BERSIH kumpul RM1.5j, akan dedah akaunnya
Badan pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH, atas kerelaannya sendiri, akan mendedahkan akaunnya memandangkan jumlah sumbangan yang besar yang telah diterimanya.
Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata, sambutan orang ramai terhadap kempen derma BERSIH untuk perhimpunan BERSIH 4 sangat memberangsangkan.
Setakat ini, kata beliau, pihaknya telah menerima lebih RM1.5 juta sumbangan dan jumlah itu jauh melebihi anggaran awal mereka sebanyak RM200,000 memandang masalah ekonomi yang dihadapi rakyat Malaysia.
Walaupun telah mengisytiharkan bahawa sasaran kutipan itu telah melebihi sasarannya, kata Maria, namun masih ada sumbangan yang dibuat.
Maria berkata, dengan lebih banyak dana, bermakna lebih banyak pilihan untuk BERSIH 4, di mana lebih banyak peralatan boleh disewa untuk acara tersebut.
"Ini termasuk tandas mudah alih, peranti komunikasi, sistem bunyi, lampu dan set generator," katanya.
Bagaimanapun, sebahagian besar daripada perbelanjaan akan digunakan untuk membiayai anggota keselamatan dan logistik.
Maria berkata BERSIH juga akan menggunakan wang itu untuk membiayai ikatjamin dan kos tindakan perundangan, jika perlu.
Butiran akaun BERSIH akan didedahkan kepada umum selepas perhimpunan BERSIH 4 yang akan berlangsung hujung minggu ini.
BERSIH 4 bertujuan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berundur, ekoran kontroversi 1MDB dan sumbangan derma RM2.6 bilion yang diterima sebagai sebahagian daripada pembiayaan politik.
malaysiakini
0 comments:
Post a Comment