Amanah Perlis mahu ubah kerajaan negeri, gesa rakyat bersama tolak Umno-BN
AMANAH Perlis akan meneruskan usaha bersama Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan tampuk pemerintahan kerajaan negeri Perlis diubah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Ketua Angkatan Wanita (Awan) Negeri Perlis Che Mazlina Che Yob berkata, jika membiarkan Umno-BN meneruskan pemerintahan untuk tempoh lima tahun lagi, akan menyebabkan kehidupan rakyat semakin melarat.
“Yang miskin akan bertambah miskin, manakala yang sedia melarat akan menjadi papa dan kedana.
“Sejajar dengan itu rakyat negeri Perlis harus bangkit dan berani untuk membuat perubahan dalam pilihan raya umum tidak lama lagi dengan menolak Umno dan BN, ” ujarnya.
Beliau ditemui ketika turun padang memberikan bantuan pakaian sekolah kepada pelajar-pelajar yang telah dikenal pasti sekitar kawasan Dun Santan semalam.
Che Mazlina Che Yob bersama sebahagian pelajar yang menerima bantuan pakaian sekolah di Dun Santan.
Che Mazlina juga memberitahu PH Perlis telah menyediakan pelbagai tawaran yang menarik demi memperjuangkan nasib rakyat serta amat mengharapkan sokongan yang padu bagi merampas kerusi Dun maupun Parlimen tidak lama lagi.
Menyedari kos sara hidup yang amat membebankan sejak kebelakangan ini, katanya, AMANAH Negeri Perlis menghulur bantuan yang terdaya bagi meringankan beban keluarga miskin dan berpendapatan rendah menjelang sesi persekolahan yang akan bermula minggu hadapan.
Atas kesedaran tersebut Awan Perlis telah menghulurkan bantuan pakaian sekolah kepada pelajar-pelajar yang telah dikenal pasti sekitar kawasan Dun Santan.
Menurut beliau lagi, adalah menjadi harapan Awan Perlis dengan sumbangan tersebut dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga terbabit.
“Kebanyakan golongan yang terpilih bagi menerima sumbangan pakaian sekolah semalam adalah mereka yang terdiri dari golongan miskin dan berpendapatan rendah.
“Dengan kos sara hidup yang amat tinggi serta harga barang yang semakin meningkat dan ditambah pula dengan cukai GST yang dipaksa oleh kerajaan kini, ia amat menyulitkan kehidupan masyarakat.
“Ekoran itu jugalah AWAN Perlis mengambil pendekatan segera dengan turun padang bagi membantu golongan tersebut,” ujarnya.
Beliau juga berkata, rata-rata mereka yang menerima sumbangan semalam amat terharu kerana belum pernah menerima sumbangan sedemikian walaupun berada dalam kawasan yang diterajui oleh wakil rakyat Umno dan BN.
Malah tegasnya, Awan Perlis telah begitu sinonim dengan masyarakat miskin dan golongan marhaen dalam banyak program dan aktiviti sejak AMANAH ditubuhkan.
Oleh kerana itu katanya, AMANAH akan tetap meneruskan agenda peduli rakyat melalui pelbagai bentuk sokongan yang mampu diberikan kepada semua golongan masyarakat yang memerlukan.
“Yang pasti, kerajaan Umno dan BN tidak perlu dibiarkan untuk terus bermaharajalela menekan dan menindas rakyat.
“Secara jelasnya kita dapat lihat cukai GST yang dikenakan amat zalim kerana ia turut dikenakan kepada rakyat miskin, pelajar sekolah, warga emas, ibu tunggal dan sebagainya.
“Tanpa rasa prihatin dan belas kasihan, kerajaan yang ada kini, amat rakus menzalimi rakyat melalui pelbagai polisi yang tidak adil, ” tegasnya
MD.
0 comments:
Post a Comment