‘Fokus tewaskan Najib dalam PRU’
Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, pihak pembangkang mampu mencapai muafakat dalam menentukan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta menyelesaikan pembahagian kerusi sebelum pilihan raya umum diadakan.
Menurut Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Yusof langkah yang ditunjukkan Pakatan Harapan (HARAPAN) ini menjadi bukti bahawa pembangkang kini dalam keadaan tersusun dan telah bersedia menggalas mandat rakyat bagi mentadbir Malaysia.
“Apabila kita sudah melangkah jauh ke depan, kita sepatutnya terus melangkah lagi dan bukannya patah balik. Sekarang masa untuk kita hebahkan tawaran-tawaran yang bakal HARAPAN laksanakan apabila mengambil alih kerajaan.
“Biarkan sesiapa yang mahu tersekat di masa lalu tinggal di sana, di bahu kita sekarang adalah soal masa depan Malaysia,” katanya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Selayang kepada Roketkini, hari ini.
HARAPAN dalam konvensyen di Shah Alam pada 7 Januari lepas sebulat suara menyokong pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.
Pada hari bersejarah itu juga, gabungan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM telah menyelesaikan pembahagian kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.
Bagi pemimpin muda DAP, Syerleena Abdul Rashid isu tentang calon perdana menteri tidak begitu penting, namun malangnya ia terus dijadikan bahan perbincangan sehingga mengganggu fokus terhadap isu nasional seperti GST dan skandal 1MDB.
“Bagi saya, isu calon perdana menteri tidak begitu penting tetapi ia dijadikan bahan perbincangan yang hangat sehingga ramai yang terlepas pandang isu-isu yang penting.
“Saya harap setelah pengumuman calon perdana menteri dibuat, kita dapat memberi tumpuan supaya kita dapat menewaskan BN dan Datuk Seri Najib Razak,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP.
Kata Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang itu, HARAPAN memikul tanggungjawab berat untuk menyebarkan maklumat mengenai dasar dan tawaran gabungan itu.
“Manifesto pemuda dan wanita pun telah dilancar, jadi kita dipertanggungjawabkan untuk menyebar maklumat-maklumat dasar yang jauh lebih baik dari apa yang ditawarkan oleh BN.
“Sekiranya ada sesiapa yang masih berasa ragu-ragu, inilah masanya untuk kita memulakan diskusi yang sudah lama tidak wujud dalam lanskap politik tempatan,” ujarnya. – Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment