Ahad, 11 September 2016
‘Ketua lulusan Oxford tapi ahli Umno main politik kampung’
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyelar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika berkongsi pandangannya berhubung desakan seorang pemimpin MCA supaya Umno tidak lagi menggunakan taktik menakut-nakutkan bangsa lain untuk memenangi hati pengundi Melayu.
Beliau berkata kenyataan ahli jawatankuasa pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menunjukkan bahawa Umno khususnya sayap Pemuda, tidak lagi sejajar dengan perkembangan minda generasi baru.
“Walaupun diketuai oleh seorang yang berkelulusan Oxford tetapi masih membiarkan pemuda-pemudanya bermain dengan politik kekampungan yang tidak relevan dengan generasi terpelajar Melayu kini.
“Walaupun ini tidak dinyatakan oleh Khairy Jamaluddin sendiri tetapi beliau ternyata lebih mementingkan survival dirinya daripada survival Umno.
“Jeneral-jeneralnya sentiasa menggambarkan Melayu berada dalam ketakutan dan menunjukkan reaksi sanggup berperang dan tidak bersikap rasional walaupun diketuai oleh seorang yang berkelulusan Oxford,” katanya dalam tulisan terbaru di blog.
Mengulas kenyataan Ti, Zainuddin atau juga dikenali sebagai Zam berkata, pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menandakan satu dimensi baru dalam arena politik tempatan.
“(Ini) tidak boleh dipandang kecil oleh parti-parti komponen BN terutama Umno sendiri.
“MCA melihat ini sebagai simbol dinamisma taktik politik Mahathir yang menggambarkan keyakinan baru orang Melayu dan meminta Umno keluar dari kepompongnya yang takut dengan bayang-bayang orang Cina dan memomokkan sebagai Islam berada dalam ancaman,” katanya.
Zam yang juga adalah bekas ketua pengarang Utusan Malaysia berkata, kenyataan Ti tidak boleh dianggap rasis kerana ia adalah pandangan dinamik dan relevan berdasarkan realiti politik pada masa ini.
Beliau berkata generasi baru orang Melayu mahu kepimpinan berwibawa, bersih, cekap dan amanah dari hanya mencari undi atas teriakan perkauman dan keagamaan.
“Saya percaya pandangan Datuk Ti ini tidaklah hanya merupakan fikiran beliau sahaja tetapi tentulah juga fikiran pemimpin-pemimpin MCA yang melihat dinamisma politik dalam kesanggupan Mahathir berjabatan tangan dengan musuh lamanya Anwar Ibrahim di samping bersama dengan DAP yang dianggap sebagai parti perkauman
Cina demi keselamatan maruah bangsa Malaysia dan negara,” katanya.
Ti dalam satu kenyataan media sebelum ini, berkata jika Mahathir boleh menjadi cukup Machiavelli untuk mendakap Anwar dalam perubahan suatu permainan, mengapa Umno tidak boleh melakukan perkara yang sama.
"Telah berlalu hari hari-di mana Umno boleh menunjukkan jari kepada golongan minoriti dengan mempamerkan kekuatan dan menjerit supaya Melayu dan Islam bersatu untuk menentang orang lain", kata Ti.
Malaysiakini
Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment