Demo GST: Penjual air bersaing sengit, vuvuzela tiada sambutan
Terik El Nino pacu jualan air, namun kekurangan peserta Cina dikatakan punca jualan trumpet dari neraka kurang memberangsangkan
Tunjuk perasaan membuka peluang keemasan kepada usahawan yang berani lagi kreatif untuk meraih keuntungan ribuan ringgit, sepertimana yang dibuktikan oleh himpunan aman anti-GST hari ini.
Penjual kemeja dan air memenuhi kawasan sekitar Dataran Merdeka bagi memenuhi keperluan kira-kira 3,000 penunjuk perasaan yang hadir.
Ramai yang dilihat menjual kemeja T ‘Mansuh T’ dan pelbagai slogan lain.
“Saya dah jual lebih 200 kemeja T dalam masa beberapa jam sahaja,” kata seorang penjual bernama Salleh.
Wajahnya terpamer riak puas. Dalam sekejapan waktu beliau telah meraih RM2,000, dengan setiap satu kemeja dijual pada harga RM10.
Bagaimanapun, ada dalam kalangan penjual yang ditemui FMT mengeluh kekurangan peserta berbangsa Cina menyebabkan jualan kurang memberangsangkan.
“Selalunya peserta bangsa Cina yang beli vuvuzela kami,” kata seorang penjual, yang tidak mahu dinamakan.
“Perniagaan sangat perlahan hari ini. Mungkin kerana acara Cheng Beng,” katanya, merujuk kepada acara tahunan keluarga-keluarga Cina berkunjung ke kubur ahli keluarga masing-masing.
FMT bagaimanapun mendapati jualan air minuman sangat kencang lantaran cuaca berbahang dan terik El Nino.
Seorang penjual berkata beliau setakat ditemubual telah meraih RM300, dan setiap air minuman dijual antara RM2 hingga RM4.
Persaingan juga dilihat sengit, dengan sekurang-kurangnya 10 penjual minuman dikesan di Dataran Merdeka.
0 comments:
Post a Comment