Friday, 27 October 2017

[Video NAJIB TERHEMPAS DENGAN ISU BELI KAPAL TERBANG] Dasar ekonomi Najib kaku sejak 2009 & Kita perlukan kerajaan baharu (PH) dengan Tawaran Baharu.

Sabtu, 28 Oktober 2017

Image result for Foto najib dan Trump

Dasar ekonomi Najib kaku sejak 2009

Liew Chin Tong SPAD

Dalam tempoh sembilan tahun sebagai Menteri Kewangan dan lapan tahun sebagai Perdana Menteri, Najib Razak telah mensia-siakan peluang untuk memulihkan ekonomi rakyat Malaysia. Apa yang sepatutnya Najib lakukan?

Sebuah kerajaan yang progresif dan prihatin akan menyediakan rancangan jangka panjang untuk manfaat semua rakyat, dengan rundingan rapat bersama sektor swasta, bagi membawa ekonomi negara beralih daripada operasi yang bergantung tenaga pekerja kepada ekonomi yang berasaskan kemahiran dan pengetahuan.

Ini merupakan salah satu sasaran utama yang ingin dilaksanakan apabila kerajaan Pakatan Harapan dibentuk dalam pilihan raya akan datang. Pentadbiran baik akan menjadi keutamaan kerajaan baru bagi memastikan tumpuan diberikan kepada ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Mereka yang mengatakan bahawa Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) bakal menggantikan pekerja dengan mesin perlu berdepan dengan hakikat ketika ini di mana pekerja asing tidak berkemahiran sedang menggantikan pekerja tempatan dalam jumlah yang besar di bawah pentadbiran Najib. Meskipun masalah ini tidak bermula daripada beliau, ia menjadi lebih parah di bawah pentadbirannya.
Cara terbaik untuk keluar dari masalah ini adalah dengan memastikan kitaran ekonomi yang sihat yang menjaga pekerja berkemahiran tinggi, menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan produktiviti tinggi, dan membayar gaji yang tinggi kepada golongan itu.
Hal ini bukanlah sesuatu yang mudah namun di bawah kerajaan Pakatan Harapan, ia akan menjadi satu era baru ekonomi yang berkembang pesat untuk meninggalkan dekad pemerintahan Najib yang telah disia-siakan. Kerajaan Najib telah melepaskan peluang untuk memulihkan kembali ekonomi kita.
Najib masih tidak faham
Dalam ulasan pra-belanjawan saya yang pertama “Najibnomics=Najib tiada dasar ekonomi”, saya menjelaskan bagaimana Najib tidak mempunyai perancangan dalam tempoh sembilan tahun sebagai Menteri Kewangan dan lapan tahun sebagai Perdana Menteri.
Dalam jawapan balasnya sebanyak 17 muka surat melalui artikel “Wawasan Ekonomi Saya Untuk Malaysia” (“My Economic Vision for Malaysia”), Najib mengesahkan lagi bahawa beliau tidak faham dengan apa yang diperlukan oleh rakyat Malaysia dan apa yang diperlukan untuk menjadi Malaysia sebuah negara yang kukuh dari segi ekonomi.
Antara lain dalam jawapan balas itu adalah dakwaan luar biasa bahawa 1MDB “dijangka akan membuat keuntungan yang lebih daripada cukup untuk menanggung kerugiannya”. Kenyataan merepek ini telah dijelaskan oleh rakan saya Ahli Parlimen Tony Pua. Najib sebenarnya cuba meyakinkan betapa pentingnya rakyat membayar cukai GST, pemotongan subsidi dikatakannya baik untuk rakyat, dan bahawa kejatuhan Ringgit tidak ada kaitan dengan dasar-dasarnya.
Mungkin rakyat Malaysia seharusnya berpuas hati dan gembira dengan penjelasan Najib. Namun ramai antara kita yang marah dan tidak berpuas hati. Adakah rakyat Malaysia tidak puas hati kerana pembangkang mensabotaj ekonomi seperti dakwaan Perdana Menteri? Perkataan “sabotaj” yang digunakan Najib agak “mengganggu” dan menunjukkan seakan-akan tindakan akan dikenakan terhadap kritikan (dan pihak yang mengkritik) dasar ekonominya, meskipun kritikan-kritikan itu ternyata mempunyai asas.
