Rakyat harus bangkit sendiri
Oleh Suhaimi A.
Orang Melayu dahulu pernah menyebut “durian dengan mentimum, menggolek rosak, kena golek binasa”.
Pepatah tersebut membawa erti orang yang tidak berkuasa itu tidak harus melawan orang berkuasa kerana sama ada betul atau salah, akhirnya akan menanggung kerugian.
Ini adalah dakyah lapok supaya orang Melayu ketika itu tidak bangkit melawan penindasan aparat dan penguasa kepada rakyat biasa.
Itu hakikat sebenar. Fikiran orang Melayu sudah lama disebatikan dengan hal sebegini supaya terus lemah dan berharap.
Siri himpunan pasca kes Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan kegagalan rakyat untuk bangkit sendiri.
Rakyat Malaysia yang kini sudah makin sesak untuk bernafas masih terus berharap dengan keberadaan parti-parti politik.
Rakyat terus menganggap ketidakadilan yang ada hanya dapat diubah dengan bantuan parti-parti politik.
Ini adalah satu fahaman yang salah. Rakyat sendiri harus bangkit sendiri.
Rakyat tidak boleh terus berharap dengan terus melaungkan slogan-slogan yang diucap agen parti-parti politik. Rakyat sendiri mesti bangkit di bawah panji Jalur Gemilang.
Misalnya, di Indonesia rakyat telah bangkit di bawah panji Sang Saka tanpa berharap kepada aparat politik. Ini satu yang pasti, rakyat hanya dapat bersatu atas keberadaan negara ini, Malaysia.
Rakyat harus berdikari dengan bertindak tanpa campur tangan parti-parti politik. Rakyat Malaysia harus berani. Sudah sampai masa rakyat berfikir semula peranan yang sebenar-benarnya yang harus dimainkan oleh setiap ahli masyarakat.
Anak muda, mahasiswa, kaum buruh, dan semua harus bangkit tanpa bendera parti politik. Rakyat harus berani untuk berdepan dengan penindasan tanpa mengharap kepada teriakan-teriakan agen parti politik.
Ini tanggungjawab seluruh rakyat. Jika tidak rakyat akan terus harap dan berharap tanpa dapat mengubah keadaan.
Rakyat harus berani melawan tanpa berharap kepada orang yang berkuasa, kerana rakyat sendiri adalah kaum yang berkuasa.
Posted by Kedah Lanie
0 comments:
Post a Comment