JANGAN BERGANJAK DARIPADA MEMILIH TUN MAHATHIR AHAD INI...
Sebagaimana yang diketahui umum, perkara pokok yang akan diputuskan dalam Konvensyen Pakatan Harapan Ahad ini ialah menamakan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bagi gabungan itu.
Ia adalah sebagai persiapan terakhir menghadapi PRU 14 agar rakyat lebih jelas siapa yang bakal menggantikan Najib Razak dan memimpin negara selepas itu.
Calon yang dikatakan sudah hampir rasmi akan dinamakan ialah Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Tidak dinafikan pencalonan Tun Mahathir, meskipun belum rasmi, tetapi telah mula menimbulkan ketakutan kepada UMNO dan BN.
Malah, Pas turut tidak senang dengan pencalonan itu kerana sejarah telah membuktikan parti itu tidak pernah dapat bernafas dengan selesa semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Dalam pelbagai kenyataan yang boleh dibaca daripada pemimpin UMNO dan Pas, termasuk ada yang membuat laporan polis, ia sebenarnya adalah manifestasi ketakutan mereka terhadap kemunculan semula Tun Mahathir.
Dalam Pakatan Harapan sekarang, oleh kerana Anwar Ibrahim sedang berada di penjara, hanya Tun Mahathir yang lengkap resepi kewibawaan, bukan saja dari segi kemampuan untuk menyingkirkan Najib, tetapi juga untuk memulih dan menyelamatkan negara selepas PRU 14 nanti.
Pada PRU 13 lalu, Anwar sudah hampir berjaya melakukannya dan kini tugas itu harus diserahkan kepada Tun Mahathir untuk menyempurnakannya.
Kepada pemimpin-pemimpin PKR yang masih berdolak-dalik dalam membuat ketetapan dengan alasan perlukan lebih masa untuk berunding dengan pelbagai pihak yang berkepentingan, manakala ada pula yang mencadangkan agar pemimpin muda seperti Azmin Ali, Mukhriz Mahathir atau Nurul Izzah lebih wajar diketengahkan, berlapang dada dan lihatlah realiti dengan hati terbuka.
Dalam PRU 14 akan datang, PH bukan saja akan berdepan dengan Najib, UMNO dan BN, tetapi juga seluruh jentera kerajaan, kuasa wang, malah mungkin penipuan dan penyelewengan.
Tidak mustahil juga kiranya Najib hampir kecundang, perisytiharan darurat mungkin akan turut dikuatkuasakan melalui kekacauan yang sengaja dicetuskan, lebih-lebih lagi kuasa berbuat demikian sudah berada di tangan Perdana Menteri melalui pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara, tidak lama sebelum ini.
Maka, siapakah yang paling sesuai untuk mendepani semua cabaran itu selain daripada Tun Mahathir?
Kita tidak menafikan Azmin, Mukhriz dan Nurul Izzah ada kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi masa untuk mereka ialah selepas Tun Mahathir berjaya membawa kemenangan kepada PH dan memulihkan negara ini.
Sesiapa pun, selain Tun Mahathir, bukan saja tidak cukup dalam menakutkan Najib, bahkan tidak membawa tarikan yang menyeluruh kepada rakyat untuk membuat perubahan.
Tanpa Tun Mahathir diletakkan terlebih dahulu sebagai calon Perdana Menteri, tidak ada sesiapa daripada PH akan berpeluang berkuasa di Putrajaya selepas ini.
Menamakan calon lain hanya akan memberi keselesaan kepada Najib untuk memenangi pilihanraya dan menjadikan UMNO, BN menguasai negara ini selama-lamanya.
Titik tolak terbaik untuk perubahan dan menumbangkan Najib adalah PRU 14 dan "kepala perangnya" mesti Tun Mahathir.
Oleh itu, menjelang Ahad ini, pemimpin-pemimpin PH tidak harus lagi berdolak-dalik, mengambil lebih masa atau berganjak daripada menamakan Tun Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri dan Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Tiada keputusan pada Ahad ini hanya akan mengurangkan keyakinan rakyat, manakala menamakan orang lain selain Tun Mahathir sama seperti memberi kemenangan percuma kepada Najib. (ShahbudinHusin 05/01/2018).
0 comments:
Post a Comment