Parlimen dijangka bubar selepas April, kata Nazri Aziz
Parlimen dijangka dibubarkan selepas selesai persidangannya yang dijadual berakhir pada 4 April ini, kata Nazri Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2018.
PARLIMEN dijangka akan dibubarkan sekitar April ini untuk membuka jalan diadakan Pilihan Raya Umum Ke-14, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz.
Katanya, Parlimen akan dibubarkan selepas selesai persidangannya yang dijadual berakhir pada 4 April ini.
"Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Rabu lepas menetapkan sesi persidangan Parlimen ke-6 dan yang terakhir akan bersidang pada 5 Mac hingga 4 April tahun ini.
“Jarang sekali ketika Parlimen bersidang, (Parlimen) dibubarkan,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh BN mempunyai mandat rakyat untuk memerintah sehingga 24 Jun ini.
Sekiranya Parlimen tidak dibubarkan sebelum tarikh itu, ia akan terbubar secara automatik pada tarikh berkenaan dan pilihan raya umum perlu diadakan sebelum akhir Ogos.
Majlis Tertinggi BN minggu lalu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya umum. Mesyuarat itu bagaimanapun tidak membincangkan soal pembahagian kerusi, kata seorang menteri kanan.
Pada hari yang sama, Perdana Menteri Najib Razak melancarkan semula portal maklumat The Rakyat bagi menyebarkan propaganda kerajaan menghadapi PRU14.
Sementara itu, Pakatan Harapan sudah selesai sebahagian besar pengagihan kerusi yang akan ditandingi.
PH hari ini menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menterinya kalau dapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan di Putrajaya, dan Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan sebagai timbalannya.
Gabungan empat parti pembangkang itu juga hari ini mengumumkan kata sepakat pengagihan 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, dengan Bersatu bakal bertanding 52 kerusi, PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Hashim Abdullah dalam wawancara yang disiarkan di Mingguan Malaysia hari ini berkata PRU14 boleh diadakan pada bila-bila masa, namun perlu mengambil kira beberapa pertimbangan termasuk keadaan cuaca.
Beliau juga mengatakan SPR sudah membuat persiapan untuk menghadapi PRU14 sejak dua tahun lalu.
SPR kini sedang menjalankan proses persempadanan semula, yang kuat dikritik oleh parti-parti pembangkang serta badan-badan pemerhati pilihan raya.
Kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) yang diumumkan baru-baru ini merumuskan persempadanan semula yang dicadangkan oleh SPR itu menguntungkan kerajaan BN yang memerintah, termasuk boleh menyebabkan PH kehilangan Selangor.
Selangor ditadbir oleh PH, yang sebelum ini bergabung atas nama Pakatan Rakyat, dan diterajui oleh PKR. – Bernama, 7 Januari, 2018.
TMI.
0 comments:
Post a Comment