Rakyat Malaysia benci Najib? Betul, menurut kajian
Kebencian rakyat terhadap Najib Razak adalah faktor utama kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14. Sekarang, gabungan pemerintah itu perlu berbuat sesuatu untuk meraih sokongan sejati rakyat kepadanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2018.
PADA malam 9 Mei, Najib Razak tertanya-tanya sama ada rakyat Malaysia benar-benar membencinya sebegitu sekali.
Jawapannya: Ya, tepat sekali.
Badan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati, Pakatan Harapan tidak memenangi PRU14 atas kekuatannya, atau karisma pemimpinnya.
Sebaliknya, kemenangan itu didapati hasil penolakan rakyat terhadap Najib.
Kajian IDE mendapati, sokongan rakyat secara keseluruhan kepada PH bukan mutlak kecuali pengundi Cina yang memberikan sokongan penuh kepada PH.
"Rakyat memberikan kemenangan kepada PH bukan secara mutlak. PH menang juga bukan kerana kuat tetapi kerana penolakan rakyat terhadap Najib," kata Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Redzuan Othman kepada The Malaysian Insight.
Kebencian kepada Najib, kata Redzuan, diterjemahkan oleh pengundi Cina mengetepikan parti MCA dan Gerakan yang berada bersama Najib.
Menurut kajian IDE itu, kemenangan besar PH adalah hasil sokongan mutlak pengundi Cina terhadap PH.
"Saya ambil contoh parlimen Temerloh. Calon PH, Anuar Tahir menang selepas kemenangan besar PH di DUN Mentakab yang mempunyai pengundi Cina yang ramai (44%), walaupun calon BN menang di dua lagi DUN iaitu Lancang dan Kuala Semantan.
"Ini bermakna, sokongan besar pengundi Cina memberikan kemenangan kepada PH di Temerloh, ketika Umno masih lagi menikmati sokongan dari pengundi Melayu," kata Redzuan.
Di DUN Mentakab, calon PH, Woo Chee Wan menang dengan majoriti 5,829 undi. Calon BN pula menang DUN Lancang (3,725) dan di DUN Kuala Semantan (474 majoriti).
Di peringkat Parlimen Temerloh, calon PH Anuar Tahir menang dengan majoriti 1,904 undi.
Menurut kajian itu, kemenangan PH di Perak adalah kerana sokongan kuat yang disumbang oleh DAP kepada PH.
"Oleh itu, PH kena berbuat sesuatu bagi memastikan sokongan Melayu meningkat kepada mereka bukan mengharapkan undi Cina sahaja," kata Redzuan.
PH memenangi 121 kerusi, menewawskan BN yang hanya mendapat 79 kerusi dalam pilihann raya umum 9 Mei, sekali gus menamatkan penguasaan 61 tahun parti pimpinan Umno itu. – 23 Jun, 2018.
TMI.
0 comments:
Post a Comment