Thursday, 28 July 2016

PRN Pulau Pinang - Amanah tiada halangan & perlu dibuat atas nama PH.

Jumaat, 29 Julai 2016

KENYATAAN MEDIA
PANDANGAN AMANAH TERHADAP PILIHAN RAYA NEGERI PULAU PINANG
Muqaddimah
Parti Amanah Negara (Amanah) belum mengeluarkan kenyataan berhubung cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang.
Ini adalah kerana Amanah bersetuju perbahasan berhubung isu ini hendaklah dikemukakan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan bukan dibahas dikhalayak umum.
Amanah memahami bahawa perspektif setiap parti berbeza dan oleh itu isu ini akan menimbulkan pelbagai reaksi dan pendirian. Justeru perbahasan wajar dibuat secara tertutup.
Namun demikian apabila perbahasan terbuka telahpun diadakan oleh DAP dan Keadilan, sikap berdiam Amanah menyebabkan Amanah dianggap tiada pendirian. Oleh itu adalah wajar bagi Amanah berkongsi pandangannya dalam suasana sekarang.
Pendirian Amanah sepertimana dibincang pada hari Isnin 25 Julai yang lepas adalah seperti berikut -
1. Amanah adalah parti baharu yang masih tidak dikenali ramai seperti terbukti di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Ramai yang tidak mengikuti perkembangan politik, khususnya berhubung perpecahan Pas dan pembentukan Amanah. Pimpinan Amanah seperti Hj Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub disangka masih bersama Pas. Amat perlu untuk ditonjolkan kehadiran dan dasar-dasar perjuangan Amanah dan seterusnya PH. Tiada cara yang lebih berkesan untuk mencapai matlamat itu selain semasa pilihan raya.
2. Amanah tidak memiliki kerusi di DUN Pulau Pinang setakat ini. Oleh itu tidak timbul isu Amanah akan kehilangan kerusi kalau berlakunya pilihan raya. Sebaliknya Amanah berpeluang menang walaupun mungkin tipis. Dengan kata lain, Amanah bagaikan “nothing to lose and everything to gain” dalam pilihan raya nanti. Atas sebab itu tidak ada keperluan bagi Amanah membantah cadangan PRN tersebut.
3. Amanah berpandangan bahawa PRN Pulau Pinang akan memberi peluang untuk membuktikan kepada rakyat bahawa PH adalah gabungan parti politik yang telah bersatu secara kukuh dan mantap. Ini gagal dibuktikan semasa PRN Sarawak. Walaupun PH bertindak lebih cermat dan mantap semasa Sungai Besar dan Kuala Kangsar tetapi masih banyak boleh diperkuatkan.
Pilihan raya negeri Pulau Pinang memberi PH peluang untuk menunjukkan potensi dan kekuatannya sambil meyakinkan rakyat akan betapa perlu wujudnya PH dalam persada politik Malaysia.
4. Amanah yakin bahawa BN sedang berusaha untuk merampas kembali Pulau Pinang dari PH. Pendakwaan terhadap Lim Guan Eng atas alasan diada-adakan adalah bukti kesungguhan BN. Oleh itu BN akan melakukan berbagai tipu-helah dan manipulasi untuk menentukan matlamat mereka akan tercapai. PH perlu bertindak pantas, sebelum segala perancangan BN selesai dilaksanakan, untuk Pulau Pinang terus kekal bawah PH.
5. Amanah memahami bahawa masalah utama adalah Pas dan keadaan 3 penjuru yang akan dihadapi PH. Pas sebagai ‘spoiler’ menjadi punca ketakutan terhadap PRN ini. Namun keadaan ini akan tetap dihadapi semasa PRU ke 14 dan oleh itu adalah lebih baik realiti ini dihadapi sekarang supaya rakyat memahami ‘fahaman baharu’ yang dianuti Pas. Implikasi fahaman baharu ini akan juga semakin difahami Pas dan dengan itu adalah diharap mereka akan berubah pendirian.
6. Amanah memahami segala risiko dan implikasi negatif yang akan dihadapi apabila pilihan raya kecil ini diadakan. Namun cabaran kesemuanya akan tetap dihadapi sekiranya DUN dibubar semasa PRU ke 14 diadakan nanti. Penggunaan perkauman dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak juga boleh dihalang pada PRU ke 14 sekiranya BN ingin menggunakannya.
7. Sekiranya diyakini PH akan menang atas isu-isu besar nasional mutakhir ini dan kekal memerintah Pulau Pinang untuk tempoh 5 tahun lagi, maka Amanah berpandangan bahawa amat berbaloi untuk PRN ini diadakan. Ini akan bermakna PRU ke 14 akan dihadapi sambil PH merupakan kerajaan Negeri di Pulau Pinang. Ini pasti mendatangkan berbagai manfaat politik kepada PH khususnya di Pulau Pinang.
Sekiranya diyakini bahawa PH akan kehilangan Pulau Pinang apabila Lim Guan Eng disabitkan kesalahan rasuah oleh mahkamah BN dan dipenjarakan, serta tuduhan rasuah ini mampu menjejas imej PH di kalangan rakyat Pulau Pinang, maka mengadakan PRN sekarang adalah wajib, meskipun berpotensi kehilangan beberapa kerusi berbanding sekarang.
Kesimpulan
Berdasarkan pertimbangan seperti di atas maka Amanah tiada halangan untuk PRN Pulau Pinang diadakan dengan kadar yang segera.
Namun begitu keputusan berhubung PRN ini perlu dibuat atas nama PH setelah mendengar pandangan setiap parti komponen yang pastinya berbeza.
Akhirnya, perspektif dan kepentingan PH yang sejajar dengan kemaslahatan rakyat perlu diberi keutamaan.
*KHALID ABD SAMAD*
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara
*29 Julai 2016*

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena