Saya memuji usaha rakan-rakan yang pergi membantah kenyataan Korea Utara berhubung dengan sikap dutanya yang cuba merosakkan nama dan reputasi Malaysia berikutan siasatan kes kematian Kim Jong-nam yang masih sedang dijalankan.
Usaha itu digerakkan oleh Pemuda UMNO yang diwakili oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan disertai oleh pemimpin parti Barisan Nasional yang lain.
Namun demikian, beliau seharusnya lebih peka dan sedar diri sebelum membuat bantahan ini kerana parti beliau sendiri iaitu UMNO telah dan mempunyai hubungan rasmi yang rapat dengan parti Workers’ Party of North Korea (WPK).
Malah wakil UMNO iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah pun menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin hubungan rapat dengan parti tersebut. Acara MoU ini juga telah dilaporkan oleh Utusan sendiri, dan juga BERNAMA pada 26 November 2014. Pautan berita http://m.utusan.com.my/berita/politik/umno-jalin-hubungan-dengan-parti-politik-sri-lanka-korea-utara-1.29409
Ini bukan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan (G to G), tetapi melibatkan hubungan antara parti politik yang memerintah (Malaysia) dengan satu parti politik (yang memerintah Korea Utara).
Parti WPK ini dipimpin oleh Kim Jong-un, adik tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam yang dipercayai dibunuh 10 hari lalu di KLIA2. WPK adalah sebuah parti komunis yang memerintah Korea Utara secara kuku besi melebihi 60 tahun. Kim Jong-Un, pemimpin tertinggi WPK pula, dilihat dunia sebagai seorang yang kejam dan tidak berperikemanusian. Bukan sahaja jutaan rakyat Korea Utara sengsara di bawah rejim WPK, malah rantau Asia sentiasa mengalami ketidakstabilan dan pergolakan akibat perangai Kim yang suka mengugut dengan ujian senjata nuklear.
Jadi, persoalan yang harus kita tanya pada hari ini, apakah isi kandungan MoU yang ditandatangani oleh UMNO dan WPK ini? Kerjasama yang bagaimana? Dalam bentuk apa?
Saya fikir, ahli-ahli UMNO sendiri tidak tahu hubungan ini berbentuk apa. Sekurang-kurangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mewakili UMNO semasa menandatangai MoU tersebut, boleh menerangkan kepada ahli-ahli mereka.
Soalan kedua yang wajar dijelaskan, adakah MoU ini masih sah? Hanya ahli-ahli UMNO boleh bertanya kepada pemimpin mereka.
Saya ingin menasihatkan Khairul Azwan, jika beliau benar-benar patriotik, beliau harus mendesak agar UMNO iaitu partinya, segera membatalkan terus hubungan rapat dengan Workers’ Party of North Korea (WPK).
Beliau berlagak seakan pemuda yang paling patriotik, sedangkan partinya sendiri mempunyai hubungan dengan parti dari negara Korea Utara itu.
Rakyat perlu disedarkan bahawa, selama ini parti UMNO sering menuduh dan menfitnah parti pembangkang sebagai ejen negara asing dan pelbagai lagi gelaran dan ejekan jelek yang tidak berasas, tetapi mereka sendiri yang mempunyai hubungan rasmi dengan parti WPK, sebuah parti komunis yang dijauhi oleh semua negara di seluruh dunia.
Sikap hipokrit pemimpin UMNO bukan sahaja ada dikalangan pemimpin mereka, tetapi sikap hipokrasi ini turut menular kepada pemimpin Pemudanya. -Roketkini.com
*Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor
Suasana pos kawalan sempadan Korea Selatan dengan Korea utara.
UMNO jalin hubungan dengan parti politik Korea Utara
KUALA LUMPUR 26 Nov. - UMNO menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin hubungan lebih rapat dengan parti politik Korea Utara dan Sri Lanka di sini hari ini.
Setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menandatangani MoU itu bagi pihak UMNO dengan Workers' Party of North Korea (WPK) dan Sri Lanka Muslim Congress (SLMC) di luar perhimpunan agung UMNO 2014 di sini.
WPK diwakili timbalan ketuanya, Pak Kun Gwang dan SLMC oleh setiausaha agungnya, M.T.Hasen Ali.
Tengku Adnan berkata, kedua-dua MoU itu menggambarkan hubungan dan kerjasama yang telah sedia terjalin di antara UMNO dengan kedua-dua parti politik kedua-dua negara itu, termasuk program pertukaran di antara parti-parti politik.
Beliau berkata, hubungan dengan WPK terjalin semasa bekas presiden parti Tun Dr. Mahathir Mohamad melawat Korea Utara pada 1979, semasa beliau masih menjadi timbalan presiden parti.
" UMNO menjalin hubungan (dengan WPK) pada 1998, dan baru-baru ini parti itu meminta supaya MoU ditandatangani bagi memupuk kerjasama rapat dengan UMNO," katanya kepada Bernama selepas majlis itu.
Sementara itu, Pak berkata, parti itu ingin mempelajari pengalaman UMNO dan berharap dapat menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan.
Selain meningkatkan hubungan dengan UMNO, usaha itu juga boleh menyumbang ke arah keamanan, kestabilan, kerjasama dan pembangunan di antara kedua buah negara, katanya.
"Kami juga ingin belajar mengenai kekuatan dan kejayaan UMNO menganjurkan program jangka pendek dan panjang," katanya.
Sementara itu, Hasen berkata, hubungan baik dan persefahaman yang sedia terjalin antara SLMC dan UMNO akan membantu kedua buah negara untuk membangunkan hubungan yang lebih kukuh.
"Saya yakin hubungan ini akan terus dipertingkatkan pada masa depan (dan) menyumbang secara bermakna kepada kestabilan dan keamanan di rantau ini," katanya.
WPK, yang ditubuhkan pada 1949, adalah parti politik yang memerintah daripada Democratic People's Republic of Korea atau lebih dikenali sebagai Korea Utara manakala SLMC ditubuhkan pada 1981. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment