Showing posts with label C4. Show all posts
Showing posts with label C4. Show all posts

Monday, 13 June 2016

[Video] Laporan polis 'Membaling bom atom' ke atas PM' C4 dah cukup, tak perlu 'bom atom', kata Rafizi

Isnin, 13 Jun 2016


Secara teknikal, C4 cukup, tak perlu 'bom atom', kata Rafizi

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli gembira kerana laporan polis difailkan berhubung gurauannya yang mahu mahu calon Pakatan Harapan itu 'membaling bom atom' ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika beliau menang pada 18 Jun ini.
"Ini sebagai gurau senda yang amat diperlukan untuk membantu kita menghadapi kegilaan politik Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.
Secara teknikal, beliau yang juga adalah ahli Parlimen Pandan berkata bahawa untuk membunuh, seseorang tidak perlu menggunakan bahan letupan yang rumit seperti bom atom.
"Lagipun kita semua tahu bahawa C4 cukup untuk tugas itu," katanya.
C-4 adalah bahan letupan plastik yang dikenali sebahagian besar rakyat negara ini berikutan pembunuhan ngeri warga Mongolia Altantuya Shaariibuu yang ditembak dan badannya kemudian diletupkan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata beliau memberitahu hadirin di satu ceramah di Kuala Kangsar bahawa BN dan Umno sering melabel calon AMANAH Dr Ahmad Termizi Ramli (atas, kanan) sebagai orang suruhan DAP.
Merujuk logo DAP, pemimpin PKR itu berkata, beliau berucap tentang bagaimana pengkritik mendakwa bahawa calon berkenaan akan "duduk di atas roket dan pergi ke mana saja yang dibawa oleh roket itu".
"Saya kata Termizi lebih baik daripada roket.
"Kerana dia seorang ahli fizik nuklear dan kita mahu hantar dia masuk parliamen, kita mahu dia baling ‘atom bom’ ke atas Najib sebelah sana, mesti meletup,” katanya.
Dalam nada serius, Rafizi berharap polis akan melihat kata-katanya itu sebagai gurauan dan bukannnya ancaman untuk meletupkan perdana menteri.
"Jika tidak perbicaraan mahkamah akan jadi lebih lucu lagi," katanya.
Pagi ini, seorang penduduk tempatan memberitahu pemberita bahawa beberapa laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan pemimpin PKR itu semalam.
Mohamad Halim Mohamad Ali, 37, berkata, dia dan tiga yang lain membuat laporan di pelbagai balai polis, dan banyak lagi dijangka akan difailkan.

Malaysiakini
Read More

Tuesday, 24 June 2014

Altantuya...Kisah C4 Di Mahkamah Persekutuan

Rabu, 25 Jun 2014

Kami tidak pernah kata bahan letupan C4 digunakan bunuh Altantuya, kata pendakwa 
Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini diberitahu tidak pernah dalam kes pendakwaan mengatakan bahawa bahan letupan C4 digunakan untuk pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah pihak pendakwaan tidak pernah mengatakan bahan-bahan yang ditemui di tempat kejadian adalah bahan letupan C4.
"Kami tidak pernah berkata bahan letupan itu adalah C4. Tetapi mereka ini sejak hari pertama berkata ia adalah C4.
"Kami tidak tahu bagaimana Mahkamah Rayuan boleh menyatakan ia adalah bahan letupan C4," katanya pada pendengaran rayuan pendakwa terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar berhubung pembunuhan Altantuya.
Tun Majid berkata UTK tidak pernah menggunakan bahan letupan C4.
Bercakap kepada pemberita kemudian Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup yang membantu Tun Majid berkata bahan yang ditemui di tempat kejadian adalah bahan letupan PETN dan RDX.
Pihak pendakwa (Tun Majid) berkata Mahkamah Rayuan terkhilaf berhubung fakta itu kerana gagal memanggil pakar bahan letupan C4 apabila saksi pendakwaan (bekas Timbalan Komander UTK Bukit Aman DSP Mastor Mohd Ariff) memberi keterangan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi bahawa UTK tidak menggunakan bahan letupan C4.
Beliau berhujah Mahkamah Rayuan sekali lagi terkhilaf dalam undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa tiada bukti Azilah mempunyai jagaan dan kawalan terhadap bahan letupan itu pada sebarang masa sebelum dia ditangkap tanpa mengaitkan keterangan Mastor bahawa Azilah dan Sirul Azhar mempunyai peluang mencukupi untuk memiliki bahan letupan yang tidak digunakan semasa latihan.
Tun Majid juga berhujah DSP Musa Safri, yang merupakan pengiring timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada masa itu (sekarang perdana menteri), tidak dipanggil sebagai saksi kerana peranannya hanya semata-mata memperkenalkan bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda kepada anggota polis untuk menjaga keselamatan rumah beliau.
Beliau berkata pihak pendakwa juga menawarkan Musa sebagai saksi pembelaan tetapi tidak diterima, sambil menambah bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam memutuskan isu pihak pendakwaan tidak memanggil Musa sebagai saksi pada peringkat perbicaraan.
Sementara itu, peguam Azilah J. Kuldeep Kumar berhujah diari Balai Polis Bukit Aman menunjukkan Azilah berada di ibu pejabat polis semasa pembunuhan Altantuya.
"Diari ini jelas menimbulkan keraguan yang munasabah kerana ia adalah bukti yang menyokong alibi Azilah bahawa dia berada di (ibu pejabat polis) Bukit Aman dan bukan di tempat kejadian," katanya dan menambah Mahkamah Rayuan adalah betul untuk mencelah dan menerima diari balai itu sebagai bukti.
Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa diari balai itu  tidak boleh diterima sebagai bukti.
Sementara itu, peguam Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin berhujah bahawa adalah tidak selamat untuk menerima masuk sebagai bukti berhubung dakwaan penemuan barang kemas Altantuya di rumah anak guamnya.
Beliau berkata pihak pendakwa telah mengetepikan hakikat tentang wujudnya satu lagi set kunci rumah Sirul Azhar.
Beliau berkata Sirul Azhar tidak mengetuai polis ke rumahnya untuk menunjukkan barang kemas itu, dan menambah Sirul Azhar diminta tunggu di luar rumah dan dia hanya dipanggil untuk masuk ke rumahnya selepas pihak polis menemui barang kemas tersebut.
Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, daripada pertuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya, 28.
Mereka didakwa membunuh wanita itu di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Abdul Razak, 50, yang pada mulanya didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Perbicaraan di hadapan lima anggota panel diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, bersambung esok. – Bernama, 24 Jun, 2014.
Read More

Wednesday, 27 February 2013

PENDEDAHAN P.I. Bala: Siapa Arah Bunuh Altantuya?...*Video Updated

Khamis, 28 Februari 2013
Video BALA!...untuk VVIP?
Masih Kronologi......Suspen!!!
P. Balasubramaniam Bohong..


P.I. Bala gagal kemuka bukti? 


KUALA LUMPUR - Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang pulang ke negara ini Ahad lalu dengan disambut oleh beberapa pemimpin pembangkang gagal mengemukakan sebarang bukti berkaitan dakwaan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sebaliknya, `ceramah’ yang disampaikan Balasubramaniam menimbulkan lebih banyak persoalan kepada hadirin yang berada di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di ibu kota malam ini serta para pengikut di Internet serta pengguna twitter di `hashtag’ #tanyabala.

Apa yang jelas, penyiasat persendirian yang pernah membuat akuan bersumpah (SD) mendakwa Najib terlibat dalam kes itu, tetapi kemudiannya menarik balik tuduhan berkenaan dalam SD kedua, mengakui membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dia berumur 14 tahun.

Walaupun berucap dan menjawab soalan yang dikemukakan oleh moderator, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin selama kira-kira satu jam setengah, Balasubramaniam dilihat seolah-olah hanya melontarkan tohmahan dengan `bermodalkan air liur’.

Dengan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang kurang baik, penyiasat persendirian itu juga dilihat gugup apabila terhenti menyampaikan ucapan dan beberapa kali berkata: “Minta maaf, sudah lama (kes ini) jadi saya lupa."

Sebagai contoh, dia mendakwa pernah mengambil gambar Altantuya sewaktu wanita itu berada di hadapan Bangunan Getah Asli di ibu kota pada sekitar 2006 sewaktu dia berkhidmat dengan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda namun tidak pula menunjukkan gambar tersebut.

Penyiasat persendirian yang pernah lari ke luar negara selama kira-kira tiga tahun selepas membuat SD kedua berkenaan turut mendakwa pernah membuat rakaman perbualannya dengan peniaga permaidani, Deepak Jaikishnan berkenaan tawaran Deepak sebanyak RM100,000 bagi menarik balik SD pertama, namun rekod tersebut tidak diperdengar kepada hadirin.

Selain itu, Balasubramaniam juga tidak menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan para pengikut twitter di #tanyabala berkenaan secara terus tetapi Badrul Hisham bertindak menyaring serta memilih soalan yang perlu dijawab penyiasat persendirian tersebut.

Salah seorang pengguna twitter @lisajariffin turut mencabar Badrul Hisham yang menggunakan nama @chegubard supaya bekas calon Ketua Angkatan Muda Keadilan itu bertanya kesemua soalan yang dikemukakannya di twitter bagi membuktikan keikhlasan mereka dalam pendedahan kes tersebut.

Balasubramaniam serta Badrul Hisham juga tidak membuka ruang kepada hadirin untuk bertanya soalan dan kemudiannya penyiasat persendirian itu `melarikan diri’ ke kereta yang sedia menunggunya bagi mengelakkan diri daripada ditemui para pemberita selepas selesai ceramah. - UTUSex

PI Bala Dedah 'VVIP' Dalang Pembunuhan Altantuya

Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) mendedahkan, ‘VVIP’ yang terlibat menjadi dalang di sebalik pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bala yang membuat pendedahan umum kali pertama malam tadi, sekembalinya ke tanah air Ahad lalu menceritakan kronologi pembunuhan Altantuya bermula beliau dipanggil bekerja oleh Abdul Razak Baginda.

Menurut Bala, Razak, sekutu rapat dan orang kepercayaan Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri mengarahkan supaya beliau melindungi rumah dan anaknya 24 jam selama 10 hari.

Beliau mendedahkan perbualan Razak bersama seorang individu ketika pertemuan mereka.

“Semasa (saya) bertemu Razak, dia menerima panggilan dari seseorang bernama ‘Tan’ yang mengugut akan mencederakan anak Razak jika beliau tidak membayar wang ‘wanita’ itu,” kata Bala, merujuk Altantuya.

“Kemudian saya tanya kenapa tak buat laporan polis? Razak jawab tak boleh, sebab ada VVIP yang terlibat. Saya tanya lagi kenapa tak halang saja dia (Altantuya) dari masuk negara ini? Razak kata tak boleh, Altantuya ada banyak pasport,” kata Bala di hadapan 3,000 hadirin pada forum ‘Pendedahan: Siapa Arah Bunuh Altantuya?’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).

Menurut Bala lagi, Razak memberitahunya, Altantuya menuntut bayaran sebagai perantara dalam urusan pembelian kapal selam di Perancis sebanyak USD500 juta dan tiga tiket kapal terbang pulang ke Mongolia.

Kata Bala, kali terakhir dia melihat Altantuya pada 18 Oktober 2006 iaitu di hadapan rumah Razak.

“Sebelum itu Razak cakap, kalau Altantuya ada depan rumahnya, (saya perlu) mesej beliau (dahulu). Saya hantar SMS kepada Razak memberitahunya (tentang kehadiran Altantuya).

Kemudian Razak kata ‘lengahkan dia, tunggu sampai orang saya sampai’,” kata Bala.

“20 minit kemudian, sebuah kereta Proton Aeroback warna merah tiba dengan seorang wanita dan dua lelaki. Wanita itu adalah Lans Korporal Rohaniza, dan dua orang lelaki itu adalah Azilah Hadri dan Sirul Azhar (Umar). Mereka semua berpakaian biasa.

