MB: Demo esok akan jadi yang terbesar
Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata perhimpunan BERSIH 4 akan menjadi yang terbesar dalam sejarah negara ini kerana didorong oleh keadaan semasa ekonomi.
“Oh, saya ingat meluaslah. Yang terbesarlah saya rasa,” katanya ketika ditanya berapa ramai dijangka hadir dalam perhimpunan esok.
BERSIH 4 akan berlangsung di tiga kota besar – Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching – selama 34 jam bermula petang esok.
Ia berlangsung ketika berlaku krisis kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kemerosotan nilai ringgit terburuk dalam 17 tahun serta penyusutan tahap rizab negara bawah paras AS$100 bilion.
Beliau yang juga timbalan presiden PKR juga mengambil kesempatan mengajak pelbagai pihak berhimpun esok, dan tidak semestinya penyokong pembangkang atau BERSIH sahaja hadir hadir.
“Sekarang dengan isu-isu ekonomi, nilai ringgit yang semakin menyusut, keyakinan pelabur asing sudah terhakis, jadi rakyat bertanggungjawab untuk bangkit supaya perhimpunan BERSIH adalah satu perhimpunan untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi,” katanya.
Azmin juga berkata, perhimpunan esok untuk menyatakan pendirian bahawa rakyat mahukan pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab.
“Dan saya yakin perhimpunan ini aman demi untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi,” katanya.
Azmin sendiri dijangka hadir dalam perhimpunan esok.
“Oh, ya,” katanya ringkas ketika ditanya akan mengambil bahagian atau tidak.
0 comments:
Post a Comment