‘Batal pendaftaran PPBM menguntungkan pembangkang’
Wong Chin Huat berkata, ia mungkin menyebabkan pembangkang lebih kuat dan bersatu padu.
PETALING JAYA: Sebarang cubaan membatalkan pendaftaran PPBM mungkin memberi kelebihan kepada pembangkang kerana ia boleh memaksa pemimpin parti itu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di bawah tiket PKR, kata seorang penganalisis politik.
Katanya, ia akan menyaksikan bekas perdana menteri itu berkongsi pentas sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyebabkan pembangkang lebih kuat.
Ketua analisa politik dan sosial di Penang Institute itu berkata, sejarah boleh berulang jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran PPBM pada saat akhir menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Beliau merujuk insiden pada 2012 di mana JPPM mengisytiharkan pemilihan DAP tidak sah disebabkan aduan ahli parti tertentu.
DAP yang bimbang tidak boleh menggunakan logo roketnya pada PRU13, kemudiannya mendapat tawaran sekutunya, PAS untuk menggunakan logo parti Islam itu.
“Apabila mendengar perkara itu, JPPM segera berubah fikiran kerana ia sedar tindakan itu akan menjadikan pembangkang lebih kuat.
“Jika PPBM dibatalkan pendaftarannya, PPBM mungkin memerlukan platform PKR. Ia secara dasarnya meletakkan Mahathir dan Anwar di platform sama,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pemimpin PPBM lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mungkin bertanding di bawah tiket parti pembangkang lain.
JPPM sebelum ini berkata, PPBM berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftaran jika gagal menyelesaikan isu berkaitan pindaan perlembagaan parti dan mengadakan mesyuarat agung tahunan di peringkat pusat, bahagian dan cawangan.
November lalu, Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim dilaporkan berkata, PPBM sudah diarah membuat penambahbaikan kepada cadangan pindaan perlembagaan partinya.
Katanya, masalahnya diburukkan lagi dengan PPBM belum mengadakan mesyuarat agung tahunan sejak ia didaftarkan setahun lalu dan ia melanggar perlembagaannya dan Akta Pertubuhan 1966.
Bagaimanapun, Wong berkata, JPPM tahu langkah pembangkang seterusnya, oleh itu mereka mungkin tidak membatalkan pendaftaran PPBM.
Katanya, pembatalan pendaftaran tidak memberi kelebihan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana Dr Mahathir dan Anwar akan dilihat berada dalam parti sama.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan logo Pakatan Harapan (PH) mungkin tidak diluluskan JPPM. Logo PH akan menunjukkan 4 parti pembangkang — PKR, DAP, Amanah dan PPBM — bertanding di bawah satu bendera.
Katanya, logo PH penting untuk menghapuskan persepsi gabungan itu ditubuhkan atas dasar kepentingan semata-mata.
“PKR dan DAP sudah berkuasa selama 9 tahun. Tempoh ‘bulan madu’ sudah tamat.
“PH perlu memberi sesuatu yang baharu dalam manifestonya. Saya difahamkan mereka sedang membuat satu manifesto komprehensif, tetapi ia perlu memberi sesuatu yang pengundi boleh kaitkan.
“Satu faktor ‘feel-good, satu wawasan di mana rakyat boleh melihat era selepas Najib.”
Wong berkata, naratif itu tidak boleh mengenai anti-Najib lagi.
Katanya, PRU mungkin diadakan dalam masa 3 bulan dan beliau mengingatkan parti pembangkang yang pengundi kecewa serta kebanyakan mereka sinis terhadap parti pembangkang mahupun pemerintah.
Ini masanya untuk ahli politik veteran seperti pengerusi PPBM (Dr Mahathir), Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin lain mempengaruhi emosi pengundi dengan visi dan faktor positif.
“Kami sudah muak dengan perkara negatif. Isu 1MDB dan anti-Najib.”
FMT.
0 comments:
Post a Comment