Kenapa rakyat Malaysia tidak puas hati?
Mungkin penasihat-penasihat Najib tidak memberitahu beliau ramai rakyat Malaysia tidak puas hati dengan situasi ekonomi hari ini. Berikut merupakan punca utama ketidakpuasan hati rakyat Malaysia:
1. Kesan pelaksanaan GST, pemotongan perbelanjaan kerajaan yang menjejaskan kebajikan, kesihatan dan pendidikan (sementara Najib dan Rosmah dilihat hidup mewah dan sering melancong), serta kejatuhan nilai Ringgit yang merupakan masalah kritikal; namun tiada siapa di dalam kerajaan mahu mengaku wujudnya krisis yang senyap ini;
2. Kita berdepan dengan masalah ekonomi dwi-kelajuan, iaitu sektor tertentu berkembang pesat manakala sektor-sektor lain lembab. Ekonomi di sektor eksport berlangsung agak baik berikutan pemulihan global. Namun ekonomi di sektor domestik semakin merudum akibat krisis senyap pengurangan pendapatan-boleh guna yang sekaligus menjejaskan penggunaan. Sektor eksport mengurangkan pengambilan pekerja tempatan dan sebaliknya mengambil pekerja luar tidak berkemahiran, maka keuntungan yang dijana tidak memberi banyak manfaat tempatan. Kebanyakan sektor eksport Malaysia bergantung kepada pengimportan barangan dalam jumlah yang besar, yang menandakan nilai tambahan rendah dalam ekonomi negara;
3. Najib mahu bermegah-megah dengan kepandaian ekonominya, namun beliau tidak mempunyai penyelesaian kepada masalah-masalah ini selain membuat saranan semasa ucapannya dalam Belanjawan 2017 tahun lepas agar graduan muda menjual nasi lemak, dan mereka yang tidak bekerja memandu Uber. Najib seperti langsung tidak peduli bahawa:
a) Semakin ramai rakyat Malaysia bekerja dalam sektor bergaji rendah di Singapura;
b) Semakin ramai juga rakyat Malaysia bekerja secara haram di United Kingdom, Australia dan New Zealand.
c) Sementara mereka yang bekerja di Malaysia turut menderita akibat gaji rendah dan bekerja di bidang berasaskan kemahiran rendah (kurang daripada 30 peratus pekerja mempunyai kemahiran);
d) Ramai golongan muda menganggur; serta
e) Jumlah yang tinggi (35 peratus) ketua keluarga yang bekerja di sektor tidak formal.
Bagaimana memulihkan kembali ekonomi negara
Najib terlepas peluang membentuk semula ekonomi rakyat Malaysia kerana tidak mengambil pendekatan jangka panjang pada 2009 untuk memastikan negara mampu mengatasi cabaran-cabaran itu. Tampal-menampal ekonomi tidak akan berkesan dan kita sudah mensia-siakan hampir sedekad tanpa apa-apa perubahan.
Pertama, perkembangan sektor eksport mempunyai had-had tertentu – atau lebih tepat lagi, ia sudah mencapai tahap maksimumnya. Sejak awal 1970-an, sektor eksport menjana banyak keuntungan kepada negara. Namun Malaysia hilang kelebihan daya saingnya sejak kemasukan China dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 2001. Sejak Krisis Kewangan Global pada 2008, strategi eksport tidak lagi berkesan.
Strategi yang bertumpu kepada sektor eksport adalah dengan menjangkakan pasaran Amerika (dan pada tahap lebih rendah, Eropah) yang kaya akan mampu menampung industri produk Asia. Sejak 2008, AS dan Eropah mengalami pertumbuhan perlahan selain kadar pengangguran yang tinggi. Ini bererti peningkatan gaji tidak tinggi dan penggunaan tidak kukuh.
