Amanah bantah penubuhan JITN
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara dikhuatiri akan mengurangkan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2017.
AMANAH membangkang cadangan Putrajaya menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low.
Menurut timbalan presidennya Salahuddin Ayub, ia kerana jabatan tersebut dilihat hanya mengurangkan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya cukup bimbang JITN akan menjadi satu badan yang selari, iaitu memusatkan kuasa perdana menteri. Malah, saya bimbang SPRM akan diletakkan di bawah JITN (pada masa akan datang).
"(Jika berlaku) kebebasan, kewibawaan dan integriti SPRM semakin berkurang dengan wujudnya JITN kelak," katanya ketika sidang media di ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini.
Pada minggu lalu, Low menyatakan penubuhan JITN tidak akan mempunyai sebarang kuasa untuk mempengaruhi siasatan agensi bebas itu.
JITN di bawah Jabatan Perdana Menteri dinaik taraf sebagai jabatan penuh pada minggu lalu.
Ia akan berperanan sebagai badan penyelaras untuk menerajui perubahan transformasi dalam sektor awam serta swasta menumpukan pada tadbir urus baik, integriti dan hak asasi manusia.
Salahuddin berkata, Low bukan sahaja sudah kekeringan idea dengan memberikan cadangan penubuhan JITN tetapi seolah-olah cuba menyedapkan hati Perdana Menteri Najib Razak.
"(Oleh itu), saya merancang mengadakan pertemuan dengan SPRM pada masa terdekat, bagi menyatakan sokongan saya kepada suruhanjaya itu, sambil membantah penubuhan JITN.
"Saya berharap kerajaan melihat semula cadangan penubuhan JITN," katanya. – 3 Oktober, 2017.
Siasatan SPRM resahkan Umno, Dzulkifli tidak selamat
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad mula menerajui suruhanjaya itu pada Ogos 2016 dan setakat ini, aset bernilai RM334 juta berjaya dirampas, dengan 952 kertas siasatan dibuka dan 405 kes dibawa ke mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2017.
KETUA agensi anti rasuah Dzulkifli Ahmad boleh berbangga dengan pencapaiannya sepanjang setahun pertama menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – rampasan tunai lebih besar, lebih banyak tangkapan dan pendakwaan – tetapi kejayaan itu boleh membuatkannya hilang kerja.
Kesungguhan dan keghairahan Dzulkifli menangkap mereka yang didakwa menerima rasuah atau terlibat dalam penyelewengan terutamanya ahli politik kerajaan semakin kurang disenangi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
Sejak Dzulkifli memegang jawatan pada Ogos 2016, SPRM merampas aset bernilai RM334 juta berbanding RM55 juta pada tahun sebelumnya. SPRM juga membuka 952 kertas siasatan, meningkat 2.94% berbanding tempoh yang sama; membawa 405 kes ke mahkamah (pertambahan 32.83%) dan membuat 910 tangkapan (naik 6%).
Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat Jumaat lepas membincangkan beberapa kes dan tangkapan SPRM yang berprofil tinggi sejak beberapa minggu lepas sehinggakan anggotanya yang paling "lembut" pun mendesak tindakan diambil untuk menghentikan penguatkuasaan "agresif" itu.
"Sesetengah anggota Majlis Tertinggi Umno bimbang Dzulkifli memburu ikan bilis dan kes yang tidak berbaloi terutamanya yang melibatkan pegawai mereka," kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.
"Mereka mahu tindakan diambil bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada Umno atau BN terutamanya ketika pilihan raya kini tidak sampai setahun lagi," kata sumber itu.
The Malaysian Insight.
0 comments:
Post a Comment