Saturday, 3 August 2013

Finalis Muslim Takut Kena Tangkap: Tak Hadir Miss Malaysia World 2013..

Sabtu, 3 Ogos 2013
Walaupun dijemput sebagai penonton, finalis Muslim tak hadir
Empat finalis Muslim yang digugurkan daripada pertandingan Miss Malaysia World 2013, tidak hadir di malam final pertandingan tersebut malam tadi walaupun dijemput oleh pihak penganjur sebagai sebahagian daripada penonton.

Salah seorang daripada mereka didakwa telah diberi amaran oleh pihak berkuasa agama supaya tidak menghadiri acara tersebut, dan itu mungkin menjadi sebab mereka tidak hadir malam tadi.

"Mereka telah dijemput datang tetapi mereka tidak muncul. 
Mungkin mereka tertekan, kecewa atau takut jabatan hal ehwal Islam mungkin menangkap mereka," kata penganjur pertandingan tersebut, Anna Lim.
NONE
Menurutnya, salah seorang finalis Muslim, Sara Amelia Muhamad Bernard (kiri), bercakap mengenai amaran tersebut dalam perbualan telefon tiga hari lalu.

"Dia mahu datang. Tetapi dia beritahu saya dia telah dipanggil untuk kaunseling dan diberi amaran supaya tidak menghadiri malam final. Jika dia berbuat demikian, mereka akan datang dan menangkapnya," kata Lim, sambil menambah bahawa keempat-empat finalis Muslim tidak mahu mencetuskan sebarang masalah.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jika amaran itu adalah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau juga tidak pasti sama ada tiga lagi finalis Muslim - Katrina Ridzuan, Wafa Johanna De Kort dan Miera Sheikh - turut menerima amaran yang sama.

Pertandingan akhir malam tadi menyaksikan Melinder Kaur Bhullar dinobatkan sebagai Miss Malaysia 2013 manakala L'Oreal Mok Shiek Leng dan Tanisha Kaur Demour dipilih sebagai pemenang kedua dan ketiga.

Protes di luar hotel

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Anna berkata beliau gembira kerana semuanya telah selesai.

"Malah semalam (Khamis), terdapat 20 orang mengadakan protes di luar hotel. Dua wanita memakai tudung datang pada saya dan menyerahkan sekeping kertas. Saya tidak tahu apa dia.

"Tetapi ia bukan dari mana-mana pihak berkuasa atau dari mana-mana. Saya kata saya tidak boleh terima apa-apa kertas dari anda kerana saya tidak pasti apa dia.

"Kemudian wanita itu berkata ia adalah sesuatu tentang bulan Ramadan. Saya kata ia tiada kena mengena dengan saya sebab saya bukan Islam," kata Lim.

Beliau mendakwa tangan wanita itu terketar-ketar ketika mahu menyerahkan kertas tersebut kepadanya, dan ini menimbulkan syak wasangka padanya tentang niat mereka.

"Tetapi pengawal keselamatan membawa saya pergi dari situ. Kami terpaksa beredar melalui belakang hotel ke tempat lain untuk mengadakan raptai," katanya.

Anna yang merupakan bekas Miss Malaysia Universe 1990 dan Miss Malaysia World 2004 berkata dia akan memohon untuk mengadakan satu lagi pertemuan dengan pihak berkuasa Islam untuk memahami mengapa orang Islam dilarang menyertai pertandingan ratu cantik.

Walaupun mengakui  terdapatnya fatwa pada 1996 yang melarang umat Islam memasuki pertandingan itu, beliau berkata, dia mahu tahu "cerita dalam".

"Sebahagian daripada negara Islam boleh menyertai pertandingan ratu cantik. Saya tidak faham mengapa di Malaysia tak boleh. Saya hanya mahu memahaminya."

Bagaimanapun, Anna menegaskan bahawa dia akan terus menghormati fatwa tersebut dan wanita Muslim tidak akan dibenarkan mengambil bahagian dalam pertandingan ratu sehinggalah fatwa itu dipinda.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena