Hutang lagi atau naikkan GST, tanya Dr M
Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sumber untuk membiayai hutang-hutang negara tatkala kerajaan yang ada pada hari ini tidak ada duit.
"Hutang lagi atau naikkan cukai dalam negeri dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan). Dan ini akan membebankan rakyat dengan kos sara hidup yang melambung tinggi," katanya dalam blognya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejatuhan nilai matawang tempatan pada masa ini, hutang RM55 bilion dengan syarikat dari China bagi membangunkan landasan keretapi elektrik di Pantai Timur, pinjaman RM42 bilion untuk 1MDB, hutang RM50 bilion pembinaan keretapi berkelajuan tinggi antara Malaysia dan Singapura yang menjadikan kesemuanya sebanyak RM160 bilion.
Semalam, menteri kewangan era Mahathir, Tun Daim Zainuddin turut menzahirkan pendapat beliau krisis ekonomi negara dan penyelesaiannya dengan menyebut cara kerajaan mengawal ekonomi negara yang amat cetek malah ekonomi negara dijana oleh hutang.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, berhutang untuk menyediakan harta benda yang boleh menjana kepantasan perkembangan ekonomi tidak jadi masalah.
"Isu dia ialah, kalau kita nak berhutang perkara ini kena tanya, hutang ini untuk apa? Sebab bila kita buat hutang, kita mesti berkebolehan membayar, kalau kita tak boleh membayar, itu ada masalah.
"Jadi, sebab itu saya ingat dari segi hutang ini tidak ada masalah, cuma kita nak tengok setakat mana kita boleh berhutang dan boleh bayar," katanya dalam menjawab luahan Daim itu.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, beliau turut merasa dengan dengan aliran keluar dana menerusi projek-projek pembangunan yang dijalankan.
"Kalau benar kos landasan Pantai Timur ialah 55 billion, yang akan dapat keuntungan ialah kontraktor asing yang tentu akan membangun projek ini.
"Mereka akan membawa masuk segala bahan teknologi, pekerja dari negara mereka. Projek ini akan ambil masa sekurang-kurangnya 7 tahun, mungkin lebih. Pekerja mereka, seramai puluhan ribu mestilah di tempat di sini, khusus di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Kos semua ini akan diperolehi hampir semuanya oleh kontraktor luar negeri. Jadi wang yang dipinjam dari syarikat negara China akan kembali ke sana.
"Di masa yang sama bayaran hutang sebanyak 55 billion dengan faedah akan kembali ke negara itu juga," ujar beliau lagi.
Mahathir turut menyentuh mengenai kemampuan rakyat tempatan untuk menggunakan keretapi Pantai Timur itu jika dibandingkan dengan mod pengangkutan lain.
"Kata orang Kelantan lebih murah dan lebih cepat jika penerbangan low cost diguna untuk berjalan antara Pantai Timur dengan bandar-bandar di Pantai Barat.
"Jika tiket keretapi Pantai Timur dijual dengan harga yang tinggi mungkin ramai yang akan pilih penerbangan. Jika harga tiket rendah keuntungan mungkin tidak diperolehi.
"Jadi hutang dan kos serta kerugian perlu ditanggung oleh Kerajaan dari dana campuran atau consolidated Fund," jelasnya.
Walaupun mengakui rancangan keretapi Pantai Timur sebagai projek yang gilang dan gemilang, namun beban hutang bakal ditanggung oleh rakyat negara ini untuk tempoh berpuluh tahun lamanya, tambah Mahathir.
Malaysiakin
0 comments:
Post a Comment