BERBANDING HADI AWANG, LEBIH BAIK PAS BERTERUS-TERANG CALON PM PILIHAN MEREKA IALAH NAJIB
Walaupun sudah diperjelas dan dinafi berkali-kali bahawa Lim Kit Siang tidak mahu dan tidak mungkin dapat menjadi Perdana Menteri, Hadi Awang tetap menyatakan Ahli Parlimen Gelang Patah itu adalah bakal Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihanraya akan datang.
Seterusnya, beliau mengajak rakyat agar menolak Pakatan Harapan yang didakwanya akan menjadikan Lim Kit Siang sebagai Perdana Menteri.
Hairan juga dengan sikap Hadi itu kerana beliau sendiri pernah bersama dan berpeluk dengan Lim Kit Siang sebelum ini dan dengan demikian sudah tentu tahu kebenaran siapa bakal Perdana Menteri kiranya pembangkang memenangi pilihanraya.
Kenapa Hadi yang berimej agama, berserban, berjubah, memegang jawatan nombor dua dalam Kesatuan Ulama Dunia dan sebutan nama Tuhan tidak lekang daripada bibirnya, tidak mahu bercakap benar dan jujur mengenai perkara itu?
Biasanya, hanya pemimpin kelas rendah dan berminda lemah seperti Salleh Said Keruak dan Dr. Puad Zarkashi, pencacai UMNO dan pemain media sosial yang diberi dedak serta power bank pasir saja yang suka memainkan isu tersebut.
Setiap kali pembangkang kuat dan dilihat berpeluang mengalahkan UMNO dan BN, itulah lagu sumbang yang cuba dinyanyi dan diheboh-hebohkan.
Maka, adakah Hadi juga mempunyai mentaliti selemah mereka itu atau beliau juga ada menerima dedak daripada UMNO?
Jika diperhati, Najib Razak sebagai tuan dedak pun antara percaya dengan tidak bahawa Lim Kit Siang dapat menjadi Perdana Menteri. Hanya di depan orang Melayu beliau berani mengatakan Lim Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri, tetapi di depan orang Cina dikatanya tidak mungkin Kit Siang dapat menjadi Perdana Menteri.
Dalam masa yang sama, sementara Pas mengajak orangramai menolak Kit Siang, parti itu juga mengingatkan jangan rasa pelik jika parti itu mampu menguasai Putrajaya dan meletakkan Hadi sebagai Perdana Menteri, meskipun mereka bertanding dan menang jumlah kerusi Parlimen yang sedikit saja.
Dikatakan oleh beberapa pemimpinnya, tiada yang pelik jika itu kehendak Tuhan.
Sekali lagi, kita yang waras jadi bingung dan hairan dengan sifir politik Pas itu. Politik secara umumnya ialah "game of numbers" atau percaturan angka yang menjadikan siapa menang banyak kerusi, dialah pemenangnya.
Susah juga logik akal kita mahu menerima jika Pas yang bertanding serta menang sedikit kerusi boleh mampu menguasai Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri.
Memang betul tiada yang pelik sesuatu itu boleh berlaku jika dikehendaki Tuhan, tetapi kalau bertanding pilihanraya di Malaysia dan bercita-cita untuk menubuhkan kerajaan di Sri Lanka misalnya, tentulah nampak macam "gila" bunyinya.
Di Perak dahulu pun Pas dapat menjadi Menteri Besar melalui Nizar Jamaluddin hanya kerana ia bersama Pakatan Rakyat yang menguasai majoriti di DUN di negeri itu.
Begitu juga untuk menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri, mesti ada logik dan kemunasabahannya. Tidak perlu menjual dan menjaja nama Tuhan untuk menutup "kegilaan" yang ada.
Untuk menguasai Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri, setidak-tidaknya majoriti mudah adalah syarat utamanya.
Semua orang tahu Pas sudah berbaik dan ada persefahaman terselindung dengan Najib dan UMNO. Kilau ikan di air sudah tahu jantan betinanya, demikian kata peribahasa.
Untuk itu, Pas tidak perlu berdolak-dalik dan beralasan macam-macam. Terus terang saja bahawa pendirian mereka bersendirian sekarang dan menyanyikan lagu kempen seperti UMNO adalah semata-mata untuk memberi kelebihan kepada Najib untuk mengekalkan kuasanya.
Jangan malu-malu. Daripada cuba melogikkan Hadi mampu menjadi Perdana Menteri dan Pas dapat berupaya menguasai Putrajaya, meskipun dengan jumlah kerusi yang sedikit, lebih baik Pas mengaku saja calon Perdana Menteri yang mereka idam-idamkan sebenarnya adalah Najib dan kerajaan yang ingin dikekalkan ialah UMNO dan BN.
Ia bukan saja lebih mudah diterima akal yang waras dan tentu juga tiada yang pelik jika demikian dikatakan kehendak Tuhan yang disesuaikan dengan jumlah kerusi Pas yang hanya sedikit jumlahnya itu.
Tidak perlu malu-malu kucing untuk menobat dan mengiktiraf Najib jika sudah dalam hati dan gerak-geri setiap hari demikian yang ditunjukkan oleh Pas sendiri.
Berbanding sokongan sembunyi-sembunyi, UMNO pastinya lebih gembira jika Pas menyatakan sokongan terbuka dan sama-sama menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri pilihan bersama.
Lagi pula berbohong dengan mereka-reka cerita mengenai Kit Siang dan Pas kononnya mampu menguasai Putrajaya serta Hadi adalah bakal Perdana Menteri, walaupun dengan sedikit jumlah kerusi, adalah perbuatan yang berdosa.
Buruk benar kalau orang agama yang berjubah dan berserban tetapi hari-hari membuat dosa dan menipu pengikut bawahannya. (ShahbudinHusin 19/12/2017)
0 comments:
Post a Comment