Friday, 18 September 2015

Abu Dhabi dakwa AS$1 bilion lagi daripada 1MDB hilang & Bank Rakyat Bongkar 'Skandal Pinjaman RM32 Juta Rosmah'

Jumaat, 18 September 2015

Abu Dhabi dakwa AS$1 bilion lagi daripada 1MDB hilang, lapor WSJ

Wall Street Journal (WSJ) hari ini melaporkan AS$1 bilion lagi bayaran kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada anak syarikat pelaburan Abu Dhabi daripada 1MDB masih belum ditemui. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 September, 2015.
Sepuluh hari selepas muncul tuduhan kehilangan bayaran AS$1.4 bilion (RM6.02 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada anak syarikat pelaburan Abu Dhabi pada November 2014, Wall Street Journal (WSJ) hari ini melaporkan AS$1 bilion lagi masih belum ditemui.

Pegawai di sana cuba menjejak AS$993 juta yang dilaporkan dibayar 1MDB kepada International Petroleum Investment Co (IPIC), kata WSJ.

Akhbar harian perniagaan itu pada 9 September melaporkan IPIC, syarikat pelaburan negeri Emiriah Arab Bersatu menjamin AS$3.5 juta bon yang dikeluarkan 1MDB untuk membiayai pembelian loji jana kuasa pada 2012.

Sebagai balasan, IPIC ada opsyen untuk membeli 49% pegangan dalam loji jana kuasa itu dan juga sebagai cagaran bagi bon berkenaan.

1MDB melaporkan ia membayar semula IPIC AS$1 bilion, manakala pihak IPIC berkata tidak menerima bayaran kedua. Dana pelaburan negara itu berkata, akaun kewangannya yang diaudit dan ditandatangani oleh Deloitte, termasuk dengan AS$1.4 bilion yang didakwa hilang itu.

Pada Isnin, pendakwa persekutuan Switzerland berkata Malaysia bersetuju untuk mengaturkan penyiasat Switzerland menemubual saksi dalam siasatan mereka berhubung tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram berkait dengan 1MDB.

Tuduhan hari ini menambah kepada masalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memandangkan 1MDB adalah ilhamnya dan mengumpul hutang lebih RM42 bilion dalam tempoh 6 tahun beroperasi.

Rakyat Malaysia memilih untuk berdemonstrasi di jalanan pada 29 dan 30 Ogos lalu dalam perhimpunan Bersih 4 mendesak peletakan jawatan Najib susulan skandal 1MDB dan isu RM2.6 bilion diterima daripada penderma Timur Tengah terus ke akaun peribadinya menjelang pilihan raya umum pada 2013.

Pada Rabu, perhimpunan ‘baju merah’ diadakan sebagai tindakan balas terhadap Bersih 4 dan untuk menunjukkan sokongan kepada Najib. – 18 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/abu-dhabi-dakwa-as1-bilion-lagi-daripada-1mdb-hilang-lapor-wsj#sthash.KQlctxSk.dpuf
Kedah Lanie.

Bank Rakyat Bongkar Skandal Pinjaman RM32 Juta Rosmah


Skandal Bank Rakyat RM32 juta yang mendapat perhatian ramai tahun lepas kini diceritakan dalam sebuah buku berjudul "Membongkar Skandal Deepak & Bank Rakyat" tulisan Shahbudin Husin, yang dilancarkan oleh pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid. 

Buku yang dikarang penulis blog terkenal itu menampilkan wawancara dengan bekas pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik, yang juga bekas setiausaha agung Umno.

Dalam buku terbaharu Shahbudin ini, beberapa perkara dibongkar melibatkan peranan usahawan permaidani, Deepak Jaikishan dalam skandal Bank Rakyat.

Buku itu mendedahkan hubungan Deepak dengan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan layanan istimewa diberikan kepada beliau dalam isu pinjaman Bank Rakyat.

Sanusi semasa berucap melancarkan buku itu di Petaling Jaya hari ini, berkata tidak pernah dalam sejarah Umno seorang bekas setiausaha agung dimalukan dan dihina seperti dilakukan terhadap Sabbaruddin.

"Belum pernah daripada 21 bekas setiausaha agung Umno dimalukan dan dihina seperti yang dilakukan ke atas Sabbaruddin," kata Sanusi, yang merupakan menteri semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kontrak Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat berakhir pada 8 April 2014 dan tidak disambung di atas arahan Datuk Seri Hasan Malek.

Hasan, yang juga menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, didakwa masuk campur isu penyambungan kontrak Sabbaruddin kerana tidak berpuas hati dengan bekas pengerusi Bank Rakyat tersebut.

Sabbaruddin berkata tujuan buku ini diterbitkan adalah bagi menegakkan keadilan bagi dirinya.

"Saya rasa ini tidak adil kepada saya dan mereka yang terlibat. Beliau (Hasan) menyalahguna kuasa," katanya.

Buku itu mengandungi 26 bab dan diterbitkan Special One Publication.

Antara artikel yang dimuatkan adalah kenyataan Sanusi dan juga Tengku Razaleigh Hamzah yang lantang membangkitkan skandal tersebut.

Turut hadir pada majlis hari ini bagi menyatakan sokongan adalah bekas ketua pengarang The New Straits Times (NST), Datuk A. Kadir Jasin dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Deepak sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 2013.

Beliau pernah menyaman Putrajaya kerana melanggar perjanjian tanah di Bukit Raja, Selangor, dan ditarik balik pada hari yang sama.

Kemudiannya, syarikat milik tabung kerajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd mengumumkan pada 2012 membeli 80% saham syarikat individu tersebut, Astacanggih Sdn Bhd dan sebidang tanah bernilai RM130 juta milik Awan Megah Sdn Bhd, syarikat ketua wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah.

Penerbitan buku ini dijangka menambah tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah berdepan pelbagai skandal, antaranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendedahan New York Times mengenai harta pusaka.

Kedudukan Najib juga tidak berada dalam keadaan baik pada ketika bekas perdana menteri, Dr Mahathir juga lantang mengkritik pentadbirannya.sumber
Kedah Lanie.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena