Thursday 6 August 2015

MAS jangka lebih banyak objek ditemui...'Berilah ruang pada keluarga MH370'

Khamis, 6 Ogos 2015
Pulau Flaperon
Beberapa orang penduduk di Pulau Reunion mula keluar untuk mencari sisa cebisan pesawat sejak penemuan pertama pada Rabu lepas. - Gambar AFP

MAS jangka lebih banyak objek ditemui


Pengesahan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi adalah milik MH370 merupakan satu kejayaan besar untuk menyelesaikan kehilangan pesawat itu, kata Malaysia Airlines (MAS).

"Kami menjangka dan berharap lebih banyak objek akan ditemui bagi membantu menyelesaikan misteri ini," tambah MAS dalam satu kenyataan.

MAS berkata anggota keluarga penumpang dan anak kapal sudah dimaklumkan dan "kami melahirkan rasa simpati yang teramat kepada mereka yang terlibat."

"Malaysia Airlines juga ingin menyampaikan rasa sedih yang teramat kepada keluarga dan sahabat penumpang dalam penerbangan MH370 berikutan berita serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion pada 29 Julai adalah sah milik MH370," katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata keutamaan mereka sekarang adalah untuk terus memberikan maklumat terkini kepada keluarga dan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa terlibat untuk menyiasat tragedi itu.

- Bernama

'Beri ruang pada keluarga MH370'

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menggesa anggota media supaya menghormati privasi anggota keluarga penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370 yang telah hilang lebih 17 bulan lalu.

Susulan pengumuman pakar antarabangsa yang mengesahkan bahawa flaperon ditemui di Pulau Reunion Perancis adalah dari Penerbangan MH370, Hishammuddin berkata pihak media perlu memberi ruang kepada mereka tatkala menghadapi masa sukar seperti sekarang.

Beliau berkata sebagai pemangku Menteri Pengangkutan pada masa kejadian dan peringkat awal usaha mencari, penemuan flaperon tersebut mengembalikan kepedihan yang dialami tahun lalu dan berita tersebut pasti merupakan suatu yang sukar kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

"Saya faham bagaimana mereka rasa. Kita akan melakukan segala yang terdaya untuk memberikan keselesaan kepada keluarga mangsa dan terus bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa dalam perkara ini.

"...memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberi jaminan, kerajaan Malaysia akan terus komited untuk berusaha sedaya upaya kami bagi mendapatkan kebenaran tentang apa yang berlaku," katanya dalam kenyataan di sini.

Awal hari ini, Najib berkata para pakar yang berkumpul di bandar Toulouse, Perancis "telah mengesahkan bahawa serpihan yang ditemui di Pulau Reunion adalah daripada MH370".

Hishammuddin berkata kehilangan MH370 merupakan tragedi terbesar yang pernah menimpa industri penerbangan dan Malaysia khasnya.

"Kehilangannya kekal dalam hati semua rakyat Malaysia dan juga mereka yang berkaitan di seluruh dunia dan seperti yang saya katakan sebelum ini, lukanya tidak akan pernah sembuh, tetapi ia mendekatkan masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertahanan Perancis Jean-Yves Le Drien dan pasukannya yang berada di barisan depan atas sumbangan mereka dalam misi mencari dan dan menyiasat MH370.

"MH370 tidak akan dilupakan dan semua yang dilakukan selama ini tidak sia-sia dan kami dengan izin Tuhan, satu hari nanti akan menemui jawapan sebenar kepada tragedi malang ini. Saya sentiasa yakin pada akhirnya kebenaran akan berjaya dibuktikan," katanya.

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac 2014 bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena