Khayalan DAP akan musnahkan Islam akibat termakan dedak Umno, kata Nik Omar
Percubaan menggambarkan DAP sebagai anti Islam dan merancang memusnahkan agama itu di negara ini hanya datang dari pemikiran yang begitu lama diasak Umno kepada pengikutnya.
“Mereka yang takut kononnya DAP memusuhi Islam dan akan hancur Islam kalau berpakat dengan DAP adalah akibat termakan dedak Umno,” kata calon Pakatan Harapan Dun Chempaka, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.
DAP katanya, mempunyai sikap yang jelas dan konsisten menentang Umno-Barisal Nasional (BN).
“Masa Tok Guru ada dia ajak DAP berhujah.
“Kalau tak puas hati apa tak kena dengan Islam sila datang ke Kelantan, kita mahu dengar hujah.
“Bukan terus kata kamu kafir, kami tak akan dengar hujah kamu,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) kampung Laut pagi tadi.
Menurutnya golongan non-muslim dalam DAP sama seperti rakan bukan Islam lain tentu menjalani kehidupan berbeza dengan masyarakat Islam di negara ini.
Wan Ahmad menunjukkan gambar lama bersama Tok Guru kepada Nik Omar.
“Tidak perlu menuduh mereka yang bukan-bukan kerana mereka juga mahukan kehidupan harmoni seperti manusia lain.
“Semalam pemimpin DAP, Hanna Yeoh yang berucap sepentas dengan saya dan Tun Mahathir di Putrajaya dengan berkata beliau tidak anti Islam.
“Dia jelas menerima persetujuan PH yang berikrar untuk tidak mengganggu Islam, hak Melayu, sistem beraja dan segala yang telah termaktub dalam perlembagaan.
“Semua ini telah dibincang dan dipersetujui dalam Majlis Presiden PH.
“Sebab itu saya katakan yang tidak setuju dengan perkara ini hanyalah Umno dan yang termakan dedak Umno,” katanya.
Mengenai sebab mengapa beliau memilih PH beliau berkata, itulah intisari panduan ayahandanya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
“Ayahanda saya dulu selalu berpesan dan acap kali ulang dalam ceramah dia bahawa bergegar tiang masjid berceramah pun kalau tak ada kuasa tak boleh buat apa.
“Saya berpegang pada kaedah ini, kita perlukan kuasa memerintah.
“Maka realitinya di Malaysia sekarang, kalau nak kuasa kalau nak memerintah kita perlukan gabungan kuasa gabungan yang kukuh dengan parti-parti pembangkang yang lain.
“Pas dasarnya Islam PH juga tak akan tinggalkan Islam tetapi kaedahnya sekarang nampak berlainan.
“Kaedah Pas sekarang berseorangan.
“PH pula kukuh dengan gabungan parti pembangkang yang lain.
“Maka ambo setuju dengan kaedah PH,” katanya.
Turut menyampaikan ucapan di majlis itu adalah calon Keadilan Parlimen Tumpat, Datuk Nordin Salleh dan calon Keadilan Dun Pasir Pekan, Wan Johari Wan Omar.
MD.
0 comments:
Post a Comment