“Apa kleptokrasi ni?”. Itu soalan spontan seorang gadis Melayu dengan jari telunjuknya mengarah pada istilah di poster mini yang diedarkan petang tadi.
Ditemani rakannya yang juga memberi reaksi ingin tahu, rata-rata warga kota dilihat masih tidak mengetahui istilah yang dikaitkan dengan skandal rompakan terbesar dunia 1MDB itu.
Bagi yang tahu tentang skandal RM50 bilion 1MDB tersebut, mereka akan membunyikan hon sambil mengangkat tangan tanda sokongan kepada kumpulan _flashmob_ berdepan stesen LRT Masjid Jamek.
Disertai Pemuda Pakatan Harapan selepas solat Jumaat di Masjid Jamek, warga ibu kota dilihat memberi reaksi positif terhadap ‘flashmob’ menjelang himpunan 14 Oktober ini.
Pemberian risalah dan poster berkenaan Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi sejurus lampu isyarat bertukar kepada warna merah pula dengan senang hati diterima pemandu.
Bahkan, mereka awal-awal lagi menurunkan cermin kereta untuk menerima poster dan risalah yang diedarkan.
Tidak kurang juga warga kota yang berjanji untuk hadir di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebaik dimaklumkan lokasi himpunan tersebut berdekatan gedung beli-belah Amcorp Mall.
‘Flashmob’ diketuai Pengarah Mobilisasi Pemuda Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin merangkap Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu bersurai kira-kira pukul 3.30 petang.
0 comments:
Post a Comment