Mengeksport produk industri siap ke China dan Jepun pula bukan strategi yang tepat kerana kedua-dua negara ini mempunyai keupayaan industri yang besar. Dalam strategi berasaskan eksport, pertumbuhan ekonomi perlu dipacu oleh pelaburan untuk menghasilkan produktiviti, selain pelaksanaan dasar gaji rendah.
Kedua, penyelarasan semula seharusnya dilakukan sebaik sahaja kesan Krisis Kewangan Dunia melanda pada 2009, yang pernah dicadangkan dalam Model Ekonomi Baru Malaysia tetapi pelaksanaannya telah gagal.
China merupakan contoh negara yang ekonominya diselaraskan dan diseimbangkan semula dengan baik sejak dekad kebelakangan ini. Dari ekonomi yang dipacu sektor eksport China beralih kepada ekonomi yang memberi lebih penekanan kepada peningkatan pendapatan pekerja biasa bagi mengembangkan penggunaan domestik. Dalam masa sama, sektor perkhidmatannya turut dikembangkan untuk menampung ketepuan pengeluaran perindustrian.
Di bawah pentadbiran Najib, ekonomi Malaysia diuruskan seolah-olah faktor-faktor luar tidak berubah. Dua komponen utama strategi ekonomi Najib masih lagi industri berasaskan sektor eksport dan projek-projek mega (yang kini dilihat hanya wujud sebagai infrastruktur pengangkutan awam besar seperti MRT).
Penggunaan domestik sudah menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia sejak 2009 namun kebanyakannya terikat hutang dan bukannya berasaskan pendapatan. Hal ini mengakibatkan hutang isi rumah yang tinggi iaitu pada kadar 90 peratus bagi keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Malaysia kini dilihat cuba menarik pelaburan luar yang akan mengambil pekerja luar untuk pemasangan perkakasan import. Penambahan nilai yang tidak mencukupi, kurang bahan tempatan dan kesan penggandaan yang rendah, telah menghasilkan ekonomi dwi-kelajuan. Ini bermakna mereka yang berada dalam sektor eksport dapat menyaksikan sedikit perkembangan; sementara yang lain yang tidak terlibat dalam sektor itu terjejas akibat kesan pelaksanaan GST, kejatuhan Ringgit dan pemotongan subsidi kebajikan, kesihatan dan pendidikan.
Ketiga, pekerjaan yang merupakan keutamaan dalam sesebuah ekonomi. Najib dan menteri-menterinya suka bermegah tentang jutaan peluang pekerjaan yang kononnya dibuka. Namun tak ada sesiapa yang tahu jenis pekerjaan yang dimaksudkan, kelayakan apa dan tahap gaji yang ditawarkan.
Selain itu, Najib juga tidak serius mengatasi aliran masuk pekerja asing tidak berkemahiran terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pengambilan pekerja asing didominasi individu yang dikaitkan atau rapat dengan UMNO selain bekas-bekas penjawat awam kanan. Semua rancangan untuk mengurangkan pekerja asing tidak serius dan dilihat semata-mata cara untuk memerah lebih banyak keuntungan daripada sektor swasta.
Dalam ulasan pra-belanjawan saya yang ketiga, saya akan membincangkan beberapa pembaharuan politik yang diperlukan bagi memastikan ekonomi negara berkembang. Tahun-tahun pentadbiran di bawah Najib boleh dianggap sebagai dekad yang telah disia-siakan untuk ekonomi Malaysia. Untuk permulaan baru, kita perlukan kerajaan baru dengan Tawaran Baru.
  • Penulis adalah ahli parlimen DAP dari Kluang.
  • Malaysia Dateline.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena