilah BERSIH 4 amat mustahak sebagai referendum rakyat.
Aturan kekuasaan warisan kolonial yang dibangunkan Umno selama lebih separuh abad kemerdekaan negara ini (58 tahun) menjadikan kedudukan jawatan presiden Umno dan perdana menteri sebagai pusat kuasa pada martabat teratas darjat yang paling tinggi di Malaysia. Pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun memperkuat akar autoritarianisme tersebut, sehinggakan dirujuk sebagai Mahathirisme.
Namun, meski dilihat sinis Dr. Mahathir kini mula berikhtiar memadamkan satu demi satu struktur autoritarianisme yang memakai namanya itu. Apa yang diperlihatkan beliau sekarang, barangkali hanyalah taktik politik semata-mata.
Jikalau di zaman pemerintahannya, sering diungkapkan demonstrasi bukan budaya kita, kini pendirian itu telah bertukar.
Jikalau di zaman pentadbiran Dr Mahathir, tiada kebebasan bersuara dan media asing dituduh cemburu, kini suara beliau dipetik dengan nada positif dalam laporan-laporan media utama antarabangsa dan media alternatif dalam negeri.
Sekali air bah, sekali pasir berubah. Kita mengalu-alukan perubahan ke arah keadaan yang lebih baik, untuk diri sendiri, keluarga, tetangga, masyarakat, negara dan untuk kesejagatan hak-hak semua manusia. Kita tidak lupa masa lalu, tetapi kita memandang ke hadapan dengan berlapang dada.
Malangnya terdapat segelintir kumpulan anak muda yang sudah berubah arah, menentang perhimpunan Bersih. Apapun motivasi mereka, raikanlah demokrasi. Kata bidalan lama, patah tumbuh, hilang berganti.
Inilah reformasi, tidak sempurna. Pada sudut tertentu masih banyak sisi-sisi gelapnya dan perlu waktu serta usaha berterusan untuk dicerahkan. Ia mengajak kita bergerak ke arah kesempurnaan, meski ia hanyalah harapan.
Tetapi harapan itulah yang menghidupkan kita untuk masih bernafas di bumi ini. Apatah lagi di kala nilai tukaran ringgit berbanding wang asing semakin jatuh merudum. Saat menulis artikel ini, ringgit telah melepasi tahap RM4 berbanding 1 dolar Amerika Syarikat.
Pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu baru-baru ini memberikan amarannya, “negara kita ini sudah berada dalam keadaan paling ‘darurat’. Darurat ekonomi, darurat rasuah, darurat penyalahgunaan kuasa, darurat penyelewengan ini perlu dihentikan.”
Bekas tahanan ISA yang mesra dipanggil Abang Mat itu juga turut menyeru,“rakyat perlu bersatu untuk perbetulkan keadaan ini melalui protes himpunan bantah secara aman terhadap pemerintahan Najib.”
Kembali kepada persoalan mementingkan diri sendiri (selfish). Menurut kupasan ahli falsafah Erich Fromm, “menjadi orang yang selfish bermakna dia hanya berminat kepada dirinya sendiri, mahukan segalanya untuk dirinya, tidak mendapat nikmat memberi tetapi hanya mengambil.
Sudut pandangannya terhadap dunia luar cuma melihat apa yang dapat diperolehinya; dia tidak berminat dalam keperluan-keperluan orang lain, serta turut tidak menghormati integriti dan maruah orang lain.”
Tuntutan-tuntutan BERSIH, GHB, pembangkang dan masyarakat madani lainnya memperlihatkan sikap self love (cinta diri); makna kata keupayaan mereka menyintai diri sendiri secara produktif itulah yang memberdayakan mereka menyintai kekasihnya, mengasihi sesama manusia, menyayangi penghidupan tanah air dan alam semesta.
Demi Cinta, keranamu Malaysia, kita jumpa 29-30 Ogos ini, di Dataran Merdeka.
RAHMAT HARON seorang seniman outsider.
0 comments:
Post a Comment