Pertembungan Hillary-Trump dan masa depan AS-Malaysia
Walau siapa pun menjadi presiden Amerika Syarikat November ini, diharapkan Malaysia jangan sampai menang jadi abu, kalah jadi arang.
Tahun ini menyaksikan pertembungan dua personaliti popular berebut jawatan paling berprestij – presiden Amerika Syarikat (AS) atau lebih biasa digelar POTUS di negara kuasa besar dunia itu.
Hillary Clinton daripada Demokrat dan Donald Trump mewakili Republikan. Kedua-duanya terkenal tetapi mempunyai cara yang berbeza – seperti langit dengan bumi – bukan hanya disebabkan perbezaan gender.
Populariti Hillary kini mendahului Trump dengan 6% mata, menurut keputusan undian yang didedahkan minggu lalu.
Secara tersiratnya, kempen dua calon presiden AS ini bukan saja bertujuan untuk menang jawatan itu, tetapi sebenarnya tujuan mereka lebih luas apabila ia mencerminkan hubungan luar AS selepas tamatnya era Barack Obama tidak lama lagi.
Siapa pun presiden AS selepas ini, ia bakal mencorakkan oder baharu dunia.
Adakah presiden baharu AS selepas ini akan meneruskan agenda Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diilhamkan Obama? Apakah nasib perjanjian perdagangan membabitkan 12 negara termasuk Malaysia itu jika presiden berikutnya enggan membawa TPPA lagi?
Namun ketika ini, kedua-dua calon Presiden itu jelas menentang TPPA dan Obama boleh melupakan sahaja hasrat untuk meninggalkan legasi dalam ekonomi dunia selepas pemergiannya daripada Rumah Putih.
Hillary bakal mencipta sejarah tersendiri dalam lipatan sejarah presiden AS jika beliau menang kerana akan mencatat sejarah sebagai presiden AS wanita yang pertama.
Hillary dikenali sebagai Wanita Pertama ketika suaminya, Bill Clinton menjadi perdana menteri AS yang ke-42 pada 1993. Tetapi insiden yang benar-benar menjadikan dia glamor ialah kes skandal seks Monica Lewinsky dengan suaminya pada 1998.
Terpalit dengan kehinaan daripada skandal itu, Hillary bangkit menjadi lambang ketabahan wanita, kukuhnya hati seorang isteri. Dia tetap setia berdiri di samping suami, dan pada masa sama Hillary yang juga bekas peguam itu membina empayar karier politiknya.
Kali pertama dia mengumumkan untuk bertanding jawatan presiden ialah beberapa hari selepas Obama membuat pengumuman sama. Hillary tewas dalam pertandingan itu tetapi dia dilantik sebagai setiausaha negara AS ke-67 dalam pentadbiran Obama pada 2009-2013.
Dia wanita yang memiliki banyak pengalaman politik, dia tahu selok-belok Rumah Putih. Reti dengan perjuangan Demokratik dan agenda yang dibawa Obama. Dalam kempennya, Hillary membawa isu yang meraikan semua perbezaan kaum dan agama, berikrar untuk mengangkat hak asasi wanita dan golongan minoriti.
Bagaimana pula jika Trump yang menang?
Forbes menyenaraikan dia sebagai antara 400 jutawan paling kaya dunia. Dia seorang ahli perniagaan hartanah yang kaya raya. Syarikatnya membina pelbagai bangunan pencakar langit, hotel, kasino dan padang golf terutamanya di Manhattan, AS.
Dia bukan sahaja terkenal kerana kekayaannya tetapi juga kelancangan mulutnya, di samping program realiti TV, The Apprentice yang disiarkan di seluruh dunia. Dia menjadi hos dalam program itu dan terkenal dengan frasa “You’re fired!” dengan riak muka yang ketat.
Sepanjang kempennya, hampir semua kenyataan yang dibuat menimbulkan kontroversi. Malah sudah sering sangat, ia akan disusuli dengan bantahan dan protes di jalanan atau di Kedutaan AS di luar negara.
Trump seorang lelaki “Mat Salleh” yang konservatif. Anak kelahiran New York itu dengan jelas menyatakan kebenciannya pada Islam. Pernah mengeluarkan kenyataan supaya imigresen ditutup untuk orang Islam masuk ke AS.
Dia juga tidak suka orang berkulit hitam. Tidak salah rasanya dia digelar rasis. Dia sangat bangga dengan bangsanya, Amerika untuk “orang Amerika”. Ala Hitler yang berbangga dan menganggap orang Jerman berasal daripada bangsa Aryan, kononnya bangsa paling unggul.
Dalam kempennya, Trump yakin mampu menyekat kemaraan pengganas militan IS. Dia juga menganggap TPPA sebagai perjanjian yang tidak adil. Dia mahu membina tembok besar di sempadan Mexico bagi menyekat kemasukan haram.
Trump menjanjikan potongan cukai dan pembaharuan dalam penjagaan pesara tentera.
Mari kita lihat kemenangan (tidak kira sama ada Hillary atau Trump) itu dalam konteks hubungan dengan Malaysia.
Selama ini, bukan rahsia hubungan Obama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat mesra.
Selepas Presiden Lyndon B Johnson melawat Malaysia hampir 50 tahun lalu, tidak ada presiden AS yang melawat negara ini. Tetapi Obama, berkunjung ke negara ini sebanyak dua kali sejak jadi presiden. Pertama pada April 2014 dan kedua, November tahun lalu.
Siapa boleh lupa gambar Najib berkemeja T warna merah samar bermain golf dengan Obama di Hawaii, tatkala rakyat pantai timur bergelut dengan banjir pada penghujung 2015.
Itu tidak termasuk gambar Najib dan Obama berselfie bersama. Jelas menunjukkan kemesraan dua rakan sejawat itu.
Maka, selepas November tahun ini, selepas rakyat AS memilih presiden mereka, adakah legasi keakraban Malaysia-AS akan kekal sama?
Mungkin kerajaan pemerintah Malaysia perlu bimbang pertukaran presiden AS itu akan mendorong Jabatan Kehakiman AS (DoJ) mengambil langkah lebih agresif dalam menangani isu 1MDB?
Sedangkan dengan jalinan persahabatan dengan Obama sekalipun, 1MDB tetap dalam radar DOJ apatah lagi selepas ini?
Adakah transisi berakhirnya pemerintahan Obama, bakal memaksa Malaysia beralih arah, meraih sekutu dengan kuasa besar Asia, China, terutama sekali ketika berbalahan terhadap kawasan di Laut China Selatan sedang mula berkembang membabitkan hampir semua negara Asia Tenggara?
Atau mungkin, jika Hillary menang, ia memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memilih isteri kepada bekas perdana menteri, dipilih menjadi perdana menteri?
FMT.
0 comments:
Post a Comment