Azilah berjalan ke arah saya sementara dua yang lain menunggu dalam kereta,” jelas Bala.

“Azilah tanya saya dalam Bahasa Melayu: ‘inikah perempuan itu’, menyebabkan Altantuya tak faham apa yang kami cakap. Saya kata ‘ya’. Azilah pula berkata, mereka (tiga individu berkenaan) akan bawa Altantuya pergi. Saya beritahu Altantuya bahawa dia ditahan dan perlu mengikut mereka naik kereta tersebut.

Altantuya masuk dan duduk di belakang bersama Korporal Rohaniza, manakala Azilah dan Sirul berada di depan,” kata Bala.

Azilah dan Sirul – kedua-dua mereka adalah anggota polis yang ditugaskan menjaga keselamatan Najib. Mereka bersama-sama disabitkan kesalahan membunuh Altantuya di kawasan hutan di Shah Alam, hampir tujuh tahun lalu.

Sah Najib terlibat
Menurut Bala lagi, beliau hanya mengetahui kematian Altantuya selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) pada November 2006.

“Sewaktu (saya) bertemu Razak dan peguam Puvanendran, Razak menerima SMS dan menunjukkan kepada kami kandungan SMS itu – “Meeting IGP at 11am, be cool”. (Pada SMS itu) tertera nombor Datuk Seri Najib Razak. Maka terjawablah VVIP yang terlibat,” kata Bala disambut sorakan hadirin.

Mengesahkan lagi keterlibatan Najib, Bala memberitahu, adik Najib, Datuk Nazim Razak pernah berjumpanya, mengugut dan mengarahkan beliau menukar akuan bersumpah pertama.

“Saya dipanggil ke hotel untuk bertemu Nazim. Nazim tanya saya, kamu sayang keluarga kamukan? Saya jadi takut dengan soalan-soalan ugutan seperti itu dan memutuskan untuk membuat akuan bersumpah kedua,” jelas Bala yang meninggalkan Malaysia sejak 2009 disebabkan ugutan itu.

Forum anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tersebut dipengerusikan Presiden Kumpulan Anak Muda Independan (Kami), Khalid Ismath.

Panelis melibatkan kartunis politik, Zunar; Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel, manakala Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin selaku moderator.

Hadir sama di kalangan pemimpin politik Pakatan Rakyat antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran, Ronnie Liu.

Kehadiran Bala disambut meriah penyokong pelbagai kaum yang melimpah hingga ke luar dewan.

Ekoran sambutan itu, penganjur memasang skrin di perkarangan dewan, supaya hadirin dapat sama mengikuti pendedahan yang dinanti-nantikan itu. 

Turut sama mengambil peluang, para peniaga yang membuka gerai jualan seperti baju dan makanan.-KD

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam mendakwa penganalisis politik Abdul Razak Baginda menyatakan kekesalan kerana tidak membayar komisyen US$500,000 yang dituntut wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Beliau mendakwa Razak berkata demikian sejurus sebelum ditahan pada 2006.

Balasubramaniam berkata beliau pada masa itu sedang meninggalkan pejabat seorang peguam yang dikenali sebagai Puravelan, bersama Razak dalam satu lif.

Balasubramaniam, yang diupah Razak pada masa itu, membuat pendedahan mengenai peristiwa berhubung kematian Altantuya, dalam kemunculan pertamanya di majlis umum di negara ini, selepas melarikan diri hampir lima tahun lalu.

Akhbar pada waktu itu sudahpun menimbulkan spekulasi mengenai penahanan Razak pada hari itu dan peguam berkenaan sedang membuat persediaan mengenai kemungkinan tersebut.

Balasubramaniam juga mendakwa, beliau memberitahu Razak: "Bos, tengok sini.

Apa nasihat saya pada awak? Laporan polis.

Awak sepatutnya sudah buat laporan polis."

Balasubramaniam mendakwa Razak mengupahnya untuk menghalang Alantuya, namun beliau menasihati Razak supaya membuat laporan polis.

Balasubramaniam mendakwa, Razak bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana "seorang VVIP terlibat"



wargamarhaen.blogspot

Read More
Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena