GHB : PERHIMPUNAN AMAN BERSIH 4.0 PENTING UNTUK PERTAHAN KUASA MORAL RAKYAT.
1. Negara kita sedang berhadapan dengan pelbagai skandal yang sangat menjolok mata, pembohongan melampau, pemerkosaan hak rakyat, dan salah urus kekayaan negara, seolah tiada lagi batasnya.
2. Pemimpin negara bertindak sesuka hati, para pegawai pelaksana undang-undang disingkir, suara yang menegur diugut dan ditekan, dan rakyat dibohongi saban hari.
3. Ekonomi negara pula sangat tenat. Nilai Ringgit merudum tiada kawalan. Harga rumah, barang keperluan harian, dan kos perniagaan meningkat di luar tahap kemampuan kebanyakan rakyat. Sedang harta negara diratah sesuka hati oleh para penguasa. Amanah hilang entah ke mana.
4. Kebejatan ini tidak mungkin berlaku di dalam negara yang punya KUASA MORAL yang tinggi. Tetapi, kuasa moral rakyat kelihatan cuba dihakis terus. Dhamir rakyat yang masih punya kuasa moral sangat terluka dengan keadaan ini. Mereka mesti bangkit menyatakan sikap dan pendirian.
5. Gerakan Harapan Baru menyeru semua pendokong dan penyokongnya, serta seluruh rakyat negara ini, agar turut serta dalam Perhimpunan Aman Bersih 4.0, yang akan berlangsung pada 29hb hingga 30hb Ogos ini, bermula jam 2.00 petang di ibu negara.
6. Himpunan ini sangat penting bagi mempertahankan kuasa moral rakyat sekaligus demi menyelamatkan Malaysia daripada segala kebejatan yang tidak berpenghujung ini.
Amanah. Progresif. Peduli.
Hj Mohammad Bin Sabu
Pengerusi
Gerakan Harapan Baru
0 comments:
Post a Comment