Pertembungan tiga penjuru bakal memenangkan Pakatan Harapan
Pertembungan tiga penjuru yang berkemungkinan besar bakal berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang bakal menyaksikan perubahan besar dalam situasi politik di Malaysia.
Jika sebelum ini Barisan Nasional (BN) yakin menang dengan pertembungan tiga penjuru dalam PRU, namun dalam situasi politik semasa, BN sepatutnya berasa bimbang kerana keadaan telah berubah sama sekali. Pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan Pakatan Harapan pada PRU14 bukan sahaja diyakini mampu menewaskan BN malah juga bakal merugikan Pas.
Ini berikutan berlakunya krisis kepimpinan Umno dan Pas pada 2015 yang telah memberi kesan besar kepada kekuatan dua parti politik itu sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini bersama PKR dan DAP di dalam Pakatan Harapan.
Perpecahan yang berlaku telah menyebabkan pengundi-pengundi Umno pada 2013 dilihat terdorong beralih sokongan kepada Pakatan Harapan dengan matlamat yang sama iaitu menolak Najib Razak dan Umno. Lebih-lebih lagi dengan skandal besar seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri ke-5 Malaysia itu.
Pada 22 Oktober lalu, telah berlangsung satu forum di Swiss Garden Hotel yang dianjurkan oleh Akademi Keadilan (ARK) dan melibatkan beberapa pemimpin Pakatan Harapan dan saya sendiri sebagai moderator membincangkan mengenai topik ‘3-corner Fight, A win for Pakatan Harapan’ atau Pertembungan Tiga Penjuru, Diyakini Menyebelahi Pakatan Harapan.
Menurut salah seorang panel forum itu iaitu Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming berkata, terdapat dua cara bagi mendapatkan undi rakyat untuk Pakatan Harapan.
Pertamanya, kita kena beri pengundi pilihan yang jelas, sebagai contoh, memberikan pengundi dua pilihan parti besar yang jelas seperti BN dan Pakatan Harapan maka pengundi tidak akan perasan ada parti ketiga.
Keduanya, dengan memberikan dasar alternatif yang jelas kepada pengundi dengan menunjukkan kepada mereka apa yang Pakatan Harapan boleh lakukan sekiranya menjadi kerajaan yang diterjemahkan melalui bajet alternatif dan dasar-dasar lain. Dengan cara ini katanya, kita dapatkan tunjukkan kemampuan Pakatan Harapan kepada rakyat.
Ya, strategi adalah senjata utama yang perlu untuk bertanding tidak kira sama ada dua atau tiga penjuru jika mahu menggerakkan gelombang baharu dan muncul sebagai kuasa baharu politik negara pada PRU14.
Antara saranan lain yang diutarakan ialah walaupun ianya tiga penjuru, yang sebenarnya akan berlaku ialah ianya sama seperti dua penjuru kerana pengundi akan ‘gravitate’ kepada dua gabungan terbesar dan parti ketiga akan di anggap sebagai ‘spoiler’. Bagi kawasan di mana Umno dan BN telah siap sedia kalah, memang sah penjuru ketiga ialah ‘spoiler’.
Dalam pada masa sama, Pengarah Strategi Parti AMANAH, Dr Zulkefly Ahmad berpendapat, Pakatan Harapan hanya perlu memenangi 90 kerusi parlimen di semenanjung Malaysia pada PRU 14, dan beliau yakin akan mendapat sokongan dari Sabah Sarawak.
Terutama katanya, fenomena yang berlaku ketika ini melibatkan Parti Warisan yang dikepalai oleh bekas Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan adik beradiknya yang telah ditahan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa melakukan penyelewengan dimana perkara itu dipercayai dilakukan atas faktor politik. Segala serangan itu diyakini akan menaikkan lagi sokongan terhadap Shafie yang mempunyai pengaruh kuat di Sabah.
Soal realiti semasa, apakah situasi sokongan rakyat sekarang kepada setiap parti bertanding untuk menilai sama ada pertandingan tiga penjuru yang sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada BN dan Pas seperti yang dihujahkan oleh beberapa pihak?
Banyak faktor yang memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan terutamanya dengan situasi ekonomi negara ketika ini yang tidak menentu malah dibebankan dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit dan pemansuhan beberapa subsidi rakyat yang akhirnya memberi kesan besar kepada rakyat kebanyakan.
Namun, apa yang penting saat ini adalah peranan pemimpin Pakatan Harapan untuk memberi penjelasan kepada pengundi supaya mereka dapat menilai kelebihan dan kekurangan Pakatan Harapan untuk dibandingkan dengan Umno BN di bawah pimpinan Najib Razak dan PAS.
Pakatan Harapan juga perlu tampil sebagai sebuah kerajaan alternatif yang kuat dan dapat menarik minat golongan yang sudah bosan serta menolak pentadbiran kleptokrat Najib Razak selain mereka yang mengimpikan permulaan baru untuk Malaysia.
Dengan itu, Umno dan Pas hanya akan dipertahankan oleh penyokong tegar mereka sahaja sementara pengundi lain termasuk pengundi atas pagar akan beralih sokongan kepada Pakatan Harapan. Percayalah.
*Penulis Ahli Parlimen Kuantan dari Parti Keadilan Rakyat.
Malaysia Dateline.
0 comments:
Post a Comment